Insan & Komuniti 24 Dec, 2025

Baru meriah! Nak berkhatan kena buat Kenduri Sekampung! Gotong royong anjuran bekas kakitangan KTM!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

‘Kenduri Sekampung’ memeriahkan Program Berkhatan anjuran Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) menerusi kerja amal dan kebajikan bagi meringankan bebanan keluarga asnaf di Kampung Trosor, Sungai Siput (U), Perak.


Peserta berkhatan basah kuyup dimandikan oleh JBPM.


Kemeriahan program itu bermula pukul 7.30 pagi dengan acara penyerahan sepasang kain pelikat dan tuala kepada setiap 35 peserta dalam kalangan anak asnaf yang terpilih untuk berkhatan, diikuti majlis makan beradab, perarakan mereka diiringi pukulan kompang dan mandi pancutan air oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pada 20 Disember 2025. 

Dianggarkan seramai 500 termasuk peserta berkhatan, ibu bapa, penduduk kampung dan tetamu jemputan diraikan dengan jamuan ‘Kenduri Sekampung’ itu bersempena diadakan juga majlis akikah, tahlil dan doa selamat serentak Program Berkhatan yang diketuai imam masjid kampung berkenaan sebagai tanda kesyukuran.

Setiausaha PBKKTM, Abdul Rahim Osman, berkata majlis penuh meriah itu dirasmikan ahli Exco Kerajaan Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang, Dato' Mohd Zolkafly Harun yang turut dihadiri Yang Dipertua persatuan, Dato’ Ts Dr Abdul Radzak Abdul Malek; penasihatnya, Dato' Sukarno Wagiman; Ahli Bersekutu, Profesor Isahak Kassim; guru-guru Sekolah Kebangsaan Kampung Trosor; dan ketua kampung Mukim Pulau Kemiri.


'Kenduri Sekampung' juga menyediakan makanan beradab untuk peserta berkhatan.


Menurut Abdul Rahim, ‘Kenduri Sekampung’ itu yang membabitkan kerja gotong-royong untuk memasak secara tidak langsung mengeratkan hubungan persaudaraan penduduk kampung dengan guru, pemimpin masyarakat khusus dengan Adun. 

Tambahnya, usaha yang dilakukan oleh PBKKTM itu bukan setakat meringankan bebanan keluarga asnaf malah kerja menjayakan ‘Kenduri Sekampung’ berjalan lancar hasil berganding bahu semua penduduk yang memupuk semangat perpaduan komuniti sebagaimana hasrat Kerajaan Madani.

Jelasnya, program siri kelima itu mendapat kerjasama dan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Klinik Dr Azhar (KKDA), Sungai Siput bagi menzahirkan keprihatinan mereka membantu keluarga asnaf serta miskin. 

“Bagi menyempurnakan program ini, KKDA menghantar tiga doktor dan 12 kakitangan turun ke lokasi bersama peralatan yang lengkap untuk menjalankan operasi berkhatan, manakala kesempatan itu digunakan juga oleh farmasi swasta juga dari Sungai Siput mengadakan pemeriksaan kesihatan. 

“Koperasi Ex-Rail Bhd pula mengambil peluang sama daripada kedatangan ramai penduduk pada program ini dengan mengadakan ceramah pengenalan mengenai ‘Think Al-Quran’,” katanya.


Paluan kompang mengiringi peserta ke bilik berkhatan.


Sementara itu, kegigihan PBKKTM dalam menganjurkan program amal dan kebajikan untuk masyarakat di seluruh negara khususnya turut membabitkan anak ahli persatuan itu serta bekas kakitangan KTM menarik perhatian Mohd Zolkafli.

Beliau berkata, usaha PBKKTM itu juga secara tidak langsung menjadi ‘mendominasi’ ke arah memupuk semangat perpaduan pelbagai kaum, membina kesedaran, keinsafan serta tanggungjawab sivik dalam komuniti yang disantuni menepati cita-cita Kerajaan Madani sekarang ini.

Menurutnya, langkah persatuan berkenaan sesuatu yang amat membanggakan kerana walaupun ahlinya rata-rata sudah bersara, namun masih aktif turun ke lapangan membantu dan meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah atau menjayakan program kebajikan untuk masyarakat.


Abdul Rahim Osman menyantuni penduduk kampung yang menikmati pelbagai juadah makanan pada 'Kenduri Sekampung'.


Tambahnya, semoga persatuan terus menganjurkan program amal kebajikan dan khidmat masyarakat itu untuk komuniti apabila mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai mereka yang perlu disantuni kerana sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka boleh bekerjasama dengan sesiapa saja.

“Paling penting usaha PBKKTM ini memberi input dan manfaat amat besar ke  arah membina masyarakat mencintai semangat perpaduan, saling mengenali, memikul tanggungjawab bersama dan sebagainya yang menjadi harapan Kerajaan Madani membina kehidupan harmoni,” ujarnya ketika berucap merasmikan program anjuran PBKKTM bersama Masjid At-Tarsawiah, Kampung Trosor, Sungai Siput (U), Perak itu.


Mohd Zolkafliy Harun menyampaikan cenderamata kepada Dr Abdul Radzak Malek sebagai tanda penghargaan untuk PBKKTM.


Dr Abdul Radzak ketika berucap pada program itu, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang menderma untuk menjayakan program berkenaan di samping pihak tuan rumah yang sangat menyantuni ahli PBKKTM dengan layanan penuh mesra. 

Jelasnya, semua kos program berkhatan itu dibiayai sepenuhnya oleh penyumbang, ahli persatuan serta individu prihatin yang sentiasa bersama PBKKTM dalam kerja amal kebajikan untuk masyarakat dan secara tidak langsung menyuntik semangat kepada persatuan untuk terus berbakti termasuk untuk keluarga bekas kakitangan KTM dalam kategori B40.

“Untuk tahun hadapan (2026), PBKKTM akan menambah baik dalam kerja amal kebajikan masyarakat ini terutama bagi memastikan tiada keluarga atau anak bekas kakitangan KTM tercicir menerima manfaat yang digerakkan persatuan,” ujarnya.

PBKKTM berasa amat terkesan dengan kerjasama penyumbang, penderma dan mereka yang prihatian kerana sentiasa memberi sokongan menjayakan program kemasyarakatan itu termasuk program berkhatan berjaya diadakan sebanyak tiga kali iaitu di Bukit Jalor, Gemenceh, Negeri Sembilan pada 24 Januari 2025, di Trong, Perak (13 September 2025) dan terkini di Sungai Siput (20 Disember 2025).


Ts Dr Abdul Radzak (lima dari kiri) bersama ahli PBKKTM dan pemimpin masyarakat di Kampung Trosor yang menjayakan Program Berkhatan pada 20 Disember 2025.


Program itu merupakan acara penutup bagi siri CSR PBKKTM untuk tahun 2025. 

Siri CSR berkenaan juga satu kebanggaan PBKKTM kerana berjaya memupuk hubungan erat antara ahli dan anggota masyarakat serta keperihatinan menyantuni kebajikan dan hak golongan asnaf, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim piatu dan penduduk yang kurang berkemampuan. - KitaReporters

7
12
1
9
0
You will be interested