.
SELEPAS 55 tahun presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak meninggal, isterinya, Toh Puan Noor Aishah Mohammad Salim, 91, menyahut seruan Ilahi kembali ke alam abadi pada Selasa 22 April 2025.
Bekas
wanita pertama Singapura itu meninggal pada pukul 4.28 pagi di Hospital Besar
Singapura di mana Allahyarham dirawat sejak 6 Mac 2025 lalu kerana masalah paru-paru
berair dan jangkitan. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Negara Kranji.
Tanah perkuburan ini dikhas untuk individu yang berjasa kepada Singapura. Yusof Ishak individu pertama dikebumi di situ pada 1970, diikuti presiden kedua, Benjamin Sheares yang meninggal pada 1981. Noor Aishah ialah yang ketiga, dikebumikan di sebelah makam suaminya.

Yusof Ishak, mantan Yang Di-Pertuan Negara dan presiden pertama Republik Singapura meninggal pada 1970, dikebumikan di Tanah Perkuburan Negara Kranji, Singapura.

Toh Puan Noor Aishah, isteri mantan presiden Yusof Ishak meninggal di Hospital Besar Singapura pada 22 April kerana masalah paru-paru berair.

Makam Yusof Ishak di Tanah Perkuburan Negara di Kranji, Singapura.
Yusof Ishak, wartawan dan pengasas Utusan Melayu, berkhidmat selaku Yang Di-Pertuan Negara Singapura kedua menggantikan Sir William Goode pada 1959, dan ketika Singapura berada dalam Malaysia dari 1963 hingga 1965.
Apabila
Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 dan menjadi republik, Yusof
dilantik presiden pertama Singapura. Allahyarham memegang jawatan untuk tiga
penggal hingga meninggal pada 23 November 1970 kerana masalah jantung.
Allahyarham
berkahwin dengan Noor Aishah pada 20 November 1949. Ketika itu Yusof berusia 39
tahun dan Noor Aishah, 16 tahun. Pasangan ini dikurniakan tiga orang anak, Dr. Imran,
Orchid Kamariah dan Zuriana.
Ketika Yusof mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Negara pada 1959, Allahyarham berusia 49 tahun sementara Noor Aishah 26 tahun.

Yusof Ishak berkahwin dengan Noor Aishah pada November 1949 ketika usia 39 tahun sementara Noor Aishah, 16 tahun.
Yusof dan Noor Aishah dekat di hati rakyat Malaysia kerana mereka asalnya adalah rakyat negara ini. Yusof lahir pada 12 Ogos 1910 di Trong, Taiping, Perak. Adiknya, Aziz Ishak, pernah jadi menteri dalam kabinet Tunku Abdul Rahman.
Noor Aishah
yang dilahirkan di Selangor pada 21 Mei 1933, ialah anak angkat Mohammad Salim Jusoh dan
Fatimah Ali. Allahyarham membesar di sebuah kampung di Pulau Pinang dan hanya
sempat menamatkan pelajaran rendah untuk dua tahun akibat pecah Perang Dunia Kedua.
Allahyarham
Noor Aishah ialah individu penting dalam kehidupan Yusof khasnya dan Singapura
amnya. Allahyarham sentiasa setia di sisi Yusof, tulang belakang
Allahyarham menjalankan tugas selaku ketua negara dan ketua rumah tangga.
Ditinggalkan suami pada usia muda 37 tahun, Noor Aishah jadi pengganti sebagai ibu dan ayah membesarkan anak-anak.

Gambar fail keluarga, Yusof Ishak dan Noor Aishah bersama tiga orang anak mereka.

Noor Aishah bersama tiga anaknya, dari kiri Dr. Imran, Orchid Kamariah dan Zuriana.
Dalam catatan takziahnya, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, meluahkan rasa sedih dan dukacita serta menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang penuh kelembutan, kekuatan dan sentiasa tenang. Allahyarham sentiasa berada di sisi Yusof memberi sokongan teguh, terutama ketika waktu mencabar.
Menurut Wong, di luar istana, Allahyarham Noor Aishah aktif mengabdikan diri dalam khidmat masyarakat. Antaranya melalui pertubuhan seperti Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Islam Singapura.

Lawrence Wong menyampaikan ucapan takziah kepada Dr. Imran, anak Allahyarham Noor Aishah di Masjid Ba'alwie, Singapura.

Jenazah Allahyarham Noor Aishah disembahyangkan di Masjid Ba'alwie selepas solat zuhur, dipimpin oleh pengerusi masjid, Imam Habib Hassan.
Pedati meriam yang membawa jenazah Noor Aishah tiba di Tanah Perkuburan Kranji pada pukul 2.30 petang 22 April 2025. Allahyarham selamat disemadikan pukul 3 petang. Lebih 100 anggota keluarga dan kenalan rapat hadir memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan.
Turut hadir Mufti Negara, Dr Naziruddin Mohd Nasir dan Menteri Ehwal Masyarakat Islam, Dr Mohamad Maliki Osman.

Jenazah Allahyarham Noor Aishah diusung oleh anggota pasukan kawalan untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Negara Kranji pada 22 April pukul 3 petang.
Kebaikan dan sumbangan Allahyarham Noor Aishah menyentuh kehidupan ramai orang. Rakyat Malaysia juga tumpang bangga.
Legasi baik yang ditinggalkan diharap menjadi inspirasi kepada semua. ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.’
Semoga Allah mencucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham. - KitaReporters