Insan & Komuniti 17 Jun, 2024

Sembang-Sembang| Kehidupan ini satu pengorbanan! Banyak pengorbanan dituntut! Besar juga hikmahnya!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha ialah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. 

Ini bagi menghormati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail sebagai tindakan mematuhi perintah Allah SWT. 

Namun, sebelum Nabi Ibrahim dapat mengorbankan puteranya, Allah telah menyediakan seekor biri-biri untuk dikorbankan sebagai gantinya. Menakjubkan kebesaran Allah Azza Wajalla. 

Begitu juga dalam kehidupan kita. Berkorban juga sangat diperlukan. Tidak kira sama ada korban  wang ringgit, emosi, masa mahupun harta benda. 

Setiap pengorbanan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Juga memberi impak yang berharga dalam kehidupan kita. 



Korban banyak perkara korban. Berkorban untuk agama sangat disanjung tinggi. Juga berkorban untuk negara. 

Selain itu, berkorban untuk ibu bapa juga dituntut dalam Islam. Juga berkorban untuk keluarga dan komuniti di sekeliling kita yang memerlukan bantuan. 

Berkorban adalah satu process mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merapatkan jurang hubungan antara sesama manusia. 

Sebagai manusia, banyak pengorbanan yang kita lakukan, sama ada untuk orang tersayang atau untuk kebaikan diri sendiri.

Sebagai pelajar, banyak masa dan tenaga yang boleh digunakan untuk hobi atau bersosial, dikorbankan untuk belajar atau mengulang kaji. 

Mereka yang bekerja juga mengorbankan tenaga dan masa demi mencari rezeki dan berdikari dari segi kewangan untuk menyara keluarga.

Sebagai ibu bapa, banyak pengorbanan dilakukan demi anak-anak – untuk belanja persekolahan, pakaian, makanan, dan didikan mereka sebagai persediaan untuk masa hadapan. 

Dengan taraf hidup sekarang - yang semakin meningkat, kedua-dua ibu bapa perlu bekerja, untuk menampung perbelanjaan. 

Jika pun si isteri suri rumah, dia masih boleh bekerja untuk membantu suami meringankan beban dalam rumah tangga. 

Oleh yang demikian, masa untuk keluarga turut dikorbankan.

Malah dalam kehidupan seharian kita, emosi dikorbankan untuk menjaga keharmonian hidup apabila kita mungkin terlepas pandang akan masa yang terbuang untuk bersama keluarga. 

Jadi, apakah niat kita untuk melakukan pengorbanan ini? 

Tidak kira apa sahaja pengorbanan, pada keluarga, ibu bapa, sahabat dan di tempat kerja semua ada sebab tersendiri yang dikira Allah SWT sebagai satu perbuatan suci murni. 

Adakah kita melakukannya dengan ikhlas untuk diri kita dan  anak-anak? Adakah pengorbanan minta dibalas? 



Pengorbanan, dan perbuatan kebaikan ini, adalah bentuk ibadah. Akhirnya, apa sahaja pengorbanan yang kita lakukan adalah kerana Allah semata-mata mata. 

Diriwayatkan oleh Abu Umamah: “Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan kerana Allah, nescaya dia sempurna iman."

Oleh itu, dalam bulan korban tahun 2024 ini, marilah kita merenung pelbagai pengorbanan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian. 

Semoga kita menjaga niat dan hati kita dalam pengorbanan harian kita, dan mengambil masa untuk menghargainya apabila kita melihatnya dilakukan demi masa hadapan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Yunus, ayat 26)

Membesarkan anak juga adalah salah satu bentuk pengorbanan yang menuntut kesabaran dan kekuatan mental. 

Begitu juga dalam rumah tangga menuntut pengorbanan perasaan yang sangat besar. Sabar terhadap kerenah pasangan yang emosinya tidak menentu sehingga mengundang masalah yang kadangkala membawa kepada runtuhnya rumah tangga. 

Kita juga perlu bertolak ansur terhadap perkara yang kita benci. Itu juga berkorban namanya. 

Daripada Abu Dzar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman, “Barang siapa mengerjakan kebaikan, dia berhak atas sepuluh kebaikan yang sama dan Aku tambahkan (kebaikan kepadanya). Dan barangsiapa mengerjakan kesalahan, balasannya ialah kesalahan yang sama atau Aku mengampuninya".” (Hadis riwayat Muslim)

Ada orang yang mengorbankan sebahagian besar kehidupan mereka dengan menubuhkan rumah anak yatim dan kebajikan demi membantu mereka yang kurang bernasib supaya hidupnya terbela.

Menjaga dan mendidik mereka seperti anak sendiri. Berhabis wang ringgit, masa dan tenaga bagi memastikan anak-anak tersebut terjamin kehidupan mereka. 

Jika ada kesempatan dan rezeki lebih ambillah peluang untuk menyumbang masa dan wang ke rumah kebajikan seumpama itu atas nama pengorbanan sesama manusia. 



Hidup ini memang suatu pengorbanan. Ada pengorbanan yang ganjarannya diperoleh di dunia lagi. Bagaimanapun, jika tidak diperoleh di dunia, usahlah bersedih kerana Allah pasti membalasnya di akhirat kelak kerana Allah tidak memungkiri janji.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 69)

Sempena Hari Raya Aidiladha ini, marilah kita menghayati erti pengorbanan Nabi Allah Ibrahim untuk menyembelih anaknya Ismail secara mendalam. Betapa mulia hati Nabi Ibrahim terhadap perintah Allah dengan sanggup mengorbankan anak sendiri kerana Allah Ta'ala. 

Jadi apalah sangat pengorbanan kita sebagai manusia yang hanya berkorban wang, tenaga, masa dan emosi demi kelangsungan hidup. 

Semoga kita lebih istiqamah dalam melakukan pengorbanan seperti dituntut oleh agama dan bukan kerana mencari nama semata-mata. - KitaReporters 

12
16
0
14
0
You will be interested