Insan & Komuniti 27 Nov, 2025

Buah tin buah syurga! Jadi pilihan Hafidz untuk buat bisnes! Mahu berkongsi keberkatan dari alam!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

“Wat tini wa zaytun” adalah sepotong ayat dari al-Quran yang sering kita dengar. Allah menyebut tentang buah tin dan buah zaitun. 

Kenapa daripada ratusan buah-buahan di muka bumi ini, hanya dua buah ini dipilih untuk disebut dalam al-Quran? Pasti ada rahsia dan keberkatan di dalamnya. 


Mohamad Hafidz Arifin menunjukkan hasil buah tin yang ditanam di ladangnya.

Bagi Mohamad Hafidz Arifin, 40 tahun, yang berasal dari Shah Alam, ayat mengenai buah tin, memberi impak besar dalam dirinya. 

Banyak pengajaran dan maksud tersirat dalam ayat ini. Malah ayat ini menjadi nadi semangat buat dirinya untuk terus maju.

Semua usahanya, diterjemahkan dalam satu ladang buah tin yang di komersilkan.  

Hafidz pengasas syarikat Benefigs Arus Sdn Bhd, sebuah ladang buah tin yang bukan sekadar menjual buah tin yang segar, tetapi dia juga memberi peluang kepada masyarakat merasai pengalaman “memetik sendiri” buah syurga itu di ladangnya, selain menikmati manfaat kesihatan daripada buah itu  dan menyerap nilai keberkatan.


Hafidz menunjukkan cara makan buah tin kepada Hajah Khalidah, di ladang nya di Koperasi Kebuniti Selangor di U12 Shah Alam

“Kita bukan hanya makan buah tin kerana sedap dan sihat, tetapi buah itu ada banyak keajaibannya. seperti mana  yang di sebut dalam al-Quran,” kata Hafidz. 

Malah katanya Malaysia mempunyai kelebihan dalam industri buah tin ini. antaranya, pengeluaran buah ini 12 bulan setahun kerana iklim tropika membolehkan pusingan tuaian berterusan berbanding negara pengeluar lain. 

Selain itu, Green house moden dan sistem fertigasi, tenaga muda terlatih dan sokongan kerajaan menjadikan Malaysia negara yang ideal untuk pemasaran komersial. 

Permintaan yang tinggi dari Singapura, Indonesia dan Thailand juga buka peluang untuk eksport yang konsisten.


Staff yang membantu di ladang Buah Tin Hafidz


Bercakap mengenai buah tin ini, beliau dapat lihat potensi yang baik dalam perniagaan ini. 

Paling menarik, sebelum menceburi bidang ini, Hafidz pernah bekerja dalam industri minyak dan gas hampir satu dekat. 

Gaji beliau ketika itu agak lumayan, namun hatinya lebih tertarik pada ladang, bukan bangunan pejabat yang dingin dan selesa.  

Hafidz nekad bertukar kerjaya kedunia pertanian yang banyak risikonya. Dia rela meninggalkan kerjaya bergaji besar demi menanam ribuan pokok tin demi mencari satu kepuasan dalam hidupnya.

Kata Hafidz, modal permulaan dalam peringkat awal ialah kira-kira RM200,000, dan dia menanam sekitar 400 pokok tin pada peringkat permulaan. 

Melalui syarikatnya yang diberi nama Benefigs Arus Sdn Bhd, Hafidz turut memperkenal produk hiliran seperti teh daun tin dan jem buah tin. 

Produk-produk ini baginya satu cara untuk memberi nilai tambah dan menjadikan ladang buah tin lebih daripada sekadar ladang buah semata-mata. Kepelbagaian produk dari buah tin ini menyerlahkan keistimewaan buah ini.


Buah tin yang dah masak ranum dan boleh dimakan.


Dia juga bercadang supaya ladang tin ini menjadi tarikan agropelancongan, di mana pengunjung bukan sekadar melihat pokok, tetapi boleh menanam, memetik dan merasai sendiri hasilnya. 

Menurut Hafidz lagi, ini adalah sebuah model pertanian lestari dan dapat mendidik masyarakat tentang nilai makanan dan alam semula jadi serta kembali pada fitrah kehidupan.

Tambah Hafidz lagi, misi lebih besar yang dirancang syarikatnya adalah menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran buah tin di rantau ini.

Dia juga menaruh harapan agar syarikatnya mendapat pensijilan halal, supaya setiap buah tin, teh daripada daun buah tin, atau jem buah tin hasil ladangnya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat Muslim dengan keyakinan penuh.


Buah tin yang berwarna kuning yang telah cukup matang untuk dimakan.


Bagi Hafidz, ladang ini bukan semata-mata sebuah perniagaan dan punca rezekinya, tetapi ia adalah wadah untuk mendidik masyarakat tentang keberkatan dari alam.

Dia percaya bahawa melalui pertanian, khususnya ladang buah tin, masyarakat boleh kembali menghayati ayat al-Quran yang menyebutnya, selain berinteraksi dengan tanah dan memahami bahawa setiap ciptaan Allah membawa manfaat kepada rohani dan fizikal manusia serta kesinambungan hidup. 

Baginya tanah tidak pernah menipu, kalau kita jujur berusaha tanah akan membalas dengan hasilnya.

Dengan keberanian meninggalkan pekerjaan berpendapatan tinggi, Hafidz membuktikan bahawa  nalurinya untuk kerjaya yang lebih berkat berbanding kedudukan dan gaji yang hebat boleh membuat dia lebih yakin untuk berjaya. 

Walaupun pernah gagal beberapa kali pada peringkat awal experimen varieti dan nutrisi, beliau tidak pernah menyerah kalah dan tetap meneruskan uasahanya. 

Dia juga yakin rezeki dan peluang yang ada semuanya adalah milik Allah. Jadi untuk menceburi sesuatu yang baharu kita perlu ada keyakinan dan keberanian. 

Hafidz percaya keberanian bukan ketika kita berjaya tetapi ketika kita terus bangkit setiap kali diuji. - KitaReporters


9
12
0
12
0
You will be interested