MASA pergi kenduri undangan jiran, Opah merenung pinggan nasi kenduri. Ada nasi minyak dimakan dengan daging masak hitam, ayam masak merah, acar dan gulai ikan kering dengan nanas.
Ada sambal belacan, aduh!...pedasnya.

Rasa lemak masak, daging hitam penuh perisa, sambal masak merah yang disukai semua tetamu dan acar buah. Berhimpun dalam mulut, nikmat itulah lambang perkahwinan kan.. menyeimbangkan semua rasa jadi sedap
Nasi kenduri bukan sebarang hidangan biasa. Nasi kenduri yang kita makan pada majlis kahwin sejak bertahun-tahun adalah simbolik meraikan asam garam yang pasangan baharu mendirikan mahligai akan lalui sepanjang kehidupan.
Daripada menyambut sebuah kelahiran seorang penghuni baharu dunia sehingga saat kita menyerahkan seluruh jiwa raga kesayangan kita kepada orang yang diamanahkan terus menjaganya sepanjang hayat.
Nasi kenduri akan satukan adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan lama.
Tahun 2025 boleh kata setiap bulan kita pergi ke majlis kenduri kendara yang sejak turun temurun meraikan tetamu baharu dalam keluarga. Menantu! Sama ada lelaki atau perempuan.
Malah upacara kenduri orang Melayu turut dikaitkan dan majlis persandingan adat Hindu. Ya atau tidak, terpulang kepada kita. Ada duit lebih buatlah majlis bersanding. Kalau tidak, sekadar lafaz nikah dan makan anak beranak.

Opah paling kagum bila melihat pelakon, model dan penyanyi Erra Fazira dan suaminya, Muhamad Ezwan Muhamad Zain yang betul-betul berhabisan belanja untuk meraikan perkahwinan kedua (bagi Mr E) dan ketiga (bagi Erra).
Bagi Erra kali pertama sangat meriah dari Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) sehingga ke Tasik Permaisuri Cheras majlis untuk keluarga dan peminat. Kedua sekadar biasa-biasa saja dan ketiga dan haraplah kali terakhir buat mereka, acara bukan saja meriah malah mewah sangat ketara.
Acara yang dikatakan Wedding of the Year. Opah lebih tertarik dengan jumlah belanja yang mereka biayai ketiga majlis untuk reward (hadiah) selepas bertahun-tahun berjuang mencari rezeki.
Nasi kenduri Erra Fazira (pada majlis resepsinya) menampilkan menu hidangan Melayu klasik seperti Nasi Beriani Basmathi, Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam, Gulai Kawah Daging & Tulang, serta pelbagai kuih muih, cendol, dan hidangan istimewa seperti Siakap 3 Rasa dan Ayam Golek Black Pepper untuk majlis santai, menunjukkan perincian menu yang meriah dan tradisional.
Menu Nasi Kenduri Erra Fazira (Ringkasan):
- Nasi: Nasi Beriani Basmathi, Nasi Putih Basmathi (masak di lokasi).
- Lauk Pauk: Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam, Gulai Kawah Daging + Tulang, Ikan Gelama Masin Goreng.
- Pencuci Mulut & Minuman: Cendol (live), Bubur Pulut Hitam, Kuih (Koci, Seri Muka, Karipap, Kuih Lapis), Air Kordial, Air Mineral, Teh Tarik, Nescafe Tarik.
- Hidangan Tambahan (Makan Beradab): Siakap 3 Rasa, Ayam Golek Black Pepper, Udang Panjat, Buah.
- Pelengkap: Acar Buah, Papadom, Ulaman & Sambal Belacan.
Menu ini menunjukkan gabungan hidangan utama yang kaya rasa dengan sajian sampingan dan pencuci mulut tradisional yang selesa, lazim dalam kenduri kahwin di Malaysia, dengan sentuhan istimewa untuk majlis resepsi beliau.
Jika kita melihat itu, baru kita tahu jangan kedekut untuk berbelanja sebab bukan selalu kita kahwin tu! Bertahun-tahun mencari duit, menahan duka perceraian, jatuh bangun dalam kerjaya.
Dah tibalah hari yang baik untuk hadiahkan harga daripada sebuah kelelahan buat diri masing-masing.
Bila melihat persandingan mereka yang dibuat di sebuah hotel, lihat pada menu jamuan dikatakan berharga hampir RM455-500 seorang. Nasi kenduri yang dihidang dalam kemewahan memang setaraf santapan diraja.
Itu belum masuk majlis lafaz akad nikah dan persandingan pada malamnya di Dewan Rijani Majestic Subang Jaya. Kata orang alah berbelanja menang merasakan nikmatnya hasil tuaian kerja sara diri dan keluarga.
Nasi kenduri yang majlis biasa ada daging masak hitam, ayam masak merah, gulai ikan dengan nanas, dalca, acar, ulam-ulaman dinilai satu harga sekepala dari RM10-15 sekepala. Ada juga minuman dan buah-buahan serta manisan termasuk aiskrim, kek, kuih-muih dan bubur kacang atau laksa.
Kalau jemputannya 1,000 orang atau lebih bayangkan berapa jumlah pakej kenduri kahwin itu saja.
Sebab itu nilai nasi kenduri itu besar maknanya kepada keluarga pengantin.
Bagi lelaki biasanya hantaran kepada isterinya dijadikan modal kenduri dan nanti bila ada jemputan hulurkan sampul duit. Ada yang dapat lebih tetapi selalunya kurang daripada jumlah keseluruhan majlis kenduri.

Itulah "harga" anak perempuan yang selama ini dibesarkan oleh ibu bapa. Mereka menyerahkan anak dara yang disantuni sejak bayi, pergi ke sekolah, pengajian ke universiti dan seterusnya bekerja.
Ramai hanya sempat "membalas budi dan jasa" kepada keluarga kerana selalunya gadis bekerja "cepat laku" terutama jika bergaji besar dan cantik pula akhlaknya.
Ada ibu bapa suka dan ramai juga yang sedih apabila anak perempuan dipinang. Tidak dilepaskan, bimbang terjadi hal tidak baik terutama berlaku kemaksiatan dan jika menolak lamaran, kan membujang sampai tua.
Gelaran anak dara tua walaupun masih boleh diterima secara terbuka tetapi ramai ibu bapa berharap anak-anak mereka mendapat calon suami yang soleh.
Manakala yang ada anak lelaki pula, mungkin garu kepalalah sikit. Mana nak cari duit hantaran anak-anak lelaki baru sebulan dua bekerja.
Opah pernah disindir oleh mentua. Kamu itu ada lapan anak lelaki kalaulah RM10k-20k hantaran diminta. Macam mana nak cari duit RM80k untuk masuk meminang anak orang tu?...
Kami kemudian ketawa. Getar juga hati bila ingat.
Namum kata orang, kalau ada anak, akan datang rezekinya. Tahu tak anak-anak saya yang sulung dan kedua saja berhabisan RM20-RM30k (termasuk wang hantaran) yang lainnya mentua mereka tidak mahukan duit itu.
Ada tu minta RM1 saja daripada hantaran yang anak menantu setuju bergabung duit simpanan mereka. Malah kenduri kahwin pun besan tidak mahu kami buat. Seolah-olah faham akan keadaan kami yang ada lapan anak lelaki ini.

Begitulah hidup dipermudahkan kerana nasi kenduri itu bukannya syarat utama. Yang penting akad nikah dan biaya kehidupan selepas itu. Sewa rumah, pinjaman kereta, motor dan saraan harian yang bukan sedikit.
Pernah dengar tak? Ada pengantin yang berhutang bank untuk membiayai kenduri sehingga beranak pinak, duit pinjaman tidak habis dibayar. Malah ada yang sampai bercerai-berai masih menanggung hutang "nasi kenduri".
Tahun 2026 sudah mula kita melangkah. Nanti bilanglah berapa majlis kenduri kahwin tahun 2026 ini kita dapat jemputan. Jika setiap minggu, sebulan ada empat kali.
Sekali pergi kenduri sudah tentulah wang pengantin dari RM50 akan bertukar tangan. Kita tidak lagi membayar harga makan nasi kenduri RM10 sebab 'kasihan" dan malulah hendak bagi sejumlah itu kepada keluarga pengantin.
Selamat Tahun Baharu dan Selamat Pengantin Baharu 2026.
Semoga setiap mahligai dibina diikat dengan rasa kasih sayang dan cinta sejati.
Jangan biarkan bahtera mudah rapuh. Cari jalan segera menuntut lubang kecil yang bocor kerana perkahwinan itu adalah penyatuan dunia dua manusia yang ada sejuta perangai. - KitaReporters
