Insan & Komuniti 07 May, 2024

Terima kasih Persatuan Kebajikan Amal Syumul, Kumpulan Usrah Sg Long! Bantu pusat jagaan warga emas!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Tetamu jemputan dan orang ramai membanjiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, pada 27 April 2024. 


PERSATUAN Kebajikan Amal Syumul (Perkas), Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur akan meneruskan usaha murni menginfak al-Quran ke pusat-pusat pengajian agama seperti pusat tahfiz, sekolah pondok, sekolah agama dan juga rumah kebajikan yang telah dilakukan sejak penubuhannya enam tahun lalu.

Pengerusinya, Za’aba Ab Ghani, berkata sepanjang tempoh itu, Perkas sudah mengagihkan 5,400 naskhah al-Quran yang ditaja pelbagai pihak sebagai infak mereka membantu pusat pengajian berkenaan di seluruh negara termasuk ke Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga Perkas turut terbabit mengagihkan al-Quran ke beberapa sekolah pondok dan pusat tahfiz di Thailand, Vietnam dan Kemboja apabila menyertai misi amal kebajikan dan membantu golongan keluarga miskin di negara berkenaan bersama-sama Persatuan Badan Didikan Islam (BADIM), UDA Holdings Berhad.


Za'aba Ab Ghani (tengah) melakukan gimik penyerahan sumbangan naskhah al-Quran kepada wakil Madrasah Al-Tholibing, Beranang, Selangor.


Tambahnya, al-Quran diagihkan itu termasuklah mengandungi terjemahan bernilai antara RM30 dan RM100 senaskhah dan kebiasaannya penginfak atau pihak yang memerlukan sumbangan kitab berkenaan akan memaklumkan isi kandungan amat diperlukan untuk kegunaan pelajar mereka.

“Sebagai pemegang amanah, Perkas akan cuba berikhtiar mendapatkan al-Quran yang diperlukan itu di samping memastikan jumlah diagihkan cukup sebagaimana bilangan pelajar atau mereka yang memerlukannya.

“Perkas berasa bertuah kerana secara tidak langsung terbabit dalam usaha menggalakkan atau menyuburkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat di samping meringankan bebanan pihak pengurusan pusat tahfiz atau sekolah pondok mendapatkan naskhah al-Quran,” katanya. 

Beliau ditemui pada majlis penyerahan 100 naskhah al-Quran sumbangan Perkas dan Kelab Sukarelawan Mahmudah (Kesuma) kepada Madrasah Al-Tholibing, Beranang dan Madrasah Saidina Ali Banat, Kampung Rinching Hilir, Semenyih, sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, pada 27 April 2024.


Za'aba bertanya khabar warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah.


Za’aba berkata, selain menghulurkan sumbangan infak al-Quran, Perkas juga terbabit secara langsung dalam mengagihkan bakul makanan barangan keperluan asas kepada keluarga ditimpa bencana seperti banjir dan juga mangsa Covid-19 beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dalam kerja amal kebajikan itu, Perkas sentiasa ke depan apabila sentiasa menerima laporan daripada pelbagai pihak serta orang ramai mengenai mereka yang memerlukan bantuan dan sebagainya terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang. 

Jelasnya, ahli jawatankuasa persatuan disarankan untuk rajin bersikap ambil peduli terutama apabila mendapat info mengenai mereka yang memerlukan sokongan atau bantuan akibat ditimpa musibah kerana banyak pelbagai pihak yang sudi menghulurkan sumbangan atau infak menerusi Perkas.

“Dalam usaha terbaharu Perkas akan melancar kempen mencari sumbangan untuk membeli pampers pakai buang untuk warga emas yang menghuni pusat jagaan kerana keperluan ini amat kritikal bagi sesetengah rumah kebajikan terbabit.

“Sebarang pertanyaan atau mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kempen berkenaan boleh menghubungi beliau menerusi telefon 012-686 0316,” ujarnya.


Dato' Yusni Hamid turut hadir untuk menghiburkan tetamu dan warga emas.


Norzita Ab Manaf menghulurkan sumbangan duit hari raya kepada warga emas di PJMM hasil derma ahli Kumpulan Usrah dan komuniti.


Sementara itu, 47 warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, terubat kerinduan kepada ahli keluarga pada hari lebaran apabila disantuni Kumpulan Usrah, Sungai Long, Kajang dengan jamuan hari raya pada 28 April 2024.

Pengerusi kumpulan itu, Norzita Ab Manaf, berkata kunjungan mereka ke PJMM adalah saranan daripada ahli yang mahukan suatu aktiviti diadakan terutama bagi menggembirakan hati mereka yang ditimpa musibah atau disisih oleh ahli keluarga pada hari lebaran.

Tambahnya, serentak itu mereka mengadakan kutipan derma dalam kalangan ahli serta komuniti setempat untuk menyediakan juadah jamuan hari raya serta duit raya untuk disumbangkan kepada warga emas di pusat berkenaan.

Jelasnya, kumpulan berkenaan sentiasa mengikuti perkembangan PJMM terutama apabila mengetahui mereka beroperasi dengan bergantung kepada infak orang ramai serta pelbagai pihak yang sudi membantu bagi mengurus dan menjaga warga emas secara percuma.

“Kumpulan kami juga turut turun kelapangan bagi membantu mereka yang ditimpa musibah atau memerlukan bantuan kerana kesempitan dan sebagainya tanpa mengira bangsa disamping mengadakan usrah bagi mengeratkan silaturahim,” katanya. - KitaReporters


Norzita Ab Manaf menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman bagi membantu meringkan bebanan kos operasi pusat berkenaan.

17
13
0
12
0
You will be interested