Saya telah melangkah ke lebih empat puluh buah negeri di Amerika Syarikat dari
dataran kering Arizona hingga ke lorong-lorong berangin di New England, dari
gemerlap New York hingga ke sunyi Dakota.
Namun Hawaii tidak pernah hadir sebagai sekadar destinasi. Ia hadir sebagai panggilan.

Seolah-olah ada suara lama yang berbisik dari tengah samudera Pasifik, memanggil seorang pengembara Melayu untuk kembali menelusuri jejak leluhur yang hilang di antara ombak dan bintang.
Perjalanan saya ke Hawaii bermula setelah saya menamatkan langkah di Seattle. Dari kota hujan itu, saya ke lapangan terbang dengan hati yang sarat, satu lagi mimpi lama bakal saya realisasikan.
Pesawat yang saya naiki penuh dengan orang Hawaii dan pelancong dari
pelbagai penjuru dunia. Wajah-wajah Polinesia dengan garis keturunan yang jelas,
kulit sawo matang, mata redup, senyuman tenang membangkitkan rasa aneh dalam
diri saya, seakan-akan sedang melihat pantulan wajah bangsa sendiri.
Hawaii adalah negeri yang ganjil dalam peta Amerika, terletak hampir 2,000
batu dari daratan utama, satu-satunya negeri kepulauan, satu-satunya negeri
tropika, dan satu-satunya negeri Amerika yang berada di luar Amerika Utara.
Ia terdiri daripada 137 pulau gunung berapi yang memanjang sejauh 2,400 kilometer, sebahagian besarnya terletak dalam wilayah budaya Polinesia Oceania.
Garis pantainya adalah yang keempat terpanjang di Amerika Syarikat, sebuah negeri yang diapit laut dari segala arah, seolah-olah ditakdirkan untuk menjadi simpang sejarah pelayaran manusia.
Lapan pulau utama Niʻihau, Kauaʻi, Oʻahu, Molokaʻi, Lanaʻi, Kahoʻolawe,
Maui dan Hawaiʻi menjadi nadi negeri ini. Pulau Hawaiʻi, atau Pulau Besar,
memberi nama kepada keseluruhan kepulauan.
Sementara itu, Kepulauan Hawaii Barat Laut yang tidak berpenghuni membentuk Monumen Nasional Laut Papahanaumokuakea, kawasan perlindungan marin yang antara terbesar di dunia sunyi, terpelihara, dan seakan menyimpan rahsia purba.

Namun yang benar-benar menggugah fikiran saya bukanlah geografi, tetapi sejarah. Orang Hawaii dan orang Melayu berasal daripada akar yang sama. Austronesia. Kita adalah bangsa pelaut, bangsa yang membaca angin, bintang dan arus laut.
Dari Nusantara hingga ke Pasifik, nenek moyang kita berlayar ribuan tahun
sebelum peta moden wujud. Kesedaran inilah yang menjadikan perjalanan ini bukan
sekadar melancong, tetapi pulang secara simbolik.
Perjalanan ini tidak terpisah daripada sejarah hidup saya sendiri. Pada
tahun 1992 hingga 1994, saya telah berjalan ke 40 negeri di Amerika Syarikat
melalui TV3 dengan satu pengorbanan kecil tetapi bermakna: Saya menukar tiket
kapal terbang dari kelas perniagaan ke kelas ekonomi demi menjimatkan kos dan
memperluaskan pengalaman. Sejak itu, saya ke Amerika Syarikat hampir empat kali
setiap tahun, ke negeri-negeri yang berbeza.
Saya berpeluang menjadi Ahli Jawatankuasa Antarabangsa SIGGRAPH America, tiket dan perjalanan dibiayai. Dengan cuti selama tiga minggu, saya memilih untuk menutup kembara itu dengan Hawaii, sebelum pulang melalui Jepun.

Honolulu: Pelabuhan Tenang, Sejarah
yang Bergelora
Saya tiba di Honolulu pada waktu petang. Lapangan terbangnya sesak, denyut kehidupan moden bertembung dengan pelancongan global.
Saya memilih hotel berhampiran lapangan terbang yang ringkas dan praktikal. Setelah menunaikan solat dan menjamah makanan, saya keluar menyusuri kota.
Honolulu ialah ibu kota dan bandar terbesar Hawaii, sebuah bandar paling
barat dan paling selatan dalam Amerika Syarikat. Namanya bermaksud pelabuhan
terlindung atau pelabuhan tenang, namun di sebalik ketenangan itu
tersimpan sejarah yang bergelora.
Dari Kerajaan Hawaii yang merdeka pada abad ke-19, hingga penaklukan
Amerika pada 1898, dan seterusnya menjadi pentas tragedi Pearl Harbor pada 7
Disember 1941, Honolulu adalah saksi bagaimana dunia berubah arah dalam satu
pagi berdarah.
Kota ini adalah pintu masuk Hawaii ke dunia, pusat perdagangan, kewangan,
perhotelan dan pertahanan ketenteraan di Pasifik. Budayanya berlapis-lapis:
Asia, Barat dan Pasifik berbaur dalam satu lanskap sosial yang unik.
Saya berbual dengan orang tempatan, ramai yang tidak mengenali Malaysia. Ada yang pernah mendengar namanya, tetapi tidak tahu di mana letaknya.
Apabila saya bertanya sama ada mereka tahu bahawa orang Hawaii dan orang Melayu bersaudara dari segi sejarah, kebanyakannya terdiam dan terkejut, seolah-olah satu tirai lama disingkap tiba-tiba.

Pantai Waikiki
Oʻahu: Pulau Pertemuan dan Renungan
Honolulu terletak di Oʻahu, pulau ketiga terbesar di Hawaii, dikenali
sebagai The Gathering Place. Saya ke Pantai Waikiki, kemudian menaiki
bas untuk menjelajah pulau. Dari satu hentian ke satu hentian, penumpang turun,
hingga akhirnya saya seorang diri di dalam bas. Saya duduk diam, memerhati
landskap yang berubah dari kota, pantai, gunung, ladang seolah-olah pulau ini
sedang membuka dirinya perlahan-lahan.
Oʻahu adalah pulau paling hidup yang dinamik, sentiasa berubah. Di sinilah
kehidupan malam, pusat beli belah bertaraf dunia, dan kawasan budaya tempatan
seperti Kakaʻako, Kaimukī, Kapahulu dan Chinatown. Bas berhenti di sebuah
resort selama sejam.
Saya tidak lagi mengingati namanya, tetapi pemandangannya kekal dalam ingatan: gunung menghijau, pantai yang membentang, dan laut biru yang tenang. Saya menunaikan solat di situ di tengah keindahan alam yang seolah-olah menjadi hamparan sujud.

Pearl Harbour
Pearl Harbor: Luka yang Tidak Pernah
Sembuh
Hari ketiga, saya ke Pearl Harbor, Puʻuloa dalam bahasa Hawaii. Di sinilah tragedi itu berlaku. Saya berdiri di hadapan USS Arizona, melihat minyak yang masih bocor dari bangkai kapal, terapung di permukaan air seperti air mata hitam yang enggan kering. Di sini, sejarah bukan sekadar diceritakan, dirasai. Setiap langkah adalah peringatan bahawa keamanan sentiasa mahal harganya.


Seni, Kraf dan Roh Aloha
Saya menyusuri kedai-kedai seni dan kraf. Keindahan alam Hawaii melahirkan generasi seniman yang mengekspresikan aloha melalui lukisan, ukiran, tekstil dan bunga lei.
Setiap pulau melahirkan seni yang berbeza. Kauaʻi dengan kehijauan puitisnya, Maui dengan ukiran tradisi, Oʻahu dengan pertemuan lama dan baharu, dan Pulau Besar dengan karya yang berunsur api dan bumi.
Lei bukan sekadar hiasan tetapi simbol penghormatan dan kasih. Menanggalkannya di khalayak ramai dianggap biadab. Selimut Hawaii pula mempamerkan kesabaran dan ketelitian -- appliqué bunga raya, nanas dan hidupan laut dijahit dengan penuh makna.


Hula: Bahasa Tubuh Bangsa
Selepas maghrib, saya kembali ke Waikiki. Pantainya dipenuhi ribuan pelancong. Di satu sudut, sekumpulan wanita Hawaii berkumpul, menari dengan iringan muzik tradisi.
Mereka menari Hula, tarian Polinesia yang bukan sekadar hiburan, tetapi bahasa tubuh yang menterjemahkan doa, sejarah dan mitologi.
Di Honolulu dan seluruh Hawaii, saya menjelajah tanpa jadual ketat. Malam
hari, saya mengikuti budaya tempatan sehingga larut malam mendengar muzik,
berbual, memerhati manusia.
Di sinilah saya kembali berkenalan dengan seorang penari Hula dari kaum
Hawaii, seorang yang cantik, bukan hanya pada wajah, tetapi pada sikap. Saya
bertanya banyak tentang pertalian bangsa Melayu dan Hawaii.
Dia tidak tahu, tetapi sudi duduk dan mendengar. Empat malam berturut-turut dia mendengar cerita saya tentang Austronesia, tentang pelayaran nenek moyang, tentang seorang raja Hawaii yang pernah mengaku berketurunan Melayu sebelum penaklukan Amerika.
Dia terdiam lama, seolah-olah baru menyedari bahawa sejarah bangsanya lebih luas daripada yang pernah diajarkan.


Waikiki: Keindahan dan Keterasingan
Pantai Waikiki “sprouting waters” adalah ikon Hawaii. Dari Duke Kahanamoku,
bapa luncur moden, hingga hotel Moana Surfrider yang bersejarah, pantai ini
memikat dunia. Hotel bertingkat tinggi, butik berjenama, bar dan pertunjukan
hula memenuhi malam Waikiki.
Namun di sebalik keindahan itu, saya juga melihat wajah pelancongan moden tubuh-tubuh muda yang terdedah di bawah matahari tropika. Saya, seorang Timur yang dibesarkan dengan adab, hanya mampu tersenyum malu dan memalingkan pandangan. Di sinilah saya sedar: dunia boleh terbuka, tetapi nilai tetap perlu dijaga.

Penutup: Hawaii dalam Diri Saya
Hawaii bukan sekadar pulau di tengah samudera. Ia adalah cermin memantulkan sejarah bangsa pelaut, persaudaraan Austronesia, dan hakikat bahawa dunia ini lebih kecil daripada yang kita sangka.
Di antara gunung berapi dan laut biru, tarian Hula dan air mata Pearl Harbor, saya menemukan bukan sahaja sejarah orang Hawaii, tetapi sebahagian daripada diri saya sendiri.
Di tengah Pasifik, seorang Melayu berdiri dan mengingati. - KitaReporters