Insan & Komuniti 11 Mar, 2024

Video| Kalau nak tegur silalah berlapik! Akibat dikecam makan berbunyi kuat, wanita OKU rasa sedih!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Antara menegur dan menasihati dengan mengecam dan mengutuk membawa maksud berlainan. Kebiasaannya ramai tahu maksud dan perbezaannya. 

Namun disebabkan emosi dan ego, akhirnya mereka terlupa dan terlepas cakap. Jangan kerana rasa marah itu membuatkan pihak lain terasa hati.

Tidak salah menegur atau menasihati tetapi gunakanlah perkataan yang sesuai. Andai salah menggunakan perkataan, menegur atau menasihati akan bertukar menjadi kutukan. Secara tidak langsung, ia boleh menggores hati orang yang ditegur. 

Dalam era media sosial (medsos) menguasai segala perkara, sering kali kita melihat dan membaca kata-kata negatif. Tidak dinafikan, media sosial banyak membenihkan perkara-perkara buruk selain kebaikan. Jadi, terpulang kepada individu untuk mencoraknya. 

Kalau bijak, maka media sosial dimanfaatkan sehabis mungkin. Kalau tidak, ia menjadi sebaliknya. Netizen mudah dan tanpa segan silu melontarkan kata-kata kesat. Ia seakan-akan menjadi kebiasaan.



Kisah seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ini boleh dijadikan pengajaran. Menggunakan TikTok sebagai tempat mencari rezeki, Ila Kamilah cuba menjual chocojar (makanan berbentuk cereal yang diselaputi dengan bermacam jenis coklat cair yang digemari dan disimpan dalam jar atau balang).

Dia sering kali bersiaran langsung dalam TikTok. Selain sebagai tempat berniaga, Ila juga menjadikan TikTok tempat berkongsi kisah hidupnya. Ila hilang penglihatan atau buta sejak kecil lagi. 

Menurutnya, dia OKU kategori buta B1 iaitu buta kedua-dua mata sepenuhnya.

Sungguhpun buta, dia tidak mahu ketinggalan dalam dunia teknologi. Jadi, tidak hairanlah dia juga mempunyai akaun media sosial seperti TikTok di samping menjana pendapatan melaluinya. 

Malah, dia mempunyai 39 ribu pengikut dan videonya mencecah jutaan tontonan. Peluang yang ada, Ila cuba menjual chocojar melalui siaran langsung.



Tak salah nak menegur, tapi gunakanlah perkataan yang tidak menggores hati.


Namun, disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hari-hari yang dilaluinya tidak selalu indah. 

Aksi mukbangnya sedang memakan chocobar dikritik dan dikecam netizen. Ada individu yang meninggalkan komen pedas dan tidak berlapik. Dia dikecam kerana makan dengan bunyi yang kuat.

“Aku tegur kau makan berbunyi pun kau block aku. Salah ke aku tegur untuk kebaikan. Awalnya nak support jadi benci. Kau tak layak main TikTok sebab tisu. Aku tegur untuk kebaikan,” tulis salah seorang netizen.

Apa yang membuatkan dia sedih, bukan kerana teguran itu tetapi kata-kata kasar yang dilemparkan membuatkan hatinya tergores. Namun, tidak mahu terus terlarut dengan emosi, Ila meminta maaf dan berjanji akan cuba yang terbaik. 

“Saya minta maaf bang. Kadangkala emosi saya tak stabil. Saya akan perbaiki lagi selepas ini,” tulisnya.



Sementara itu, masih ramai netizen yang terus menyokong Ila sama ada dari segi emosi dan perniagaannya. 

Mereka simpati dengan nasib Ila dan dalam masa sama, kagum dengan kesungguhan Ila mencari rezeki. Walaupun OKU, namun tetap bersemangat mencari rezeki halal. - KitaReporters


12
11
0
6
0
You will be interested