
Beberapa sukarelawan memberi tumpuan kepada balingan bola boling pasukan yang bertanding.
Kejohanan boling menjadi simbolik Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor mengeratkan ukhuwah dengan kakitangan serta sukarelawan yang banyak membantu dalam mengurus selia penghuni dalam kalangan warga emas.
Program dimulakan sejak beberapa tahun lalu itu menepati matlamat berkenaan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar lebih daripada satu pasukan sukarelawan mereka dalam kejohanan yang diadakan itu.
Setiausaha PJNH, Aidah Jaamat, berkata walaupun bagi sesetengah orang menganggap kejohanan itu tidaklah sehebat mana tetapi untuk kami yang setiap hari bergelombang dengan pelbagai permasalahan mengurus selia warga emas ia amat bermakna.
Menurutnya, dalam kejohanan itu kami menyantuni kakitangan dan sukarelawan yang banyak membantu khusus dari segi tenaga tanpa jemu untuk mengurus warga emas di samping membantu menjayakan program dianjurkan pelawat yang datang berkunjung ke PJNH.

Mohd Nazri Abdul Latif (kanan) bersama ahli pasukan yang mewakili Kasih.
Tambahnya, ada antara sukarelawan yang mewakili NGO mempelawa atau membawa pelbagai pihak untuk datang melihat PJNH mengurus warga emas tanpa dikenakan bayaran bagi menjalani kehidupan harian selepas disisihkan ahli keluarga atau hidup sebarang kara.
Jelasnya, peranan sukarelawan amat membantu terutama
menarik pelbagai NGO lain dan organisasi datang membuat aktiviti bersama-sama
warga emas manakala lazimnya mereka berkenaan akan turut menghulurkan sumbangan
kewangan serta barangan keperluan asas harian.
“Bagi saya ikatan ukhuwah ini perlu dieratkan malah
diharap menjadi contoh kepada NGO lain apabila kakitangan PJNH dan sukarelawan
boleh berganding bahu menyantuni warga emas seperti bapa sendiri,” ujarnya
ketika ditemui pada Kejohanan Boling Amal PJNH 2025, di Kajang, Selangor pada 9
Ogos 2025 lalu.
Pada kejohanan itu Pertubuhan Sukarelawan Kasih (Kasih) dan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) menghantar tiga pasukan diikuti PJNH (4) serta Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) satu pasukan.

Mohd Azuan Wan Hassan (tengah) bersama ahli pasukan PJNH yang memberi saingan sengit pada kejohanan itu.
Sementara itu, Pengerusi Kasih, Mohd Nazri Abdul Latif, berkata penyertaan pertubuhan dalam kejohanan berkenaan sebagai pendedahan kepada ahli untuk mengenali lebih rapat pengurusan PJNH yang sering mereka bantu.
Menurutnya, apabila diadakan program di PJNH tidak
semua ahli Kasih dapat hadir kerana kekangan bekerja tetapi pada kejohanan itu
ramai menawarkan diri untuk menyertai kerana ingin merapatkan ukhuwah dengan
ahli NGO lain.
“Kalah atau menang kami ketepikan kerana yang penting dapat beramah mesra dan mengenali lebih rapat ahli NGO lain serta berbual mengenai usaha boleh diteruskan bagi membantu PJNH yang amat memerlukan sokongan dalam menyantuni warga emas,” katanya.

Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kejohanan kepada pasukan yang bertanding.
Kakitangan PJNH, Mohd Azuan Wan Hassan, pula berkata kejohanan itu juga dapat merapatkan ukhuwah antara kakitangan dengan ahli NGO yang merupakan tenaga sukarela penting bagi membantu menjayakan program khusus mencari dana dan sumbangan daripada pelbagai pihak.
“Sejak beroperasi ahli NGO juga menguar-uarkan kewujudan pusat jagaan ini kepada masyarakat luar dan memaklumkan sumbangan yang boleh mereka infak bagi meringankan bebanan kos operasi PJNH supaya warga emas dapat terus disantuni dengan sempurna,” ujarnya. - KitaReporters
Kakitangan PJNH dan sukarelawan NGO merakamkan kenangan selepas selesai berentap pada Kejohanan Boling Amal PJNH 2025, di Kajang, Selangor.