Insan & Komuniti 05 Feb, 2024

Video| Masjid terapung atau dilanda banjir? Solat Jumaat atas perahu! Jumlah jemaah jadi perdebatan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Bukan sesuatu yang baharu tentang masjid terapung kerana di Malaysia juga ada. Kalau ikutkan takrifan sebenar, ia bukanlah betul-betul terapung di permukaan air. 

Kebanyakan masjid terapung di Malaysia hanya dibina di atas air. Ia mempunyai tiang yang dipasak di bawah permukaan air. Ilusinya kelihatan seperti ia terapung di atas air.

Sebut mengenai masjid terapung, ada satu video yang tular dalam media sosial menunjukkan satu jemaah sedang menghadiri solat Jumaat di sebuah masjid di Kalimantan Tengah, Indonesia. 

Uniknya masjid tersebut benar-benar berada di dalam air. Ia kelihatan tidak mempunyai lantai. Boleh dikatakan, inilah yang dikatakan sebagai representasi masjid terapung sebenar.


Jemaah sedang mendengar bacaan khutbah Jumaat daripada imam.


Justeru, sesiapa yang solat di situ perlu melakukannya di atas perahu atau sampan. Ia bukan seperti kebiasaan masjid terapung yang ada di Malaysia. 

Dalam erti kata lain, anda kena bawa perahu atau sampan sendiri untuk solat di masjid tersebut. 

Dalam video yang dikongsi oleh pemilik akaun TikTok bernama Junaidyhss, dikatakan sedang berlangsungnya solat Jumaat di masjid tersebut. 

"Wilayah manakah ini? Tabik sama mereka ini,” tulisnya.



Masjid itu mempunyai sedikit ruang untuk sebilangan jemaah memasukinya menggunakan perahu bagi setiap jemaah. Namun, ada jemaah yang terpaksa turut sama bersolat walaupun di luar masjid.

Bukan sahaja jemaah, imam juga membawa perahu sendiri. Ada juga jemaah yang membawa perahu besar dan boleh berkongsi ruang dengan jemaah lain. 

Namun, ada beberapa individu mendakwa masjid tersebut bukanlah masjid terapung. Mereka mendakwa masjid tersebut sebenarnya dilanda banjir besar hingga menenggelamkan masjid dan rumah-rumah yang berada di situ. 

“Ini bukan masjid terapung, tapi di Kalteng (Kalimantan Tengah) sedang banjir. Lebih tepatnya di Barito. Sekali lagi kita di sini lagi dilanda banjir,” tulis salah seorang netizen.


Individu ini mendakwa ia bukan masjid terapung tetapi masjid yang ditenggelami air akibat banjir yang sedang melanda.


Selain persoalan mengenai kejadian sebenar, jumlah jemaah solat Jumaat juga menjadi perdebatan antara netizen. 

Ini kerana kalau dilihat daripada video berkenaan, kelihatan jumlah jemaah kurang daripada 40 orang, iaitu syarat sah untuk mendirikan solat Jumaat di sesuatu tempat mengikut mazhab Syafie dan Hambali.

“Cukupkah 40 orang?” tanya salah seorang netizen.


Pelbagai pendapat diberikan oleh setiap orang. Ada yang kata boleh dan sebaliknya mengikut mazhab masing-masing. 

Bagi mazhab Maliki, paling sedikit ialah 12 orang pemastautin. Manakala mazhab Hanafi, paling sedikit ialah empat orang termasuk imam.

Sebaiknya, rujuklah kepada keputusan yang telah diputuskan oleh pihak pemerintah (kerajaan) secara umumnya dan kalau di Malaysia, pihak berkuasa agama negeri masing-masing berkenaan bilangan minimum jemaah solat Jumaat. - KitaReporters


17
16
0
11
0
You will be interested