Insan & Komuniti 02 Dec, 2023

Pesta Cahaya Bangi Madani meriah! Pelbagai makanan masyarakat India! Nasi kandar Apollo jadi tarikan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Persembahan tarian tradisional India oleh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Bangi.


KEMERIAHAN sambutan Deepavali yang disambut oleh masyarakat India masih terasa apabila Parlimen Bangi menganjurkan Pesta Cahaya Bangi Madani di Restoran Apollo, Jalan Reko, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pesta cahaya yang diadakan dari jam 5 petang hingga 9 malam itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya pertandingan kolam dan mewarna, bengkel masakan Elaneer Payasam, badut, pertandingan makan Panipuri, pakaian tercantik, kaunter inai, photobooth, tarian Baratham, Bhangra dan pertunjukan seni mempertahankan diri, Silambam.

Syahredzan Johan (empat dari kiri) bersama kumpulan Bhangra yang menghiburkan hadirin dengan pukulan gendang menarik.


Walaupun dalam keadaan hujan, orang ramai dari pelbagai kaum memenuhi setiap ruang dalam Restoran Apollo kerana makanan dan minuman disediakan percuma. 

Nasi kandar kari kambing paling mendapat sambutan dan orang ramai terpaksa berbaris panjang. Ada juga gerai yang menyediakan makanan dan minuman seperti gerai roti puri, popcorn, cendol dan otak-otak yang mendapat sambutan pengunjung.

Acara dimulakan dengan persembahan tarian tradisional India dan orang ramai bersorak gembira melihat penari cilik yang berbakat besar.

Kemudian, persembahan tarian Baratham yang dipersembah oleh murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Bangi.


Sebahagian hadirin pelbagai kaum yang hadir memeriahkan Pesta Cahaya Bangi Madani di Restoran Apollo, Jalan Reko, Bangi, Selangor.


Suasana sepi seketika dan masing-masing menumpukan perhatian ke pentas utama apabila Kumpulan Silambam mengambil tempat dan mengadakan persembahan menarik seni mempertahan diri seperti bermain buluh atau tongkat panjang, memotong tembikai di atas perut, bermain besi panjang dan memecahkan gentian. 

Seni mempertahan diri Silambam berasal dari Kerala, India dan dikatakan berusia 5,000 tahun. 

Dulu, penduduk tempatan menggunakan tongkat buluh atau rotan bagi mempertahankan diri mereka dari haiwan buas. Kini, ia adalah aktiviti sukan popular yang turut disertai pelbagai kaum.

Cabutan bertuah turut menjadi tarikan Pesta Cahaya Bangi Madani dan orang ramai bersorak beramai-ramai apabila pengacara mengumumkan nombor tertentu sehingga keadaan di Restoran Apollo gamat.

Panipuri antara makanan tradisional masyarakat India yang disediakan untuk orang ramai yang hadir di Pesta Cahaya Bangi Madani.


Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan gembira dengan kehadiran pengunjung pelbagai bangsa, sekali gus membuktikan konsep Malaysia Madani yang diperkenal oleh Kerajaan Perpaduan mendapat maklum balas baik daripada masyarakat.

Sepanjang setahun menjadi Ahli Parlimen Bangi, beliau mendapat kerjasama baik daripada penduduk tempatan berbilang kaum sehingga membuatkan beliau terharu dan berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tanpa pilih kasih.

Antara tetamu istimewa Pesta Cahaya Bangi Madani ialah ayah dan ibu Syahredzan, Tan Sri Johan Jaafar (duduk, kanan) dan isteri (duduk, kiri). 


"Saya mendengar dan memahami kehendak masyarakat di Bangi yang penduduknya berbilang kaum dan agama, justeru saya menyusun aktiviti untuk menyantuni semua pihak tanpa mengira latar belakang politik dan ras.

"Jika saya memberi bantuan untuk surau dan masjid, saya juga membantu rumah ibadat kaum India dan Cina. Kepelbagaian yang saya lakukan turut mencakupi pejabat Parlimen Bangi kerana kakitangan saya terdiri daripada pelbagai kaum, Melayu, India dan Cina," katanya. 

Beliau juga menyalurkan peruntukan Ahli Parlimen kepada semua kaum, termasuk masyarakat India yang mendapat bantuan kewangan untuk menaik taraf sekolah jenis kebangsaan India selain membantu mahasiswa daripada kaum itu. 


Sandart dan face painting antara tarikan di Pesta Cahaya Bangi Madani.


"Pesta Cahaya Bangi Madani ini adalah antara aktiviti yang saya anjurkan sempena sambutan Deepavali tapi bukan untuk masyarakat India saja tapi terbuka kepada orang Melayu dan Cina. Anda boleh lihat mereka yang datang ke majlis ini daripada pelbagai kaum.

"Jika saya mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, tidak molek rasanya jika masyarakat India tidak diberikan sambutan seperti majlis malam ini. 

"Saya difahamkan Pesta Cahaya Bangi Madani adalah program pertama di adakan di Parlimen Bangi, jadi tidak hairanlah sambutan diterima amat memuaskan. Insya-Allah saya akan menjadikan majlis seperti ini acara wajib setiap tahun, sama seperti sambutan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina," katanya. 

Sempena majlis itu, beliau turut mengagihkan baucer Deepavali dan memberi sumbangan kepada golongan masyarakat India yang memerlukan. 

Lebih manis, Pesta Cahaya Bangi Madani turut dihadiri ayahnya, Tan Sri Johan Jaaffar dan ibunya. - KitaReporters


Pengunjung bergambar kenangan bersama Syahredzan (tiga dari kiri) dan mantan ADUN Sungai Ramal Dalam, Mazwan Johar (empat dari kiri). 


Persembahan Bhangra memukau hadirin.

14
12
0
9
0
You will be interested