Insan & Komuniti 20 Aug, 2024

Khabar ditanya, kenangan diimbau! Majlis reunion Form 3A SMR Selekoh, Bagan Datuk eratkan silaturahim!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Membaca doa memohon keberkatan Allah bagi majlis reunion bekas pelajar Form 3A SMR Selekoh di Keramat, Hulu Kelang.


PERSAHABATAN adalah umpama rantai emas yang menyatukan hati. Walau berapa lama usia persahabatan, selagi rantai tersimpul kukuh, selagi hayat dikandung badan, hubungan itu akan terus berkekalan.

Atas prinsip ini, bekas pelajar Form 3A, (tahun 1971) Sekolah Menengah Rendah (SMR) Selekoh, Bagan Datuk, Perak meneruskan tradisi mengadakan pertemuan semula atau ‘reunion’ rakan sekelas pada Sabtu 17 Ogos 2024 lalu.

Ini merupakan reunion ketiga yang dimulai pada 2022. Idea mengadakan reunion tercetus apabila beberapa orang rakan sekelas berjaya dikesan oleh sesama kawan dan dikumpulkan dalam satu grup WhatsApp sekitar tahun 2021.


Rakan-rakan sekelas Form 3A, SMR Selekoh dan pasangan menjamu selera pada majlis reunion.


Tugas mengumpul rakan sekelas ini tidak mudah kerana masing-masing membawa haluan sejak tamat persekolahan. Ada yang telah pergi menemui Ilahi. Ada yang gagal dikesan entah di mana berada.

Mana-mana yang dapat dikesan bersatu hati setuju mengadakan reunion sekurang-kurangnya setahun sekali. 

Reunion pertama diadakan di SeriNur Homestay, Bagan Datuk, Perak. Yang kedua diadakan di rumah salah seorang alumni, Darawati Md Zain di Laneh, Kuala Kangsar.

Pertemuan ketiga dan terbaharu diadakan di rumah seorang lagi alumni, Rahmah Mohamed, di kediaman beliau di Keramat, Hulu Kelang. 

Rakan-rakan datang bersama pasangan, ada yang dari jauh seperti Bagan Datuk, Taiping dan Kuala Kangsar. Selainnya dari Klang dan Kuala Lumpur.


Bekas pelajar Form 3A yang juga tuan rumah majlis reunion, Rahmah Mohamed (kanan) dan Darawati Md Zain di sebelahnya bersama isteri rakan sekelas mereka pada majlis reunion di Keramat, Hulu Kelang.


Walau pun tidak semua dapat hadir kerana komitmen lain, majlis berlangsung meriah. Majlis diisi dengan ucapan ringkas pentadbir grup WhatsApp, diikuti bacaan doa memohon keberkatan. Seterusnya makan tengah hari dan jamuan kuih muih. Sambil makan sambil berbicara pelbagai cerita.

Barangkali ada yang ingin tahu apa dia Sekolah Menengah Rendah atau SMR. Sekolah ini menyediakan pendidikan menegah rendah, dari Kelas Peralihan (Remove Class) sehingga Form Three (Form 3) bagi aliran Inggeris dan Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga bagi aliran Melayu.

Pelajar akan melalui peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) bagi aliran Inggeris dan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) bagi aliran Melayu sewaktu di Form Three/ Tingkatan Tiga. Hanya yang lulus peperiksaan ini layak naik ke Form Four atau Tingkatan Empat.

Oleh itu lulusan LCE atau SRP dari SMR akan ditempatkan di sekolah menengah lain yang ada Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima. Ini termasuk pelajar SMR Selekoh. Selain itu ada juga yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.

Sekolah SMR sudah tiada kini. Sekolah SMR Selekoh juga sudah berubah nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak, menyediakan pendidikan daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam. 

Begitu juga peperiksaan LCE atau SRP (yang kemudian dikenali sebagai Penilaian Menengah Rendah atau PMR) sudah lama dimansuh. Pelajar yang memasuki sekolah menengah akan mendapat pendidikan terus hingga Tingkatan Lima tanpa peperiksaan.


Bekas pelajar Form 3A, SMR Selekoh tahun 1971 yang menghadiri 'reunion' pada 17 Ogos 2024 di Keramat, Hulu Kelang. Duduk dari kiri Mohd Sarwani Abdul Hamid, Ahmad Abd Hamid, Yunus Yusak. Berdiri dari kiri Rahmah Mohamed, Rahman Idris, Mahmud Muhammad, Samsudin Kecik, Amirdin Nazri, Sharif Arshad dan Darawati Md Zain.


Dalam senario inilah, ramai rakan sekelas Form 3A berpisah selepas tamat peperiksaan. Ada yang menyambung pelajaran Tingkatan Empat di sekolah menengah di kawasan Bagan Datuk juga. Ada yang ke sekolah di Teluk Anson (Teluk Intan) dan lain-lain.

Perpisahan ini menyebabkan hubungan antara rakan terputus lama. Oleh itu usaha dilakukan bagi mengesan satu demi satu rakan melalui seorang dua rakan yang telah dapat dikesan. 

Melalui rakan-rakan tersebut, lebih ramai dapat dikesan walau pun masih belum dapat mengumpul semuanya. Ekoran itu reunion dicadang dan kini jadi acara tahunan.

Pertemuan ketiga berlangsung mesra dan dalam suasana persahabatan. Sejajar usia, keadaan sudah berubah. Rambut hitam sudah bertukar putih. Juga yang sakit seperti sakit kaki. Namun demi rakan-rakan tetap datang. Isteri dan anak jadi peneman. Banyak perkara dibualkan, mengimbau kenangan ketika di sekolah. Ada cerita suka, ada cerita duka mengenangkan sahabat yang sudah dahulu menyahut panggilan Ilahi.

Hidangan makan tengah hari dan kuih muih yang disediakan oleh tuan rumah serta buah tangan yang dibawa oleh rakan-rakan menambah seri majlis. Hadiah dan cenderamata untuk dibawa pulang tidak dilupakan.

Pertemuan rakan sekolah adalah umpama serampang pelbagai mata. Yang utama mengeratkan silaturahim, memastikan ikatan persahabatan tetap tersimpul erat. Selain itu berkongsi cerita dan perkembangan terkini, di samping mengimbau kisah lalu yang berwarna warni.

Pertemuan rakan-rakan Form 3A, SMR Selekoh yang bermula pada pukul 12.30 tengah hari itu berakahir pukul 3.30 petang. Masing-masing pulang dengan rasa gembira dan puas hati, diiring  harapan dan doa akan bertemu kembali pada tahun hadapan (2025). Insya-Allah. - KitaReporters


BEKAS pelajar Form Three A bersama pasangan pada majlis reunion di Keramat, Hulu Kelang 17 Ogos 2024.

18
14
0
16
0
You will be interested