Insan & Komuniti 19 Mar, 2025

PEKAP ceburi bidang perniagaan! Cari dana terus bantu 4k anak Pahang di ibu kota! Fokus kebajikan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

Sebahagian anak-anak Pahang di ibu kota yang hadir di Majlis Iftar Ramadan PEKAP 2025 di The Gabion Garden Hall, Kuala Lumpur.


Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (PEKAP) yang ditubuhkan pada 27 September 1966 berusaha mencari dana bagi membantu dan menjaga kebajikan lebih ramai anak Pahang yang merantau di ibu kota.

Justeru, PEKAP akan meminda perlembagaan dalam tempoh terdekat membabitkan beberapa perkara, contohnya sebelum ini persatuan tidak boleh berniaga, tapi untuk menjalankan aktiviti bagi mencari dana membantu ahli-ahli, PEKAP akan dibenarkan menceburi bidang perniagaan.


Mohd Soffi Abdul Razak (tiga dari kiri), Azman Shah Abdullah (dua dari kiri), Abdul Razak Idris (dua dari kanan), Herman Awang (kanan) dan Mustafa Kamal Abdul Aziz (kiri) ketika sidang media selepas Majlis Iftar Ramadan PEKAP 2025.


"Alhamdulillah dari sebuah persatuan yang kecil, PEKAP kini berkembang menjadi sebuah organisasi yang berperanan besar dengan kira-kira 4,000 ahli. Untuk matlamat masa depan, persatuan akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan ahli dan perpaduan

"Sejak 59 tahun penubuhan PEKAP, persatuan ini menjadi nadi anak-anak Pahang di perantauan dengan visi utama menjaga kebajikan dan memperkukuhkan hubungan silaturahim antara anak-anak Pahang di ibu kota," kata Yang Dipertua Pekap, Datuk Azman Shah Abdullah pada Majlis Iftar Ramadan PEKAP 2025 di The Gabion Garden Hall, Kuala Lumpur.

Majlis tahunan itu turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak yang mewakili Menteri Besar Pahang; serta Timbalan Yang Dipertua, Datuk Abdul Razak Idris; dan Naib Yang Dipertua, Herman Awang.


Mohd Soffi Abdul Razak (tengah), Azman Shah Abdullah dan Abdul Razak Idris menyampaikan sumbangan duit raya bagi meraikan mereka yang tidak berkemampuan di Majlis Iftar Ramadan PEKAP 2025.


Kebajikan ahli terutama yang menetap di ibu kota antara fokus utama PEKAP bagi membantu mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.


Beliau berkata, sepanjang tempoh sejak 1966, PEKAP melalui pelbagai cabaran dan evolusi, menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, tetapi tetap teguh berpegang pada matlamat asalnya iaitu membantu, menyatukan, dan memperkasakan masyarakat Pahang di perantauan. 

“PEKAP bukan sekadar sebuah persatuan biasa, tetapi platform penting dalam menyatukan masyarakat Pahang yang tinggal jauh dari kampung halaman, memastikan kebajikan mereka terpelihara serta memberikan bantuan dalam pelbagai aspek kehidupan.

"Antara inisiatif dijalankan oleh PEKAP termasuk bantuan khairat kematian RM2,000 bagi ahli seumur hidup serta sokongan kewangan untuk rawatan penyakit kronik, kemasukan ke hospital, dan bantuan kepada mereka yang pertama kali menunaikan haji.

"PEKAP turut memberi anugerah kepada pelajar cemerlang sebagai dorongan kepada generasi muda agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya," kata Azman Shah lagi. 


Majlis berbuka puasa memberi peluang ahli PEKAP berjumpa dan mengeratkan hubungan sesama anak Pahang di ibu kota.


Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan dan Multimedia PEKAP, Mustafa Kamal Abdul Aziz berkata, persatuan itu juga giat menganjurkan acara seperti majlis berbuka puasa, sambutan hari raya dan anugerah pelajar cemerlang bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan ahlinya serta mengekalkan warisan budaya negeri Pahang. - KitaReporters


15
16
0
12
0
You will be interested