Insan & Komuniti 27 Sep, 2025

Rumah patriotik! Penduduk Oakberry anjur pertandingan! Pupuk keharmonian dan perpaduan komuniti!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September tiap tahun adalah bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 apabila Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (serta Singapura) bergabung membentuk sebuah negara.



Malah tarikh itu amat penting untuk diingati apabila pergabungan negeri berkenaan memperkuat semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum, di samping menghargai jasa pemimpin dahulu yang berjaya memupuk keharmonian hidup.

Bagi menzahirkan keadaan keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum serta menghargai keamanan dan kemakmuran di samping memupuk nilai murni Persatuan Penduduk Oakberry Taman Pelangi Semenyih 2 (PPOTPS2), Hulu Langat, Selangor, menganjurkan Pertandingan Hiasan Rumah Patriotik bermula 20 Ogos hingga 16 September 2025. 


Azman Endan meraih tempat pertama menerima hadiah wang tunai daripada Dr Mohamad Fazli Sardi.


Penganjuran pertandingan kali kedua itu selaras dengan tema sambutan "Malaysia Madani: Rakyat Disantuni" adalah bagi menghayati serta menambah kehangatan sambutan Bulan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) yang membabitkan 50 rumah daripada keseluruhan 311 penduduk sekitar kediaman teres berkembar mengambil bahagian.

Pengerusi PPOTPS2, Ts. Dr Mohamad Fazli Sardi, berkata penganjuran pertandingan yang dikelolakan persatuan berkenaan merupakan usaha menyemarakkan lagi semangat kejiranan penduduk di taman itu apabila berjaya membina kehidupan penuh harmoni walaupun berlainan agama, kaum serta bangsa.  

Tambahnya, dengan cara itu juga dapat menyegarkan semangat patriotik dan cintakan negara yang dizahirkan menerusi hiasan rumah bermotifkan kenegaraan malah mengeratkan hubungan dan ukhuwah sihat antara penduduk apabila saling membantu menjayakan pertandingan berkenaan. 


Dr Mohamad Fazli menyampaikan hadiah tempat kedua kepada Hambali yang mewakili anak beliau.


Menurutnya, menggunakan kreativiti masing-masing apabila penduduk saling beramah mesra malah berkongsi idea menghiasi rumah dengan bermacam-macam bentuk Jalur Gemilang sebagai antara syarat tema pertandingan supaya dapat mendahului jiran lain bagi memastikan kelihatan cantik dan menarik.

“Paling menarik apabila hiasan yang dibuat ini begitu menarik dan luar biasa sehingga memukau juri pertandingan serta terpaksa membuat penilaian terbaik untuk memilih pemenang utama yang diperakui penduduk terbabit.

“Akhirnya keputusan dibuat oleh juri memilih rumah Azman Endan untuk meraih hadiah utama hiasan rumah patriotik dengan kreativiti berkonsep mercu tanda kemegahan negara apabila memaparkan gambar tokoh pemimpin negara yang diserikan dengan Jalur Gemilang,” ujarnya. 

Keputusan keseluruhan pertandingan itu, tempat pertama rumah Azman Endan, Kamarul Ariffin Kambali @ Hambali (kedua), Mohd Nira Sardy Mohd Salleh (ketiga), Hazari Jamil (keempat), dan kelima rumah Abdul Hadi Abdullah & Ahmad Syairul Nizam. 


Hazari Jamil memenangi tempat keempat melahirkan rasa gembira dapat menyertai pertandingan itu.


Sementara itu, seorang penduduk terbabit, Hambali Parjan, berkata bagi dia menang atau kalah dalam pertandingan perkara biasa tetapi paling penting dapat membina serta mengukuhkan semangat perpaduan dan hubungan erat penduduk di taman berkenaan.

Jelasnya, dengan aktiviti atau program itu kami penduduk dapat bertemu untuk beramah mesra dan bertanya khabar selepas sekian lama hidup dalam satu komuniti pelbagai agama dan kaum yang memberi peluang mengenali lebih rapat.

Menurutnya, pertandingan itu juga memberi kesedaran kepada penduduk mengenai pentingnya memelihara keharmonian hidup di samping menghayati dan mengenang jasa pejuang dalam kalangan tentera dan anggota polis yang berjuang mempertahan kedaulatan tanah air sehingga berjaya membentuk sebuah negara merdeka.

“Ini semua kita akan ceritakan kepada anak cucu yang ingin tahu sejarah kemerdekaan negara serta pertubuhan Persekutuan Malaysia di samping sentiasa menghormati tokoh pemimpin negara dan menyanjungi Jalur Gemilang,” katanya. - KitaReporters


Dr Mohamad Fazli (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama pemenang Pertandingan Hiasan Rumah Patriotik.

22
11
0
6
0
You will be interested