

Sebaik sahaja mendapat makluman mengenai asrama pelajar sempit dan daif, pertubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Pulau Pinang segera turun padang menjenguk premis tersebut di Kampung Jalan Baru, Perai, Seberang Perai Tengah.
Terdapat 12 pelajar tahfiz yang berusia antara 7 hingga 15 tahun sedang menghafaz dan menginap di asrama tersebut, yang merupakan sebuah rumah papan dua tingkat yang disewa untuk dijadikan kelas dan asrama sejak tahun 2012 lagi.
Dalam keadaan serba kekurangan majoriti daripada pelajar tahfiz sudah berjaya dan mampu menghafal sehingga 15 juzuk setakat ini.
Manakala kelas akademik seperti Bahasa Arab, Inggeris, Matematik dan Bahasa Malaysia juga diadakan bagi anak-anak yang berusia 6 hingga 15 tahun.

Abdullah Mohamed Nor (kiri) bersama Rafiq Ali Mutalib (tengah) dan Ismail Aruf menyampaikan sumbangan termasuk buku semasa turun padang ke asrama pelajar terbabit.
Namun begitu kekangan kewangan merupakan antara faktor pelbagai kesulitan yang sedang dihadapi.
"Kos sewa rumah ini sebanyak RM500 sebulan. Perbelanjaan untuk makan pelajar sekitar RM2,000 sebulan. Manakala bil air dan elektrik sekitar RM300 setiap bulan.
"Untuk guru yang mengajar kita beri setakat termampu sahaja. Setiap bulan perbelanjaan keseluruhan mencecah sekitar RM4000.
"Ada juga sesekali individu, surau, masjid dan umat Islam yang simpati dan prihatin memberikan sumbangan kepada para pelajar," ujar Ustaz Hasan Altaf yang menjadi tenaga pengajar dan menguruskan keperluan pelajar.


Sementara itu, Ustaz Mohamad Ismail Abu Bakar yang mengajar hafalan Al Quran berkata, walaupun pendapatan bulanan tidak menentu ia tetap mengajar kerana ramai antara para pelajar tahfiz terdiri daripada keluarga miskin.
Rombongan DMDI Pulau Pinang yang diketuai Pengerusinya, Abdullah Mohamed Nor bersama Naib Pengerusi, Ismail Aruf dan Bendaharinya, Rafiq Ali Mutalib segera menghulurkan tangan membawa bersama sumbangan untuk diserahkan kepada pelajar-pelajar tersebut pada 10 Ogos 2025.
Menurut Abdullah, DMDI Pulau Pinang akan berusaha mencari jalan untuk membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh pihak asrama.
Malah beliau turut menyarankan umat Islam yang berkemampuan supaya membantu dengan menginfaq, derma atau sedekah bagi meringankan serta mengurangkan kos perbelanjaan pihak asrama tahfiz. - KitaReporters


.