Insan & Komuniti 27 Jul, 2024

Konvoi beramal! Biro Pemuda Masjid Al-Muhsinin santuni anak yatim dan warga emas! Musafir, Ziarah & Ukhuwah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Peserta konvoi bermotosikal bergambar bersama Mohiadin Bahado (kiri) sebelum meneruskan perjalanan ke Banting.


BERPEGANG kepada slogan Musafir, Ziarah & Ukhuwah, Biro Pemuda Masjid Al-Muhsinin, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam, Selangor meneruskan Program Konvoi Bermotosikal sebagai salah satu dakwah menarik lebih ramai kariah untuk mengimarahkan masjid disamping menyantuni mereka yang memerlukan pembelaan.

Pengurus program, Mohd Zahed Nasrin, berkata biro pemuda iotu sudah membuat perancangan untuk mengadakan program konvoi itu tiga kali setahun, manakala pihak pengurusan masjid menekankan setiap kali konvoi akan ada infak atau sumbangan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan bantuan. 

Menurutnya, kesediaan pengurusan masjid berikutan konvoi yang diadakan itu akan menumpukan penyaluran sumbangan kepada mereka di tempat yang disinggahi seperti rumah anak yatim, keluarga asnaf, miskin serta pusat jagaan warga emas terutama yang beroperasi atas bantuan dan infak orang ramai.


Peserta konvoi bermotosikal berkumpul di pekarangan masjid untuk mendengar taklimat sebelum bertolak.


“Paling penting yang menepati sasaran apabila diadakan konvoi itu berjaya menarik ramai kariah untuk hadir solat berjemaah di masjid khusus dalam kalangan golongan anak muda yang merupakan satu kegiatan dakwah disusun oleh biro pemuda.

“Insya-Allah selagi berkhidmat, saya akan membawa konvoi bermotosikal ini meneroka lebih banyak rumah anak yatim,  pusat jagaan dan sebagainya yang kurang mendapat bantuan dari kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan,” katanya ketika bersama-sama 41 peserta menaiki motorsikal manakala 10 lagi menaiki tiga kereta berkonvoi mengunjungi Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor, pada 21 Julai 2024.

Turut hadir menyambut kedatangan konvoi bermotosikal ialah Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengurusnya, Kairul Anuar Ahmad dan 20 warga emas yang berlindung di pusat jagaan berkenaan.  


Peserta konvoi beramah mesra dan melayani warga emas menjamah hidangan jamuan.


Di samping menghulurkan sumbangan, konvoi itu turut mengagihkan cenderamata dan beramah mesra dengan warga emas di situ.

Mohd Zahed berkata, selepas mengunjungi PJNH konvoi itu akan meneruskan perjalanan ke beberapa destinasi di Banting, Selangor yang membabit keseluruhan jarak 175 kilometer selepas bergerak seawal jam 8.15 pagi dari Masjid Al-Muhsinin.

Menurutnya, pada awal program konvoi berkenaan dianjurkan oleh mereka membawa bersama barangan untuk diinfaqkan, bagaimanapun selepas itu ditukarkan kepada sumbangan berbentuk wang ringgit kerana ia memudahkan pihak pengurusan selain senang dibawa. 

“Dengan cara ini juga menyenangkan pihak pengurusan rumah anak yatim atau pusat jagaan mengenalpastikan dahulu barangan keperluan asas yang amat mereka perlu di samping mengelak melakukan pembaziran,” ujarnya lagi.


Peserta konvoi bermotosikal Biro Pemuda Masjid Al-Muhsinin, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam bergambar bersama-sama petugas dan warga emas Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor.


Sementara itu, nazir masjid berkenaan, Mohd Azlan Mohd Yusof, berkata pihak masjid sudah berjaya mengadakan beberapa siri konvoi bermula pada 2021 selepas ada kelonggaran kepada perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika negara dilanda oleh wabak Covid-19.

Menurutnya, dengan slogan “Musafir, Ziarah & Ukhuwah” lokasi yang disasarkan adalah masjid yang viral, rumah anak yatim dan pusat jagaan warga emas bersesuaian objektif konvoi bermotosikal adalah untuk merapatkan jurang institusi masjid dengan ahli kariah serta mengadakan program mengikut pelbagai minat golongan sasar, contohnya konvoi bermotosikal adalah untuk mereka yang berminat dengan hobi pemotoran.


Mohd Azlan Mohd Yusof menyerahkan sumbangan kepada Mohiadin (kanan).


Tambah beliau, program itu juga memberi kesedaran kepada ahli-ahli mengenai pentingnya tanggungjawab sosial bukan sahaja tertumpu kepada ahli keluarga dan kariah sahaja malah perlu diluaskan ke luar kawasan kariah.

Jelasnya, diharapkan peserta konvoi bermotosikal itu dapat menanamkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain terutama kepada golongan yang lebih tua dan kurang bernasib baik, di samping peserta pula mendapat banyak ilmu yang diceritakan sendiri oleh penghuni mengenai kisah pengalaman pahit dan manis mereka kerana boleh dijadikan sebagai panduan dan iktibar untuk menjalani kehidupan seharian.

“Daripada maklum balas yang positif diterima daripada peserta program ini, saya berpendapat konvoi itu mencapai matlamat disasarkan manakala untuk siri akan datang kami bercadang ke Cameron Highlands dan sedang mengenali pasti tempat persinggahan seperti rumah anak yatim dan sebagainya,” katanya Mohd Azlan lagi. - KitaReporters


Pegawai Agama PJNH, Ustaz Khairul Erwan Mohamed (kiri) dan warga emas, Adam Wong (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama muslimah Masjid Al-Muhsinin yang menaiki kereta mengiringi peserta konvoi.

17
14
0
9
0
You will be interested