Insan & Komuniti 20 Apr, 2023

Sambutan membanggakan! Surau Al-Hidayah Taman Bayu Permai buat Iftar Perdana sebanyak dua kali!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


SYUKUR Alhamdulillah akhirnya Pengurusan Surau Al-Hidayah Taman Bayu Permai, Rawang berjaya melakukan dua kali Iftar Perdana Ramadan tahun 2023 yang menjadi satu lagi titik kejayaan yang membanggakan.

Ini kerana sepanjang beberapa tahun surau itu berusaha untuk membuat solat tarawih dan pelbagai kegiatan kebajikan bagi mengimarahkan surau dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim.

Pengerusi Surau, Khairil Anuar Anuar berkata, tonggak kejayaan majlis tahun 2023 ini adalah hasil kesepakatan penghuni taman bersama Ahli Jawatankuasa Surau (AJK) Al-Hidayah, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Persatuan Penduduk Taman Baru Permai yang bukan setakat menyumbang wang ringgit malah tenaga dan masa, menyediakan juadah dengan bergotong-royong memasak untuk disajikan kepada jemaah.

Manakala penghuni Islam di setiap lorong taman itu pula turut memeriahkan majlis dengan menambahkan hidangan kuih muih, makanan dan minuman dengan setiap lorong akan menghantar juadah berdasarkan tarikh yang diberikan. 

Malah sebahagian besar penghuni lorong seikhlasnya mendermakan wang lain bagi menempah makanan bagi menceriakan jemaah terutama kanak-kanak yang datang menceriakan suasana masjid.



Pada Iftar Perdana 2.0 diadakan pada 15 April 2023, manakala Iftar Perdana 1.0 telah diadakan pada awal April.

Sebagai tanda kesyukuran pengurusan surau membuat keputusan membuat iftar kali kedua itu disebabkan gembira dengan sambutan luar biasa daripada penduduk, menghidupkan solat tarawih itu semasa iftar pertama diusahakan.

"Kita sudah ajak seramai boleh kerana niat kita bersahabat kerana Alah SWT. Kami sediakan menu berbuka istimewa dan untuk majlis kali terakhir tahun ini. Kita buat tahlil pada bulan penuh ganjaran ini.  Kita buat yang terbaik tahlil untuk mak dan ayah kita.

"Mari kita cipta satu kenangan paling indah persahabatan di kalangan penduduk Taman Bayu Permai yang kebanyakan masih muda dan golongan pencen. 

"Kalau kita mahu adakan Iftar lagi macam ini, kita kena tunggu tahun depan pula," kata Khairil kepada penduduk . 



Majlis bermula jam 6.30 petang dengan tetamu undangan sampai, berbuka puasa, tahlil untuk arwah dan bacaan doa, berbuka puasa, solat maghrib dan tarawih.

Sebelum ini Surau Al-Hidayah telah dipilih oleh pengurusan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes (BCH) untuk lawatan pertama dalam sembilan lawatan, dikunjungi nazir dan imam masjid berkenaan sepanjang bulan puasa.

Kedatangan nazir dan imam itu untuk saling bertanya khabar dan mengeratkan hubungan antara pengurusan surau dengan masjid dan turut menyampaikan bantuan untuk mengimarahkan surau.


Sebahagian muslimat yang hadir awal.


Sudah semakin cantik dan selesa, Surau Al-Hidayah Taman Bayu Permai, Rawang.


Surau Al-Hidayah ini dibina hasil usaha dan dibiayai dengan sumbangan setiap sen yang disedekahkan oleh penduduk. Sebelum ini projek membina surau ini adalah tanggungawab pemaju projek di sini. Tetapi projek itu sampai sudah tiada hasilnya.

Selepas menyewa rumah penghuni di sini, usaha membina surau itu dimulakan dengan gotong-royong termasuk mengisi hujung minggu mereka membina dan mengikat batu asas bangunan. Ia memakan masa beberapa tahun kerana kebenaran mendapat tapak dan kemudahan air serta elektrik perlu melalui prosesnya.

"Tujuh tahun kita bina surau dengan wang ringgit, air mata, penat lelah demi beribadat kepada Allah SWT dan paling terbaik, kenangan ialah dapat menunaikan umrah bersama. Ramadan tahun ini (2023) sangat-sangat bermakna buat kita semua," kata salah seorang penduduk.

Hasilnya dari surau kecil kini ia mampu memuatkan lebih 200 penduduk untuk mengadakan kegiatan kebajikan termasuk mengadakan majlis hari raya, majlis korban dan kenduri kendara perkahwinan. - KitaReporters


25
29
0
19
0
You will be interested