Insan & Komuniti 22 Dec, 2022

Allahuakhbar! Rakyat Kelantan diuji! Doakan mereka baik-baik! Sahabat Amal Care turun padang bantu!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Air banjir semakin naik di daerah Tanah Merah, Kelantan. - Kredit foto: FB Ustazah Asma’ Harun.


Tim Sahabat Amal Care menaiki tiga buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) menuju ke lokasi banjir  di Tanah Merah, Kelantan. - Foto kredit: FB Ustazah Asma’ Harun


“Subhanallah, semakin sayu apabila mendapat berita musibah banjir di Pantai Timur telah meragut beberapa nyawa. Sungguh ujian ini sangat berat, melihat pemergian insan tersayang, harta benda musnah sekelip mata, ada yang tinggal sehelai sepinggang,” tulis Ustazah Asma’ Harun menerusi akaun Facebook beliau (Ustazah Asma’ Harun).

Sahabat Amal Care (SAC) sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beribu pejabat di Senawang, Negeri Sembilan tampil bersama pasukannya turun padang ke Tanah Merah, Kelantan dalam misi bantuan banjir ke salah satu daerah negeri Cek Siti Wan Kembang itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan NGO Sahabat Amal Care


Tim A yang bergerak menuju ke Rantau Panjang tersekat kerana jalan dinaiki air dan merbahayakan kepada kenderaan awam. Foto kredit: FB Ustazah Asma’ Harun.


Penaung dan pengasas SAC, Ustazah Asma’ terkesan melihat keadaan banjir (Kelantan) semakin buruk dan segera menggerakkan ahli-ahli sukarelawannya (SAC) seramai 15 orang dengan menaiki tiga buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) menuju lokasi banjir (Tanah Merah).

Pada 20 Disember 2022, seawal jam 9 pagi tim SAC berjaya menyiapkan pek makanan asas , termasuk kit kanak-kanak dan kit solat untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Tanah Merah, Kelantan.

Mereka kemudiannya berkunjung ke Markas Dewan Pemuda Pas Tanah Merah bagi mengadakan sesi perjumpaan dan perbincangan bersama wakil Jabatan Amal Malaysia bagi menjalinkan kerjasama dalam mengatur gerak kerja misi agar berjalan dengan lancar dan sempurna.


Salah seorang mangsa banjir menerima bantuan berupa barangan keperluan harian daripada Sahabat Amal Care di Tanah Merah, Kelantan. Foto kredit: FB Ustazah Asma’ Harun.


Tenaga para sukarelawan amat diperlukan bagi menjayakan misi bantuan mangsa banjir di Kelantan. Foto kredit: FB Ustazah Asma’ Harun.


Sementara itu, daripada info terkini perkembangan semasa banjir Kelantan mendapati beberapa lokasi banjir berada dalam keadaan berbahaya apabila paras air semakin meningkat. 

Sekali gus, menyukarkan misi bantuan kepada mangsa banjir terjejas akibat terputus jalan perhubungan serta membabitkan keselamatan nyawa.

Namun, misi bantuan SAC tetap diteruskan dengan mengatur strategi dengan memecahkan pasukan kepada tiga kumpulan kecil iaitu:

Tim A : Bergerak ke Rantau Panjang bagi tujuan pemantauan serta mendapatkan maklumat dan keperluan bantuan mangsa banjir. Maklumat terkini mendapati perjalanan (misi) tersekat disebabkan jalan ditutup akibat pada paras air yang tinggi.

Tim B : Melakukan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Pasti At-Taqwa dan Tabika Kemas Tuan Haji Sulaiman, Bendang Nyior.

Tim C : Pembersihan beberapa buah rumah mangsa banjir di Kampung Bendang Nyior membabitkan 200 buah keluarga.

SAC turut menerima sumbangan atau infak dan dana orang ramai dengan jumlah kutipan awal sebanyak RM35,000.


Sebahagian sukarelawan SAC sedang sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah tadika dan rumah mangsa banjir Tanah Merah, Kelantan. Foto kredit: FB Ustazah Asma’ Harun.


Antara barang-barang keperluan dan peralatan yang dibeli daripada hasil sumbangan orang ramai adalah seperti berikut:

▪️ 5 buah bot.

▪️ 4 buah enjin (bot).

▪️ 20 set lengkap jaket keselamatan.

▪️ 5 buah genset (generator)

▪️ 3 buah pam water jet.

▪️ Alatan kelengkapan mencuci (seperti penyapu, serbuk pencuci, baldi dan lain-lain.

▪️ Pek makanan asas: biskut, maggie, roti dan air kotak.

▪️ Pek kanak-kanak: mainan dan pakaian.

Sehubungan itu, pihak SAC berharap serta berbesar hati sekiranya ada pihak-pihak atau individu yang sudi dan berhasrat untuk menyumbang atau melakukan infak bagi membantukan saudara-saudara Islam yang mengalami musibah banjir. 

Kepada mereka  yang berhajat untuk menyumbang atau berinfak bolehlah melayari https://toyyibpay.com/SahabatAmalCare atau bank-in ke akaun Maybank 5551 2654 3538 Pertubuhan Sahabat Amal Prihatin Negeri Sembilan. - KitaReporters


Sumber:

https://www.facebook.com/search/top?q=banjir%20di%20kelantan%202022

12
12
0
12
0
You will be interested