Insan & Komuniti 20 Jul, 2025

Menjaga kebajikan komuniti! Usaha murni Masjid Al-Hidayah terus diperkasa! Pek bantuan, wang zakat!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Penerima bantuan asnaf menerima sumbangan pek makanan.


Pepatah “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul” menjadi prinsip yang dihayati Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Hidayah, Taman Pasu di Jitra, Kedah apabila tampil menjaga kebajikan komuniti dengan menyampaikan sumbangan kepada 22 asnaf sekitar Jitra, baru-baru ini.

Program berkenaan dianjurkan oleh Biro Kebajikan masjid dan melibatkan pengagihan pek makanan asas serta wang zakat hasil sumbangan para jemaah dan penderma luar yang prihatin terhadap golongan memerlukan.


Mohamed Rafed Ismail (kanan) menyampaikan sumbangan.


Pengerusi Biro Kebajikan Masjid Al-Hidayah, Mohamed Rafed Ismail, berkata usaha tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan masjid untuk memastikan tiada asnaf tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.

“Masjid ini bukan sahaja tempat ibadah, malah turut berfungsi sebagai pusat komuniti yang menggalas tanggungjawab sosial. Kami menganjurkan pelbagai program yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama seperti jamuan Aidilfitri, ceramah kesihatan dan kenduri rakyat,” katanya.

Tambah beliau, bantuan yang diagihkan merangkumi barangan asas seperti beras, gula, minyak masak serta keperluan dapur lain, selain wang tunai kepada asnaf yang telah dikenal pasti melalui bancian dan maklumat komuniti.



Antara asnaf yang menerima barangan keperluan dapur.


Apa yang membanggakan, Masjid Al-Hidayah turut menjadi medan interaksi sosial masyarakat berbilang kaum, sekali gus memperkukuh peranan masjid sebagai agen perpaduan dan keharmonian dalam komuniti majmuk.

“Hubungan baik ini harus terus dipupuk. Kami amat menghargai keterlibatan masyarakat bukan Islam yang hadir dan menyokong program-program masjid,” ujar Rafed lagi.


 

Kanak-kanak riang menerima sumbangan.


Majlis berkenaan turut diserikan dengan sesi tazkirah dan doa selamat yang dipimpin oleh imam masjid sebagai simbolik kesyukuran serta penghayatan nilai kemanusiaan dalam Islam.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada program kebajikan Masjid Al-Hidayah boleh berbuat demikian dengan menghubungi pihak pengurusan menerusi talian 019-477 1757. - KitaReporters


Beginilah keadaan salah sebuah rumah penerima sumbangan di Jitra baru-baru ini.
13
14
0
10
0
You will be interested