
PENULIS (depan, kiri sekali) ketika bersekolah di Sekolah Menengah Methodist, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
PADA 26 dan 27 April, 2025 ini, bekas murid-murid batch 1977-1979 Sekolah Menengah Methodist Nibong Tebal (SMMNT), Pulau Pinang akan berkampung sekali lagi selama dua hari di Kelab Golf Jawi, Seberang Perai, bagi majlis reunion kali keempat.
Sebenarnya, ini adalah antara acara yang penulis tunggu-tunggu.
Walaupun sejak 2018 sudah tiga kali kami menganjurkan pertemuan semula dan muka yang sama juga hadir namun keterujaan untuk berjumpa lagi kawan-kawan lama tidak pernah pudar.
Meskipun sudah lebih 40 tahun meninggalkan alam persekolahan tapi momen-momen pada zaman persekolahan sentiasa segar dalam ingatan terutama ketika bersekolah di SMMNT.
Penulis bersekolah di SMMNT selama dua tahun sahaja iaitu ketika tingkatan empat dan lima pada 1978 dan 1979 tapi cukup untuk memahatkan kenangan indah.

MAJLIS reunion mempertemu kembali penulis dengan rakan-rakan sekolah.
Benarlah kata orang, zaman persekolahan adalah fasa yang paling menyeronokan dalam hidup kita. Walaupun cabarannya juga bukan sedikit kerana ia bakal menentukan masa depan kita namun keseronokan mengatasi segala-galanya.
Bila mengenang kembali zaman persekolahan, penulis tersenyum sendiri. Terbayang semula saat itu dan teringat kepada kawan-kawan lama seperti Bain, Zali, Zul, Mokhtar, Razak, Koei, Nurie, Fati, Lia, Siti, Mazni, Shidah, Milah, Eton dan ramai lagi.
Ada antaranya yang masih berhubung terutama selepas reunion pertama pada tahun 2018 tapi ada juga yang missing in action, gagal dikesan. Tidak pasti apakah mereka masih hidup atau sebaliknya.
Antara kenangan di bangku sekolah yang penulis tidak boleh lupa adalah fenomena abang angkat, kakak angkat dan adik angkat yang menjadi trend ketika itu.
Lazimnya yang suka berabang, berkakak dan beradik angkat adalah murid-murid perempuan. Pelajar lelaki tak ambil kisah sangat kerana bagi mereka status ‘angkat’ itu tidak membawa sebarang makna.

PENULIS dengan gaya rambut Beatles pada zaman persekolahan.
Namun, jika anda mahu mengukur sejauh mana anda popular di sekolah, status angkat ini boleh dijadikan kayu ukurnya. Jika ramai yang mahu menjadikan anda sebagai abang angkat atau adik angkat, itu maknanya anda seorang yang popular.
Penulis tidak terlepas daripada ‘terjerumus’ dalam fenomena ini. Ramai murid senior terutama perempuan menjadikan penulis adik angkat mereka. Dan ada seorang dua murid junior menjadikan penulis abang angkat.
Sebenarnya dalam hal ini, penulis sentiasa bersikap terbuka, tidak memilih, sesiapapun yang sudi menjadikan penulis adik angkat atau abang angkat, kecil tapak tangan, nyiru penulis tadahkan.
Ketika itu, ‘kembang’ jugalah hidung penulis kerana seperti dikatakan, seseorang yang mempunyai ramai kakak atau adik angkat, ia menunjukkan pelajar itu seorang yang popular dalam kalangan murid di sekolah.
Maka, ketika itu memang penulis agak ‘perasan’ kerana menganggap diri seorang yang popular sehingga menjadi ‘jejaka rebutan’ dalam kalangan murid-murid perempuan untuk dipilih sebagai adik atau abang angkat.

PENULIS bersama rakan-rakan sekolah.
Seorang kawan sekolah penulis, dalam satu majlis reunion pernah berkata: “Rodly dulu, macam gula dihurung semut, di mana ada dia, di situ ada budak perempuan!”
Sebenarnya, penulis sendiri tidak pasti mengapa menjadi ‘blue-eyed boy’ dalam kalangan murid terutama pelajar perempuan. Dan tak nafikan penulis mempunyai lebih ramai kawan perempuan berbanding lelaki di sekolah itu.
Apa yang penulis perasan adalah murid-murid lelaki
yang menjadi calon favourite untuk dijadikan ‘saudara angkat’ terdiri daripada
tiga kategori iaitu yang pintar, yang kacak dan yang popular.
Sudah tentu penulis tidak masuk dalam kategori pertama kerana bukanlah seorang murid yang pintar sebaliknya hanya sederhana. Lagipun murid-murid aliran sastera seperti penulis memang dianggap murid kelas B berbanding aliran sains.
Kategori kedua? Pun tak pasti tapi ramai kakak angkat penulis memuji penulis ‘cute’. Adusss... mendengar pujian itu, penulis berasa seolah-olah melayang di awangan.

PENULIS (kanan) membawa watak Hang Jebat dalam pementasan drama di sekolah.
Penulis mungkin boleh dimasukkan dalam kategori ketiga iaitu popular kerana ketika itu penulis sudah mula mencipta nama sebagai penulis. Boleh dikatakan saban minggu byline penulis terpampang di akhbar atau majalah.
Apatah lagi di sekolah, penulis seorang yang aktif menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu seperti berlakon, berpantun, bersajak, bersyair dan menjadi tekong kumpulan boria. Malah, penulis pernah menjadi pengarah, penulis skrip dan pelakon utama dalam pementasan drama 'Jebat' ketika penulis berada tingkatan empat pada 1978.
Drama itu mendapat sambutan dan dipentaskan sebanyak dua kali atas permintaan guru. Ia sedikit sebanyak menaikkan rating penulis di sekolah.
Mungkin itulah sebab ramai yang mahu mendampingi penulis sebagai adik angkat atau abang angkat walaupun status itu tidak membawa sebarang makna kepada penulis.
Cuma, sesuatu yang dapat penulis rasakan, sebagai adik angkat, penulis sentiasa mendapat layanan istimewa daripada mereka yang menjadi kakak angkat penulis.

BARISAN pelakon drama 'Jebat'.
Setiap hari, pasti ada kakak angkat yang membawa makanan dari rumah untuk dikongsi makan bersama penulis pada waktu rehat. Kalau hari ini ada yang bawa nasi lemak, esok ada kakak angkat lain bawa bihun goreng dan sebagainya.
Begitulah setiap hari, dari Isnin sehingga Jumaat.
Pendek kata, perut penulis sentiasa terisi dan duit belanja yang emak bagi
tidak terusik!
Bukan itu saja, kakak-kakak angkat bergilir-gilir belanja penulis makan semasa pulang dari sekolah. Selalunya, kami akan singgah di kedai buah-buahan untuk makan rojak buah dan ais kacang atau ke restoran mamak untuk pekena pesembor atau mi rebus dan cendol!
Ada juga kakak angkat yang mengajak penulis makan tengah hari di rumahnya, sekali gus diperkenal dengan keluarganya. Itulah untungnya ada kakak angkat.
Malah, ada yang memberi pelbagai hadiah terutama pada hari ulang tahun kelahiran. Penulis masih ingat, seorang kakak angkat membawa penulis hingga ke Pulau Pinang semata-mata mahu membelikan sehelai baju untuk penulis sempena nak sambut hari raya.

ANTARA yang hadir pada reunion 2023 lalu.
Penulis dapat mengesan, ada ketika kakak-kakak angkat penulis saling bersaing untuk memenangi hati penulis menyebabkan tercetus rasa iri hati antara mereka sehingga ada yang bermasam muka.
Tapi, selalunya, penulis melayan mereka dengan sama rata, tidak ada sikap pilih kasih kerana bagi penulis semuanya memberi ‘manfaat’ kepada penulis. Bila mereka saling bersaing, yang untung adalah penulis!
Penulis juga mempunyai beberapa orang adik angkat yang terdiri daripada murid-murid lebih junior terutama perempuan. Sebagaimana kakak angkat, merekalah yang memilih penulis menjadi abang angkat.
Sebagai abang angkat, penulis lazimnya hanya memainkan peranan memberi motivasi atau nasihat kepada mereka. Sehingga kini, salah seorang adik angkat penulis masih berhubung dengan penulis walaupun sekadar menerusi Facebook.
Zaman berlalu dan berubah, fenomena abang angkat, kakak angkat dan adik angkat di sekolah sudah tidak kedengaran sekarang. Mungkin teknologi yang mengambil alih menjadikan trend itu sudah tidak relevan.
Namun, ia adalah antara kenangan terindah pada zaman persekolahan penulis dahulu. Reunion pada 26 dan 27 April (2025) nanti sudah pasti mengembalikan memori itu. - KitaReporters
