Insan & Komuniti 13 Oct, 2023

Sandarkan pada kenangan Semangat Ubi Kayu! Ingatkan sejarah penjajahan bagi sambut Hari Kemerdekaan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Nor Mahali Mohamad Torman bersama-sama guru dan murid perempuan memasak menu daripada ubi kayu pada Program Sandarkan Pada Kenangan ‘Semangat Ubi Kayu’ pada 6 September 2023 lalu.


UBI kayu menjadikan makanan ruji nenek moyang kita pada zaman penjajahan Jepun dahulu yang melalui pelbagai kesusahan serta kesulitan termasuk untuk merebus atau membakar ubi kayu menggunakan dapur kayu.

Walaupun sejarah itu sudah 82 tahun berlalu namun Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa (SeKTaJ), Jeram, Selangor, mengembalikan memori itu kepada muridnya menerusi Pesta Makanan Tradisional Melayu sempena menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-66 baru-baru ini. 

Pada pesta itu dilaksanakan program Sandarkan Pada Kenangan ‘Semangat Ubi Kayu’ cetusan idea spontan Guru Besarnya, Nor Mahali Mohamad Torman dan disambut baik oleh pentadbir  dan guru-guru bagi memenuhi  aktiviti kokurikulum sempena Sambutan Bulan Kebangsaan yang diadakan pada 6 September 2023. 


Nor Mahali bersama-sama guru dan murid yang mewakili pelbagai kelab di SekTaJ bergotong-royong menyediakan menu daripada ubi kayu.


Nor Mahali berkata, Kelab Rukun Negara dan Pencegahan Jenayah (KRNPJ) SeKTaJ, diberi tanggungjawab membuat perancangan supaya setiap kelab memasak satu jenis masakan berasaskan ubi kayu selaras objektif program itu yang berfokus pada zaman sebelum kemerdekaan terutama mengenai cara hidup masyarakat ketika penjajahan Jepun.

Jelas beliau, salah satu perkara yang paling diingati mengenai zaman berkenaan ialah sumber makanan yang sangat terhad disebabkan masyarakat pada ketika itu terpaksa menyerahkan hasil padi kepada penjajajah dan hanya mengalas perut dengan makanan berasaskan ubi kayu. 

“Program ini juga dapat membuka minda murid mengenai banyak menu yang boleh dihasilkan daripada ubi kayu seperti boleh dilihat mereka pada masa sekarang khususnya kuih-muih yang begitu enak rasanya,” ujarnya.


Ibu bapa dan guru menikmati hidangan menu daripada ibu kayu.


Guru Penyelaras program, Fairus Zariq Mohamad Fauzi, berkata bagi menambahkan kemeriah sambutan, pihak kelab juga menyarankan supaya semua murid dan guru terbabit memakai salah satu pakaian tradisional  yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu iaitu berkain batik atau pelikat ketika memasak dan makan.

Hal ini demikian, menurutnya, dapat memberi pendedahan kepada murid mengenai  pakaian tradisional kita dan langkah itu mendapat sambutan baik daripada guru dan ibu bapa kerana idea berkenaan bertepatan dengan matlamat bulan kebangsaan iaitu menyemai rasa cinta kepada negara serta semangat untuk mempertahan tanah air daripada penjajahan. 

“Program ini juga dapat membuka minda murid mengenai banyak menu yang boleh dihasilkan daripada ubi kayu seperti boleh dilihat mereka pada masa sekarang khususnya kuih-muih yang begitu enak rasanya,” ujarnya.

Tambahnya, berapa jenis makanan Melayu tradisional yang diperkenal diagihkan kepada beberapa kelab di SeKTaJ untuk menyediakannya seperti KRNPJ dan Kelab Sains dan Matematik bari menyajikan menu ubi rebus dicicah kelapa parut.

“Kelab Bahasa dan Kelab SPBT pula menyediakan menu ubi goreng dan Kelab Doktor Muda bergabung dengan Kelab Agama Islam menyiapkan menu ubi getuk,” ujar beliau yang juga Ketua KRNPJ.


Nor Mahali menyuap menu daripada ibu kayu kepada seorang murid.


Bagi menyempurnakan agihan penyediaan menu itu, murid dan guru yang mengambil bahagian berkerjasama untuk menyediakan bahan masakan beberapa hari sebelum program berlangsung. Pada hari program itu bermula, guru bergotong -royong untuk merebus, memasak dan menyediakan semua makanan bersama-sama.

Selaku Guru Besar, Nor Mahali memulakan program dengan menyuapkan ubi kayu rebus kepada murid ahli KRNPJ dan seterusnya diikuti guru menyuapkan makanan tersebut kepada murid lain mengikut kelab.

Manakala reaksi yang diterima daripada murid sangatlah positif apabila rata-rata mereka menyukainya walaupun belum pernah merasa ubi kayu yang direbus lalu dicicah bersama kelapa dan sambal.

Malah ramai antara mereka menambah ubi kayu untuk dimakan beramai-ramai seperti satu komuniti kampung yang terdiri daripada murid, guru dan seluruh warga sekolah.

Ada segelintir murid pula yang dipelawa tidak mahu menjamah menu disediakan tetapi apabila dipujuk untuk sekali mencuba, malah mereka pula berasa sangat teruja dan meminta guru untuk disuap berulang-ulang kali.

Fairus Zariq, berkata sesetengah murid pula tidak menggemari ubi kayu kerana tidak biasa dengan makanan yang direbus bagaimanapun mereka  menyifatkan program itu sebagai satu pengalaman berharga yang mengingatkan mereka untuk tidak membenarkan negara kita dijajah lagi.


Murid perempuan melihat guru mereka menunjukkan cara membuang kulit ubi kayu sebelum dimasak.


“Ramai juga murid yang menyukai ubi kayu goreng kerana mereka menyifatkannya seperti kentang goreng (fries) dan sesi suap-menyuap itu kolaborasi dengan program Guru Penyayang, apabila ikatan kasih sayang dan saling hormat-menghormati tersemai antara guru dan murid,” ujarnya.

Sementara itu, seorang guru SeKTaJ, Siti Rosniza, berkata program itu sangat memotivasikan murid dan guru untuk sentiasa berusaha mempertahan tanah air darpada penjajahan dengan bangkit menjadi masyarakat yang berpendidikan, bersemangat serta beriman.

Rakan setugas beliau, Siti Roziah pula menjelaskan, program berkenaan menanamkan rasa bersyukur terhadap pengorbanan generasi sebelum ini yang banyak menderita demi memastikan kebebasan anak bangsa walaupun hanya diingatkan dengan ubi kayu rebus.

“Program seperti  ini seharusnya dibuat setiap tahun malah amat wajar membabitkan ibu bapa dan murid untuk sama-sama menaikkan rasa bersyukur dan semangat juang untuk memelihara kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia serta menanamkan sikap suka memakai kain batik serta kain pelikat dalam kehidupan seharian,” kata Cikgu Amaluddin. - KitaReporters


Murid begitu teruja dapat membantu guru memasak menu daripada ibu kayu.

21
13
0
13
0
You will be interested