Gambar hiasan... bangunan syarikat JTEKT.
BERTEPATAN dengan minda Kaizen yakni untuk membawa perubahan kepada yang lebih baik, Kumpulan JTEKT, yang mempunyai pasaran global terbesar alat ganti automotif, tidak lupa, malah peka kepada kerja amal kebajikan membela mereka yang kurang bernasib baik.
JTEKT turut merumuskan ‘prinsip asas JTEKT’ dengan idea untuk terus menjadi syarikat yang menyelesaikan isu sosial melalui aktiviti perniagaan serta menyumbang untuk bumi dan dunia, sekali gus mendorong penganjuran program Ziarah Kasih, Santuni Warga Emas diadakan.
Serentak itu, 35 kakitangan JTEKT Automotive (Malaysia) Sdn Bhd dengan diketuai Eksekutif Jabatan Sumber Manusia, Nur Shamsuriati Salleh mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 26 Oktober 2024.
Kakitangan wanita syarikat JTEKT membimbing senamrobik bersama-sama warga emas.
Beliau berkata, menerusi program itu diadakan aktiviti senamrobik bersama warga emas, karaoke, ramah mesra serta jamuan bagi memupuk hubungan rapat dengan penghuni apabila turut menghiburkan serta menggembirakan hati mereka.
Menurutnya, cara itu juga menyemaikan budaya sihat kepada kakitangan syarikat untuk
menghormati masyarakat sekeliling terutama dalam kalangan warga emas yang
memerlukan kasih sayang dan perhatian terutama mereka yang disisihkan oleh ahli keluarga.
Tambahnya, program itu secara tidak langsung mampu mendidik kakitangan untuk menjadi warganegara yang baik serta bertanggungjawab dengan melakukan perkara betul malah boleh dijadikan contoh untuk diikuti pihak lain demi kesejahteraan hidup bermasyarakat.
“Pada program ini syarikat turut menghulurkan sumbangan dana, barangan keperluan asas serta cenderamata kepada setiap warga emas yang disantuni selain hadiah hamper kepada yang menyertai karaoke,” ujar Nur Shamsuriati.
Mohd Feizol Huzairi Abdul Hadi berucap pada majlis perasmian program berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Besar JTEKT, Mohd Feizol Huzairi Abd Hadi menyifatkan program berkenaan mencapai matlamat syarikat apabila kakitangan lebih terdorong untuk menghormati orang yang berumur di samping menimbulkan keinsafan dalam diri.
Beliau
berkata, program itu juga diharapkan dapat membuka mata orang luar mengenai ada
dalam kalangan masyarakat yang memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan
kelangsungan hidup dalam keadaan uzur serta menghidap pelbagai penyakit.
Tambahnya, dia berharap program berkenaan dapat diteruskan oleh syarikat terutama dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk berkongsi keuntungan dengan melakukan kerja amal kebajikan serta menghilangkan keresahan dan kemurungan mereka yang ditimpa oleh musibah.
“Saya amat berbesar hati apabila pihak pengurusan PJMM menerima kehadiran kakitangan syarikat dengan hati penuh terbuka dan bekerjasama bagi memastikan program ini berjalan lancar terutama supaya warga emas mendapat manfaat kegembiraan,” katanya.
Wakil syarikat JTEKT Automotive (Malaysia) Sdn Bhd, Takeji Takeuchi menyampaikan cenderamata kepada seorang warga emas.
Berucap pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman, pula berkata pusat jagaan berkenaan sentiasa bersikap terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk agensi swasta, kerajaan, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya untuk mengadakan program amal kebajikan di situ.
Terangnya, PJMM amat bergantung kepada sumbangan atau infak dana dari luar bagi menampung kos operasi kerana pusat itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni selain tidak menerima peruntukan atau bantuan kewangan khusus setiap bulan.
“Setiap hari kami terpaksa menghantar surat, menghubungi pihak berkenaan dan keluar bertemu dermawan merayu supaya dapat menghulurkan sumbangan kepada PJMM yang semata-mata untuk membela nasib warga emas,” ujarnya.
Wakil Syarikat JTEKT Automotive (Malaysia) Sdn Bhd, Keiji Katagiri dan Mohd Feizol Huzairi (kanan) menyerahkan sumbangan kepada PJMM yang diterima oleh Azman.
Kepada orang ramai atau pelbagai pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai PJMM atau menyumbangkan bantuan dana kewangan seperti wang zakat dan sebagainya, boleh menghubungi Azman menerusi nombor telefon 019-977 7419, Muhammad Syafiq (017-378 6804) dan Sazali Mohiden (019-368 8142). - KitaReporters
Azman Rasman dan Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama kakitangan syarikat JTEKT pada Program Ziarah Kasih, Santuni Warga Emas.