Insan & Komuniti 01 Oct, 2023

Sembang-Sembang| Hari Warga Emas! Hargai permata berharga negara! Gembira dan bahagiakan ibu bapa!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Setiap tahun 1 Oktober disambut sebagai Hari Warga Emas. Jasa dan pengorbanan mereka tidak terbalas oleh kita. Susah mereka senang kita. 

Mereka umpama emas. Sangat cantik dan berharga. Mereka warga emas kesayangan kita. Kebanggaan negara. 

Siapa yang layaknya disebut sebagai warga emas? 

Warga Emas boleh dikategorikan sebagai golongan manusia yang berumur 50 tahun dan ke atas. Mereka adalah golongan ibu, bapa, datuk dan nenek yang telah bersara atau tidak bekerja atau berkerja sendiri. Mereka adalah warga emas. 

Mereka juga terdapat dalam kalangan keluarga dan masyarakat sekeliling kita. Mereka ibu bapa, datuk nenek, ibu dan bapa saudara  nenek dan datuk saudara, jiran tetangga dan sahabat kita. 



Populasi golongan warga tua  semakin bertambah kerana perkembangan industri kesihatan yang mengurangkan kadar kematian di dunia secara keseluruhannya. 

Dimaklumkan juga menjelang tahun 2030 populasi warga emas di Malaysia akan meningkat sebanyak 15 peratus bersamaan 5.6 juta orang.

Perkhidmatan dan kualiti kesihatan yang bertambah baik membolehkan jangka hayat wanita menjangkau usia 77.4 tahun sementara lelaki 72.5 tahun. Sehubungan itu amat wajar mereka diberi perhatian dan kasih sayang sepenuhnya tanpa alasan. 

Sebagai warga emas mereka telah banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat mahupun negara dengan cara mereka tersendiri. 

Golongan yang sering dikatakan yang terdahulu makan garam telah melalui pelbagai liku kehidupan dalam memberikan yang terbaik demi keluarga tercinta. 

Oleh itu, wajar untuk masyarakat kita khususnya anak-anak menghargai warga emas bukan sahaja dalam keluarga kita tetapi jiran dan juga masyarakat sekeliling. 

Apakah cara-cara untuk menghargai warga emas yang boleh diamalkan oleh masyarakat hari ini khasnya anak-anak? 

Perkara utama yang boleh dipraktikkan oleh ahli keluarga dalam menghargai warga tua adalah dengan menunaikan tanggungjawab terhadap mereka dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab. 

Selain itu meluangkan masa bersama mereka juga patut didahulukan dalam sebarang aktiviti lain. Jangan asyik bercuti sedang agenda balik kampung tiada dalam kalender kecuali pada hari raya. 

Yang disebut sebagai golongan tua terdiri daripada kaum ibu yang melahirkan zuriat serta menguruskan hal ehwal rumah tangga dan bapa yang membanting tulang bekerja bagi menampung kehidupan keluarga tanpa mengenal erti penat. 

Jasa dan pengorbanan mereka wajar dihargai dan kita sebagai anak-anak yang soleh dan solehah seharusnya bersama menjaga kebajikan mereka dan menjadikan ia keutamaan dalam hidup.



Namun senario masyarakat hari ini menunjukkan  kesibukan mengejar urusan duniawi dan kerjaya menyebabkan ada anak-anak tidak balik atau berkunjung melawat ibu dan bapa di kampung.

Jangan bersikap seperti kacang lupakan kulit dengan ibu bapa sebab setiap antara kita wajar berusaha untuk meluangkan masa bersama orang tua sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan mereka melahir, menjaga  dan mendidik kita sehingga berjaya. 

Tambahan pula pada era moden di mana semuanya hanya di hujung jari tiada alasan untuk anak-anak mengetepikan ibu bapa. Satu panggilan sahaja ibu bapa akan ceria dan gembira. 

Hendak dengar suara atau menatap wajah mereka pun boleh. Kita dapat berkomunikasi, berkongsi masalah dan mendengar cerita daripada mereka seperti sedang berbual di rumah

Kehadiran cucu-cucu melawat datuk dan nenek juga dapat memberikan keceriaan kepada mereka kerana gelagat kanak-kanak yang lucu dan seronok boleh menghilangkan  kerinduan. 

Masa yang berlalu memerlukan setiap dari kita memberi tumpuan kepada kebajikan mereka terutama apabila kesihatan diri terjejas dengan pelbagai jenis penyakit. 

Tidak perlu risau kerana kos-kos rawatan kesihatan yang di luar kemampuan sesetengah orang khasnya anak anak yang kurang mampu dibiayai oleh kerajaan dengan memberikan insentif kesihatan kepada warga emas. 

Apapun pihak yang berkaitan jangan bersikap seperti, anak di rumah dibiarkan, kera di hutan disusukan. Bertuah warga emas yang ada anak-anak berjawatan tinggi dan mampu menghantar mereka ke hospital swasta serta membeli insurans untuk mereka. 



Golongan yang sudah lama makan garam ini wajar mendapat perhatian yang sama rata seperti golongan kanak-kanak dan wanita. Harus diingat, tanpa mereka siapalah kita! 

Sebagai masyarakat yang prihatin dan berhemat, kita perlu menunjukkan tauladan terbaik sepanjang kehidupan agar menjadi contoh  buat generasi muda khasnya anak-anak. 

Sebelum hilang doa seorang ibu dan kasih seorang bapa, carilah masa untuk menghargai mereka. Menggembirakan mereka amat disukai Allah. 

Kasih ibu membawa ke syurga kasihnya bapa sepanjang masa. Sampai masa  lambat laun kita juga akan bernoktah usia sebagai warga emas. 

Selamat Hari Warga Emas. 

15
12
0
10
0
You will be interested