Insan & Komuniti 21 Sep, 2025

Dari kerusi roda ke pentas advokasi! Perjuangan Shaffe bukan main-main! OKU minta hak bukan simpati!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Di Aman Perdana, Klang, tinggal seorang lelaki yang hidupnya sarat pengalaman luar biasa bernama Shaffe Mohammad Unni, 61 tahun. Di sebalik senyumannya, tersimpan cerita perjuangan yang boleh membuka mata kita tentang apa ertinya ketabahan dan advokasi.



Shaffe pernah hidup ‘dua dunia’. Dulu beliau insan biasa, sihat dan aktif. Namun kemalangan jalan raya lebih 38 tahun lalu menukar segalanya.

“Dari seorang yang sihat, saya terpaksa belajar semula cara untuk hidup berdikari,” katanya.

Bukan mudah, tapi beliau bangkit semula. Dalam tempoh tujuh tahun mencuba, Shaffe membantu ibu berniaga, membuka wakil pos, menubuhkan Persatuan Orang Kurang Upaya Terengganu (POKUAT), mengusahakan perniagaan basikal dan mengajar komputer kepada anak-anak juvana.



Kemudian pada tahun 2004, Shaffe berhijrah ke Selangor. Beliau bekerja di sebuah syarikat lebuh raya terkemuka di bahagian HR–Training, sambil menamatkan diploma dalam bidang HR (sumber manusia) dan Ijazah Psikologi. 

Namun diskriminasi terhadap pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) tetap menghantui. Sakit dan rawatan panjang memaksanya berhenti kerja.

“Sembilan bulan di United Kingdom membuka mata saya bagaimana OKU di sana dihargai. Saya mula bertanya, kalau UK boleh, kenapa Malaysia tidak?” katanya. Dari situlah perjuangan beliau semakin jelas arahnya.

Bagi Shaffe, cabaran selepas kemalangan bukan sekadar masalah peribadi, tetapi masalah sistem. Pendidikan, pekerjaan dan kemudahan awam masih belum inklusif.



“Halangan-halangan inilah yang membuatkan saya aktif memperjuangkan hak OKU,” ujarnya lagi.

Apabila ditanya kenapa begitu komited, jawabnya tegas kerana tidak mahu komuniti OKU dan generasi selepas ini lalui kepayahan yang sama. 

Hak OKU bukan soal belas kasihan, tetapi soal maruah dan peluang setara. Baginya, diskriminasi paling berat bukan fizikal semata-mata, tetapi sikap dan sistem yang gagal memahami potensi OKU. 

Kekuatan Shaffe datang daripada keluarga terutama Allahyarham ibunya yang membentuk ketabahan sejak awal. Namun paling menyentuh hati ialah isterinya, seorang pensyarah kanan IPTA. 

“Dia terima kekurangan saya seadanya. Dia antara sebab utama saya masih terus kuat berjuang,” katanya penuh kesyukuran.



Shaffe menyenaraikan isu besar yang dihadapi OKU di Malaysia antaranya ialah akses pendidikan, peluang pekerjaan, kesihatan, infrastruktur dan perundangan.

“Malaysia sudah ratifikasi CRPD (Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya) tapi pelaksanaannya belum jelas. Tanpa mekanisme undang-undang, hak OKU akan terus dianggap kebajikan, bukan hak asasi,” ujarnya.

Walaupun kesedaran masyarakat semakin meningkat, menurutnya kebanyakan masih berhenti pada simpati, belum benar-benar bertindak untuk menyokong. 

Dia mengimpikan sebuah Malaysia inklusif di mana hak OKU dijamin melalui undang-undang. “Kita mesti bergerak daripada pendekatan kebajikan kepada pengiktirafan hak,” tegasnya.

Mesejnya untuk masyarakat jelas iaitu OKU bukan beban, tetapi aset negara. Beri mereka hak, ruang, peluang dan sokongan.

Malaysia boleh berubah, Malaysia mesti berubah dan perubahan itu hanya berlaku apabila kita semua melakukannya bersama-sama. - KitaReporters


12
15
0
14
0
You will be interested