Insan & Komuniti 03 May, 2025

Mahu jadi mesra ibadah! Petugas, sukarelawan hadiri bengkel! Anjuran Akademi Hospital Mesra Ibadah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Nurul Aisyah Amir Ramli berbincang dengan peserta mengenai panduan ibadah warga emas secara teori.


Peluncuran Bengkel Pemantapan Penjagaan Warga Emas: Sejahtera Fizikal, Mental dan Spiritual merupakan usaha untuk merealisasikan hasrat mewujudkan pusat jagaan warga emas mesra ibadah yang mendapat kerjasama Hospital Pakar Al-Islam Specialist, Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

Bengkel yang dikelolakan oleh Akademi Hospital Mesra Ibadah diadakan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor dengan disertai 30 petugas pusat itu, Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, Pusat Jagaan Insan (PJI), Semenyih serta ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) pada 29 April 2025.


Dr Ishak Mas'ud menyampaikan taklimat mengenai penjagaan holistik warga emas pada bengkel berkenaan.


Ketua Akademi, Nurul Aisyah Amir Ramli mengetuai bengkel berkenaan turut disertai Pengarah hospital pakar itu, Dr Ishak Mas’ud; Pengurus Kejururawatan, Suzal Ashima Sulaiman; serta Pengurus Jabatan Pembangunan Klinikal dan Rekod Perubatan, Mastura Ahmad.

Antara pengisian bengkel berkenaan ialah mengenai pelaksanaan penjagaan kesihatan dan spiritual kepada penjaga selain kepentingan kebersihan serta keselamatan dalam penjagaan warga emas disamping panduan ibadah.

Perjalanan bengkel itu secara teori dan praktikal khusus berkaitan panduan ibadah warga emas memberi kefahaman mendalam kepada petugas atau sukarelawan apabila melaksanakan tugas pengurusan penghuni yang uzur, terlantar di atas katil dan masalah anggota badan gagal berfungsi dengan normal.


Suzal Ashima Sulaiman menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan penjagaan kesihatan dan spiritual kepada penjaga.


Dalam taklimat memulakan bengkel itu, Dr Ishak memberi penerangan dengan menekan penjagaan yang holistik berkonsep sihat dalam Islam membabitkan dari segi fizikal, mental dan spiritual kerana pelayanan terbaik hanya boleh diberi oleh insan terbaik.

Beliau berkata, dengan penjagaan bersifat holistik itu ia bukan setakat menjaga dari segi kesihatan sahaja malah perlu memberi tumpuan kepada spiritual, mental dan ibadah pesakit atau warga emas yang diuruskan.

Tambahnya, langkah itu bagi memastikan mereka yang mendapat penjagaan itu terus menjaga solat, ibadah serta amalan lain supaya kekal bertaqwa dan mendapat keredaan daripada Allah swt hasil pengurusan atau perkhidmatan terbaik petugas juga sukarelawan. 

“Seperti hospital mesra ibadah, pusat jagaan antaranya perlu mengambil kira malah melaksanakan visi akhirat, kaedah holistik, budaya senyum, salam, taqwa, mendekatkan diri dengan Allah dan membantu melaksanakan ibadah serta solat,” ujarnya.


Mastura Ahmad menerangkan mengenai pentingnya kebersihan dan keselamatan dalam penjagaan warga emas.


Menyoroti kembali langkah awal PJMM untuk menjadi pusat jagaan warga pertama di negara ini berkonsepkan mesra ibadah, Setiausahanya, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata pihaknya sudah lama ingin merealisasikan hasrat itu namun tidak menemui platform yang sesuai untuk dijadikan panduan serta bimbangan.

Menurutnya, namun menerusi program Jalinan Kerjasama Jariah Ziarah Ramadan 2025 di hospital berkenaan membuka lembaran baharu kepada PJMM, sekali gus menjadikan mereka berada pada platform yang betul untuk memperkasakan idea ke arah pusat jagaan warga emas berkonsepkan mesra ibadah.


Suzal (kanan) menerangkan mengenai cara berwuduk warga emas yang anggota badan berbalut kerana menjalani rawatan.


“Alhamdulillah Akademi Hospital Mesra Ibadah mengorak langkah besar dalam memperkenal asas-asas yang perlu kepada petugas PJMM ke arah pelaksanaan misi menjadi pusat jagaan warga emas mesra ibadah pertama negara dalam bengkel ini.

“Selain itu, bengkel yang didedahkan secara teori dan praktikal ini sekali gus memberi nilai tambah kepada petugas pusat jagaan serta sukarelawan untuk lebih memahami tanggungjawab melaksanakan tugas ke arah berkonsepkan mesra ibadah,” katanya.

Pengurus PJNH, Kairul Anuar Ahmad yang ditemui, pula berkata bengkel itu berkesan dalam memahami dan meningkatkan lagi ilmu dalam mengurus dan menjaga warga emas yang amat memerlukan keprihatinan petugas menyantuni mereka.

“Bengkel ini juga mendidik seseorang petugas atau sukarelawan itu untuk terus bersikap bertanggungjawab serta Ikhlas menjaga warga emas kerana masyarakat di luar tidak mengetahui kesusahan yang amat menguji kesabaran dalam melayani karenah mereka umpama bapa atau ibu,” ujarnya.


Pegawai Agama hospital berkenaan, Ahmad Fitri Asmad (kanan) memberi tunjuk ajar mengenai panduan ibadah warga emas secara praktikal.


Petugas PJMM, Amni Najwa Zakaria pula berpendapat, pendedahan secara teori dan praktikal yang diberikan itu amat bermanfaat dalam memahami penjagaan warga emas yang betul serta menepati mesra ibadah.

Menurutnya, bagi orang luar mereka mungkin beranggapan tugas yang dilaksanakan mudah atau senang tetapi adalah sebaliknya kerana sesetengah warga emas contohnya terpaksa diberi penerangan atau dipujuk dengan lemah lembut seperti untuk memakan ubat.

“Saya amat berpuas hati dapat mengikuti bengkel ini terutama apabila dapat melihat pegawai hospital ini menunjukkan secara praktikal menyantuni warga emas yang uzur atau terlantar di atas katil untuk bersolat serta melakukan ibadah lain,” ujarnya. - KitaReporters


Sebahagian peserta dan kakitangan Hospital Pakar Al-Islam Specialist, Kampung Baru, Kuala Lumpur merakamkan kenangan selepas Bengkel Pemantapan Penjagaan Warga Emas: Sejahtera Fizikal, Mental dan Spiritual pada 29 April 2025.

20
19
0
10
0
You will be interested