Insan & Komuniti 30 Mar, 2025

Bila ABAH Bersuara| Sana sini lebuh raya dan tol! Selalu lalu lebuh raya bertol? Tahukah sejarahnya?

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this


TENTU ramai yang akan pulang ke kampung halaman pada Hari Raya Aidilfitri ini melalui lebuh-lebuh raya bertol, melainkan jika menggunakan jalan persekutuan, dikenali jalan lama tanpa tol.

Ramai memilih lebuh raya walau pun perlu membayar tol kerana jalannya lebih baik, perjalanan lancar. Cuma kerana ramai yang balik kampung, di sana sini sepanjang lebuh raya mungkin berlaku kesesakan.

Lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam dan sebaliknya, serta Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Changkat Jering, Perak, yang biasanya lapang juga dijangka sesak. Jalan Persekutuan pun dijangka begitu.


Kredit foto: Kosmo Digital


Tol yang kita rentasi, sama ada PLUS, WCE atau pelbagai lagi rangkaian lebuh raya dalaman seperti LPT, Karak, Duke, Sprint, SUKE, Akleh, LDP dan sebagainya adalah tol era moden berikutan pembinaan banyak lebuh raya di Malaysia. Tol ini dikutip oleh pemilik konsesi untuk tempuh  tertentu.

Perlu diingat, lebuh raya pertama dibina di Malaysia ialah Lebuh Raya Persekutuan atau Federal Highway yang menghubungkan Kuala Lumpur degan Kelang. 

Pada permulaan tiada tol dikenakan di lebuh raya ini yang kini merupakan lebuh raya yang tersibuk.

Jika pada peringkat permulaan tenaga manusia digunakan untuk mengutip tol, perlahan-lahan ia bertukar kepada sistem sentuhan kad atau kad kredit yang membolehkan perjalanan lebih licin melepasi palang tol. Kini tiada sentuhan diperlukan jika menggunakan kad Smart atau RFID.

Dalam kita melalui lebuh raya, sama ada perjalanan jauh atau dalam bandar, berapa ramai antara kita yang tahu sejarah tol? Bila dan di mana bermulanya sistem kutipan tol di negara ini?


Pemandangan dari udara lebuh raya bertol pertama di Malaysia yang terletak di Jalan Persekutuan 1 antara Slim River dan Tanjong Malim, Perak. Plaza tol mula beroerasi pada Mac 1966.


Plaza tol pertama di Malaysia terletak di Jalan Persekutuan 1, dikenali sebagai Lebuh Raya Tanjong Malim-Slim River. Kedudukan lebuh raya ini antara pekan Slim River dengan Tanjong Malim, Perak. Lebuh raya bertol ini juga merupakan yang pertama di rantau Asia.  

Jalan dua hala sepanjang 20 kilometer ini dilebar dan dinaik taraf menjadi lebuh raya bertol pada 1966. Ia dibuka kepada lalu lintas pada tahun sama dengan kutipan tol bermula pukul 6 pagi 16 Mac 1966.

Bayaran tol yang dikenakan ketika itu bergantung kepada kenderaan. 

Motorsikal dikenakan bayaran dua kupang atau 20 sen, kereta lima kupang atau 50 sen. Bas dan lori pula dikenakan tol RM1. Penulis pernah melalui tol ini bersama abang.

Pada masa itu, belum ada lebuh raya di Malaysia. Laluan ke utara dan selatan tidak ada pilihan selain melalui jalan persekutuan, termasuk merentasi Slim River dan Tanjong Malim. Tanjong Malim ialah bandar sempadan dengan negeri Selangor.


Suasana nyaman di sepanjang jalan persekutuan antara Tanjong Malim dan Slim River yang suatu ketika dahulu jalan raya bertol.


Dengan lengkapnya pembinaan PLUS pada 1994, plaza tol Slim River-Tanjong Malim diroboh, kutipan tol dihentikan. Lebuh raya bertol tersebut bertukar kepada jalan persekutuan biasa tanpa tol.

Yang tinggal kini hanyalah kenangan tol Slim River-Tanjong Malim. Bagi yang biasa menggunakan jalan lama, dan ingin meninjau bekas kawasan tol itu, mungkin agak sukar mengesannya. Bolehlah bertanya kepada masyarakat setempat, terutama golongan veteran.

Namun satu petunjuk yang boleh dijadikan panduan ialah lokasi kawasan tol dan sebahagian bangunan kawasan Rehat dan Rawat (RnR) tol tersebut difahamkan kini merupakan Pejabat Stor Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muallim, Perak. Carilah pejabat tersebut. - KitaReporters


Pemandangan sebahagian bandar Tanjong Malim, Perak, yang bersempadan dengan negeri Selangor.


Sebahagian pekan Slim River, Perak, tempat persinggahan pemandu yang menggunakan jalan persekutuan.

 

 

 

 

 

8
9
0
16
0
You will be interested