
Pak Yub bersama penyembelih, Ustaz Alias Ahmad yang terhibur dengan celotah beliau.
Berceloteh dan lawak bersahaja Pak Yub mewarnai kemeriahan serta menyuntik kegembiraan hati peserta dan mereka yang hadir pada Program Korban Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 2025 Surau As-Siddiq, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.
Beliau yang tidak lekang dengan pembesar suara sebagai pengacara majlis itu tidak penat berceloteh daripada peringkat awal arahan untuk pendaftaran peserta korban, sukarelawan dan petugas dengan lawak selamba menyebabkan ramai tidak kering gusi ketawa.
Tidak cukup dengan itu setiap khemah yang menempatkan
petugas untuk memotong daging, tulang dan menimbang turut diusik Pak Yub dengan
mengusik mereka itu masih bersantai sambil berborak kerana lembu belum siap
dilapah.
Begitu juga kaum wanita di bahagian dapur yang rencak usik-mengusik dan berbual isu semasa sambil memotong bawang dan menyiapkan rencah lain kerana terpaksa bersabar menunggu daging dan tulang yang akan dimasak untuk dimakan selepas selesai majlis korban.

Sambil berseloroh dengan humor lucu Pak Yub menghiburkan petugas di bahagian memotong dan membungkus daging korban.
Apabila membuat pengumuman meminta peserta yang mengambil bahagian hadir berhampiran lembu hendak disembelih beliau bersahaja berceloteh dengan selamba mengatakan bukan sahaja lembut yang stres tetapi Ketua Lembu yang dilantik juga stres kerana peserta tidak dikunjung tiba.
“Sabar Ketua Lembu jangan diikutkan stres macam lembu nanti
saya buat pengumuman menjemput peserta yang mengambi bahagian untuk berada
berdekatan lembu masing-masing apabila tukang sembelih sudah siap sedia hendak
melakukan sembelihan,” ujarnya sambil disambut gelak ketawa mereka yang hadir
pada majlis program korban pada 7 Jun 2025.
Pak Ayub atau nama sebenarnya Ayuh Shafii adalah Bekas Timbalan Ketua Balai Polis, Seri Petaling yang ditemui, berkata dia terpaksa memikir cara berkesan serta lembut dalam menguar-uarkan gerak kerja pada program itu supaya mereka yang hadir tidak berasa bosan.

Sambil melemparkan jenaka Pak Yub turut mengingatkan petugas berwaspada apabila terbabit dalam kerja pemyembelihan.
Menurutnya, untuk menyembelih, melapah, memotong daging, tulang serta membungkus bukan suatu kerja yang mudah kerana memerlukan kerjasama semua pihak terbabit terutama sukarelawan dan petugas supaya berjalan lancar dan siap pada masa ditetapkan.
Jelasnya, bagi menggembirakan hati mereka yang terpaksa
bertungkus lumus, dia menyelitkan unsur humor dan lucu ketika berceloteh supaya
arahan diberikan tidak membuat mereka berasa tertekan atau penat.
“Ini juga dapat membantu menghidupkan suasana menyambut Hari
Raya Aidiladha supaya semua berasa gembira dan melihat ibadah korban dengan
hati berasa seronok serta terhibur walaupun berada di bawah panas terik.
“Saya mengingatkan kepada sukarelawan dan petugas yang terbabit dalam kerja melapah, memotong daging atau tulang iaitu apabila 10 lembu dikorbankan ekornya mesti cukup 10 juga jangan ada yang cuba seludup keluar,” ujarnya sambil diiringi gelak tawa mereka yang hadir.

Pak Yub (dua dari kiri) dengan nada suara berseloroh membaca senarai nama peserta yang mengambil bahagian korban untuk lembu tujuh sambil diperhati oleh ketua lembu berkenaan, Amiruddin.
Pengarah Projek program berkenaan, Rohaimi Zainol, berkata peranan
Pak Yub dalam mengacarakan program itu dengan berlawak serta membawa humor lucu
banyak membantu melancarkan agihan tugas sukarelawan serta petugas terutama
bagi memastikan setiap bahagian lembu diletakan dalam khemah mengikut nombor
setiap lembu.
Menurutnya, dia sendiri pun tidak menjangka Pak Yub mampu
berceloteh dengan lawak mengusik setiap mereka yang hadir kerana membantu
menghilangkan rasa penat apabila hati berasa terhibur dengan unsur humor lucu diutarakan.
Petugas di bahagian memotong tulang, Idris Asaran, berkata
memang menyeronokkan serta menghiburkan hati mendengar celotah Pak Yub yang
mengusik setiap sukarelawan dan petugas supaya tidak lalai melaksanakan tugas
yang dipertanggungjawabkan.
“Dalam situasi program sebegini kita tidak perlu terlalu serius atau menggunakan suara yang keras apabila mengeluarkan arahan kerana ia lebih berkesan secara humor lucu dan berlawak disamping menghidupkan sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya.

Idris Asaran (kanan) memantau kerja pemotongan tulang lembu sebelum diagihkan kepada peserta yang mengambil bahagian.

Pengerusi Surau As Siddiq, Mustafa Anas (kiri) mengagihkan daging korban kepada peserta yang mengambil bahagian sambil diperhati oleh Rohaimi Zainol (dua dari kanan).