Insan & Komuniti 02 Jun, 2025

Manusia lwn haiwan liar! Konflik tiada penghujung! Gajah datang lagi! Tanaman musnah! Pekebun rugi!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


Pagar kebun yang dirosakkan oleh gajah liar sebelum memasuki kawasan tanaman kelapa sawit.


Pegawai Perhilitan Segamat (kiri) memberi penerangan kepada pekebun dan Haslida Salleh (dua dari kiri) serta Tan Chong (tiga dari kiri) ketika melakukan tinjauan ke kebun terjejas di Kawasan Temayor, Labis, Johor pada 30 Mei 2025 lalu.


Kawasan Labis yang bersempadan dengan Hutan Simpan Labis yang juga merupakan antara kawasan hutan hujan tropika tertua di tanah air mendedahkan berlakunya konfik antara manusia dengan haiwan liar khususnya gajah.

Bila berlaku 'pertembungan' antara haiwan dan manusia, kita sering melihat haiwan liar sebagai ancaman kepada keselamatan serta tanaman  sahaja terutama dalam aspek 'perebutan' kawasan yang telah berlarutan lebih 50 tahun lalu tanpa jalan penyudah.

Penduduk seringkali tidak bersikap adil dengan menyalahkan haiwan liar sebagai penceroboh lebih-lebih lagi apabila pernah berlaku kejadian sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian dalam kalangan penduduk diserang oleh haiwan liar sedangkan tanpa mahu mengakui sikap kita merupakan punca konfik yang berlaku kerana manusialah yang sering menceroboh habitat haiwan liar.

Manusia dengan rakus memunggar kawasan hutan yang menjadi habitat haiwan liar sebagai kawasan penempatan  mahu pun pertanian tanpa kawalan, sekali gus menjejaskan kehidupan lain. 

Terbaharu pertembungan antara gajah liar berlaku lagi di kawasan Temayor, Labis, Johor yang menyebabkan lebih 10 pekebun mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas tanaman mereka dimusnahkan oleh dua ekor gajah liar yang mula memasuki kebun mereka sejak 20 Mei 2025 lalu.


Yi Siong Yee


Salah satu pagar kebun penduduk yang dirosakan oleh gajah liar.


Salah seorang pekebun, Eey Kian Ming, 60, yang mengusahakan tanaman kelapa sawit di kebun miliknya seluas lima ekar berkata lebih 100 pokok anak sawit di kebunnya dimusnahkan oleh haiwan liar tersebut dalam tempoh 10 hari lalu.

"Gajah liar tersebut memasuki kebun saya sebanyak tiga kali dan kejadian terbaharu pada malam 29 Mei lalu di mana lebih 20 anak pokok sawit yang baru ditanam bagi mengantikan pokok yang dimusnahkan sebelum ini dimusnahkan sekali lagi.

"Kami telah membuat aduan kepada pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Segamat dan tindakan seperti rondaan serta pemantauan oleh pihak terbabit sudah pun dilakukan," katanya.

Dia ditemui ketika melakukan tinjauan pada 30 Mei 2025 bersama pihak Perhilitan; ADUN Tenang, Haslinda Salleh; ADUN Bekok, Tan Chong; dan Ketua Kampung Paya Merah, Abdul Razak Harun di kebun terjejas. 

Katanya, pada waktu siang haiwan liar tersebut bersembunyi di kawasan hutan berhampiran dan hanya akan memasuki kawasan kebun pada lewat malam atau awal pagi.

Siaw Sing Hoay


Selain kelapa sawit dan pisang, anak pokok durian milik penduduk  turut dirosakkan oleh gajah liar.


Sementara itu, Siaw Sing Hoay, 67, berkata dia yang mengusahakan 15 ekar tanaman pisang dan kelapa sawit turut terjejas teruk di mana secara keseluruhan dianggarkan 500 pokok pisangnya telah dimusnahkan gajah liar tersebut.

Menurutnya, kerugian yang dialami bukan setakat kemusnahan tanaman pisang, malah anak pokok kelapa sawit juga turut dimusnahkan dan berharap masalah ini dapat diatasi segera, dengan tindakan pihak berwajib menghalau haiwan tersebut jauh ke kawasan hutan sekiranya usaha menangkap atau memindahkannya tidak dapat dilakukan.

Rakannya, Eey Kian Ming, 60, yang mengusahakan tanaman durian berkata, selain mengalami kerugian akibat kemusnahan tanaman, pekebun juga bimbang keselamatan mereka kerana terdapat beberapa pekebun yang terserempak haiwan liar tersebut ketika menoreh getah pada awal pagi.  

Ujarnya lagi terdapat pekebun yang tidak berani memasuki kebun untuk menoreh getah pada awal pagi terutama pemilik kebun berhampiran kawasan hutan yang bimbang keselamatan mereka  menyebabkan pendapatan mereka terjejas. 


Yi Siong Yee menunjukkan kesan tapak kaki gajah liar yang memasuki kebunnya.


ADUN Tenang , Haslinda yang meninjau kawasan kebun terjejas bersama pihak Perhilitan Segamat dan pekebun menasihatkan pekebun agar berhati-hari dan mengutamakan keselamatan ketika berada di kebun.

Katanya, setakat ini tindakan yang diambil oleh pihak Perhilitan adalah membuat rondaan termasuk pada waktu malam dan menghalau gajah-gajah tersebut ke hutan berdekatan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi segera.

"Sebenarnya terdapat prosedur tertentu untuk melaksanakan usaha menangkap dan memindahkan gajah-gajah tersebut di mana antara syarat yang membolehkan usaha tersebut dilakukan kawasan terbabit mestilah merupakan kawasan yang mempunyai penduduk atau penempatan manusia.


"Selain itu syarat lain sebelum pemindahan boleh dilakukan, usaha menghalau perlu dilakukan terlebih dahulu dan dalam tempoh dua minggu jika gajah liar tersebut masih berada atau memasuki kawasan terbabit, barulah usaha menangkap dan memindahkannya boleh dilakukan," katanya kepada pemberita.

Haslinda juga menasihatkan pekebun yang terjejas agar membuat tafsiran kerugian dan membuat laporan polis bagi memudahkan pengagihan sekiranya terdapat sebarang bantuan yang disalurkan oleh mana-mana pihak bertanggungjawab nanti. - KitaReporters

Tanaman kelapa sawit merupakan antara makanan kegemaran gajah dan pagar zink tidak mampu menghalang gajah-gajah tersebut memasuki kawasan kebun.

14
21
0
11
0
You will be interested