Insan & Komuniti 12 Dec, 2024

Tolong kami! Bantu penduduk Aleppo, Idlib! Islamic Relief perluas bantuan makanan, perubatan di Syria!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this

Kakitangan Islamic Relief memantau penyediaan roti hasil sumbangan tepung di kedai roti.


Islamic Relief giat memperluas bantuan makanan dan perubatan kepada penduduk awam di Aleppo dan Idlib, di tengah-tengah konflik dan pertempuran yang semakin memuncak di barat laut Syria sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Susulan laporan mengenai kekurangan bekalan makanan dan perubatan di Aleppo, Islamic Relief telah menyumbang 140 tan tepung bagi memastikan operasi kedai roti dapat diteruskan untuk menyediakan makanan kepada penduduk.

Selain itu, Islamic Relief juga merancang untuk menghantar petugas kesihatan dan peralatan dialisis bagi menyokong kemudahan perubatan yang kini sesak dengan orang awam yang terjejas. 

Peningkatan keganasan telah memaksa banyak hospital swasta menghentikan operasi.

Di Idlib, klinik bergerak yang dikendalikan oleh Islamic Relief terus beroperasi walaupun kawasan itu sering menjadi sasaran serangan. 

Sebuah pusat kesihatan di Idlib yang turut mendapat bantuan Islamic Relief telah rosak akibat pertempuran dan terpaksa ditutup sementara. Pusat ini biasanya menjalankan puluhan pembedahan secara percuma setiap bulan.

Rajab Haj Salem, Ketua Pejabat Islamic Relief di Idlib, berkata: “Aleppo dan Idlib, yang merupakan kawasan paling padat penduduk, kini menjadi sasaran serangan hebat. 

"Pada waktu tertentu, pusat bandar Idlib dihujani serangan artileri setiap 30 minit.

“Saya sendiri terpaksa meninggalkan rumah saya di Idlib kerana kawasan itu telah menjadi sasaran. Saya menyaksikan bangunan tujuh tingkat musnah akibat serangan udara, manakala hospital universiti terus diserang, dengan serangan udara berlaku di sekitarnya.

“Jika pengeboman ini berterusan, akan berlaku gelombang besar perpindahan ke kawasan luar bandar.”


Kakitangan Islamic Relief mengagihkan roti kepada penduduk terjejas di Syria.


Penduduk Aleppo melaporkan kekurangan bekalan asas, semakin meruncing. Sementara itu, di Idlib, makanan, bahan api, dan perkhidmatan kesihatan masih tersedia buat masa ini. 

Namun, selepas lebih daripada 13 tahun krisis, kadar pengangguran yang tinggi menyebabkan ramai penduduk tidak mampu membeli keperluan asas.

Krisis di barat laut Syria telah memuncak selama berbulan-bulan dan kini meningkat dengan mendadak. 

Ini adalah kali pertama sejak 2016 pertempuran berlaku di dalam bandar Aleppo, yang dahulunya menempatkan 4 juta penduduk.

Islamic Relief menyeru agar orang awam dan infrastruktur awam seperti hospital dan sekolah dilindungi daripada sebarang serangan.

Bagi Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) pula, serangan yang berlaku di barat laut Syria perlu dihentikan segera.

"Islamic Relief Malaysia menyeru agar semua pihak menghentikan segera serangan di barat laut Syria yang mengancam nyawa orang awam serta memusnahkan infrastruktur penting seperti hospital dan sekolah.

“Perlindungan kepada orang awam mesti menjadi keutamaan bagi mengelakkan penderitaan yang semakin parah di kawasan tersebut," Mohd Shukor Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia.

IR Malaysia sentiasa membuka ruang kepada orang ramai untuk menyumbang ke tabung Selamatkan Syria bagi membantu rakyat Syria yang memerlukan. 

Hubungi 03-8926 3434 atau layari www.islamic-relief.org.my untuk info lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media


Salah satu projek hasil sumbangan rakyat Malaysia, projek pembinaan rumah untuk keluarga terjejas gempa bumi di Idlib.

10
15
0
7
0
You will be interested