Insan & Komuniti 13 Oct, 2024

Sembang-Sembang| Sejauh mana sayang kita kepada keluarga? Tetap satu keluarga walaupun berbeza haluan!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Nilai keluarga. Air dicincang tidak akan putus. Sebusuk-busuk daging, jika dicincang dan direbus akan dimamah jua.

Keluarga adalah insan-insan yang tinggal di dalam sebuah rumah bersama kita sejak kita lahir atau yang masuk dalam hidup kita sebagai keluarga. 

Ini ibu bapa, adik beradik, atok nenek, ipar duai, sepupu sepapat dan sebagainya adalah keluarga kita. 

Di sinilah hidup kita bermula. Di sini juga peribadi kita terbentuk. Di sini juga kasih sayang bersemi. Selain cinta dan kasih sayang, sebuah keluarga perlukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. 

Sejauh mana sayang kita kepada keluarga? 

Menjaga keluarga satu tanggungjawab. Tak boleh abai amanah ini. Mesti selalu dijaga dan dipupuk kasih sayangnya.

Keluarga tetap keluarga. 

Walaupun tidak sehaluan, fikirkan kebaikan. Buang yang negatif. Ambil yang positif. Bermaaf-maafanlah. Jangan dibiar sampai melarat. 



Ingatlah.. Tidak ada keluarga yang sempurna. 

Terkadang, berkelahi, bahkan berhenti menegur satu sama lain. Namun pada akhirnya, keluarga tetaplah keluarga, di mana sayang akan selalu ada. 

Rindu akan selalu bertamu. Marah akan hilang. Benci bertukar sayang. Jika kita ingat Allah, semua akan baik-baik sahaja. 

Berkasih sayang dan menjaga keluarga dengan baik antara nikmat yang Allah sediakan kepada manusia. 

Begitu juga dilapangkan rezeki dan dipanjangkan Umur serta diberkati hidup dunia akhirat. Semua aturan Allah. 

Bersyukur jika kita masih ada peluang duduk bersama dengan keluarga, bersembang dan bergurau senda tidak seperti sesetengah orang yang dibuang keluarga dan hilang nikmat yang sangat berharga. 

Usah dikira status kita di dalam keluarga tapi siapa kita di hati mereka. Kita yang perlu mewarnai hidup keluarga dengan rona-rona cantik dan harmoni dari hati. 

Bukan berlumba menunjuk kehebatan. Tidak bermegah dengan kekayaan, pangkat dan darjat. Semua itu bukan hak kita, ia pinjaman daripada Allah semata- mata. 

Keluarga, seperti sebatang ranting dan dahan di pokok,  tumbuh ke arah yang berbeza, namun akarnya tetap teguh memasak bumi. 

Dalam hidup berkeluarga masalah tetap ada. Pentingnya saling hormat menghormati, bertolak ansur dan menjaga silaturrahim kerana Allah. 



Jadikan  pertemuan antara keluarga sebagai platform untuk mengeratkan hubungan. 

Reunion, family day  kenduri kendara adalah cara terbaik mengenali keluarga dekat dan jauh terutama pada hari raya. 

"Jika seorang manusia mati, maka terputuslah daripadanya semua amalnya kecuali dari tiga hal; dari sedekah jariyah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya." (HR Muslim no. 1631).

Bersama keluarga kehidupan kita bermula dan kasih sayangnya pula tidak pernah berakhir walaupun kita sudah berbeza dunia.

Di dunia mengumpul pahala moga bahagia menanti di syurga. Sayangi diri, sayang keluarga! - KitaReporters


12
13
0
13
0
You will be interested