Insan & Komuniti 12 Jun, 2024

Program korban dan akikah di Markaz Ibn Taymiyyah, Nigeria! Usaha Persatuan Pendidikan Putra Perlis!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Markaz Ibn Taymiyyah di Ringim, Negeri Jigawa, Nigeria.


Dr Yusri Yahya Baginda.
Persatuan Pendidikan Putra Perlis (PPPPs) bekerjasama dengan pelajar dari Nigeria untuk menganjurkan program korban dan akikah di Markaz Ibn Taymiyyah di Ringim, Negeri Jigawa, Nigeria.

Pengerusinya Dr Yusri Yahya Baginda berkata, program yang julung kali dianjurkan ini bagi membantu lebih 300 ibu tunggal dan anak yatim di markas tersebut.

Katanya, selain daripada pengagihan daging korban itu, mereka juga akan mengadakan kenduri sempena menyambut Hari Raya Aidiladha 1445H/2024M. 

"Mereka tidak meminta tapi kami yang nak bantu bila dengar cerita daripada pelajar dari Nigeria itu," sambung Dr Yusri lagi.


Pengerusi Exco Belia dan Komuniti PPPPs Muhammad Saniy Samsudin.

Dalam pada itu pemenang kedua Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) Perlis, Muhammad Saniy Samsudin ketika ditemui berkata, sebagai umat Islam sememangnya menjadi tanggungjawab kita untuk membantu saudara Islam yang memerlukan bantuan.

Katanya, penglibatan pada tahun ketiga dalam program korban dan akikah selepas di Mekah dan Sik, Kedah ini memberi keseronokan kerana dapat berkongsi pahala dalam program yang dianjurkan.

“Sebenarnya program ini secara tiba-tiba dianjurkan dengan pemakluman kepada keluarga terdekat untuk membantu rakyat di Nigeria itu,” ujarnya lagi.

Muhammad Saniy yang juga Tokoh Siswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang aktif dalam bidang kesukarelaan dan melibatkan diri dalam membantu masyarakat berharap sumbangan ini dapat mencapai sasarannya walaupun dalam keadaan segera. 


Ibu tunggal dan anak yatim yang menginap di markas ini.

Belia yang turut membantu dalam program yang dianjurkan di madrasah ini.

Pastinya penganjuran ini menunjukkan tanda syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada persatuan ini untuk melibatkan diri dengan kerja sosial.

Aidiladha tinggal beberapa hari dan umat Islam di Malaysia akan menyambutnya pada Isnin, 17 Jun 2024 nanti.

Program korban ini bertujuan untuk memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan juga menjelaskan bagaimana Islam mengajar kita untuk memberi sesuatu yang baik nilainya pada mata kita kepada orang lain, terutama kepada mereka yang amat memerlukan.

“ Ia juga mengajar kita untuk tidak bersikap angkuh, mementingkan diri dan tidak peduli hanya kerana kita asyik memikirkan keperluan dan keselesaan diri sendiri baik didalam atau pun luar negara,” sambung Sany lagi.


Dr Adnan Shafiu yang bertugas di markas atau madrasah itu.

Dalam konteks kemasyarakatan hari ini, ia menggambarkan bagaimana seseorang individu berusaha mengorbankan harta atau wang ringgit hasil daripada titik peluh untuk melakukan ibadah korban setiap tahun di samping komitmen lain yang perlu dipikul.

Situasi ini sudah tentunya mengajar kita agar tidak berkira terutama dalam melaksanakan ibadah yang dituntut dalam Islam tanpa apa-apa persoalan kerana program korban ini memupuk semangat dan peluang kepada setiap individu Muslim untuk membantu saudara Muslim lain yang dalam kesusahan serta yang memerlukan.

Oleh itu bersedekah dengan memberi hasil haiwan yang terbaik untuk dikorbankan bukti niat saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Sehinggakan Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda: "Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan laparnya.” (Hadis riwayat at-Tabrani).

Moga ibadah korban ini dilihat bertindak sebagai mekanisme dalam mengeratkan silaturahim dan keprihatinan dalam masyarakat. - KitaReporters


Dr Adnan Shafiu yang bertugas sebagai menyampaikan sumbangan kepada pelajar.

20
13
0
13
0
You will be interested