Di tengah-tengah dunia yang bergolak dengan cabaran teknologi, krisis kemanusiaan dan keruntuhan nilai sejagat, golongan akademia tampil sebagai tiang seri peradaban.

Tugas mereka bukan semata-mata menggali dan menyampaikan ilmu, tetapi menjana ilmu yang membawa rahmat kepada sekalian alam.
Golongan akademia jarang diraikan berbanding bidang-bidang lain seperti sukan dan ekonomi, sedangkan mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan negara serta pembentukan sesebuah tamadun.
Sejarah membuktikan bahawa ilmu merupakan tiang seri kepada kemajuan sesuatu bangsa dan negara.
Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu dan nilai ibarat dua saudara kembar. Tapi, ilmu tanpa sifat ihsan, yakni belas kasih, amanah dan keadilan, ia akan menghasilkan kepincangan dalam masyarakat dan kerosakan di bumi.
Justeru, peranan akademia amat besar, bukan sebagai pengembang wacana, tetapi pendidik hati dan pembina tamadun.

Hadirin mendengar penuh khusyuk ucapan perasmian Badlishah Sham Baharin.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, sifat ihsan kepada alam sekitar contohnya menuntut agar ilmuwan dan institusi akademik mendidik masyarakat memelihara bumi.
"Pembangunan tidak harus mengorbankan keseimbangan ekosistem. Ilmu sains dan teknologi, misalnya, mestilah digarap dengan nilai kelestarian, supaya tidak menjadi alat penjajahan moden terhadap alam semula jadi.
"Air, udara, tanah dan segala kehidupan adalah amanah yang harus dijaga, bukan dieksploitasi secara rakus," katanya dalam ucaptama bertajuk Menjana Ilmu, Menyebar Rahmah: Peranan Akademia sempena Konvensyen Ikram Academia 2025 di Universiti Putra Malaysia pada 11 Oktober 2025.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM Malaysia), Badlishah Sham Baharin; Pengerusi IKRAM Academia, Prof Dr Ahmad Hariza Hashim; dan Timbalannya merangkap Pengarah Program Konvensyen Ikram Academia 2025, Prof Dr Azman Hassan.

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil.
Beliau berkata, ihsan kepada haiwan juga penting tapi sering dilupakan. Maka, akademia wajar memperjuang dasar yang menjaga kebajikan haiwan dalam sektor pertanian, penyelidikan, dan perundangan, serta menanamkan kesedaran ini dalam kalangan pelajar.
"Ihsan kepada manusia pula terutama kepada golongan yang terpinggir, ahli akademik usah hanya mendidik golongan elit, tetapi perlu memastikan ilmu sampai kepada setiap lapisan masyarakat.
"Dalam suasana politik dan ideologi yang sering bersifat memecahbelahkan, akademia mesti teguh sebagai suara perpaduan dan pendamai.
"Tiada makna ilmu jika ia hanya memperkukuh jurang antara si kaya dan si miskin, si berkuasa dan yang ditindas.
"Salah satu nilai utama dalam penyebaran ilmu ialah tolong-menolong, tanpa mengira fahaman agama, bangsa atau ideologi. Ia tidak seharusnya menjadi medan pertarungan dogma, tetapi tempat suburnya semangat kolaborasi dan kemanusiaan sejagat," katanya.

Peserta Konvensyen Ikram Academia 2025 bergambar kenangan bersama Ustaz Ahmad Fauwaz dan Badlishah.
Ahmad Fauwaz juga berkata, ilmu yang berkat tidak lahir daripada keangkuhan atau kecaman terhadap pihak lain tapi tumbuh daripada sifat rendah hati dan pengiktirafan terhadap hikmah yang mungkin datang daripada sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang.
"Ilmu dunia dan ilmu akhirat bukan dua kutub yang bertentangan malah dalam falsafah pendidikan Islam, kedua-duanya saling menguatkan.
"Kejayaan akademik seharusnya membawa kepada keinsafan, bukan kesombongan. Maka, pendidikan harus menyatupadukan elemen intelektual dan spiritual agar lahirlah insan yang bijak, beradab dan bertanggungjawab kepada Tuhan dan manusia," katanya.
Dalam zaman penuh perpecahan, beliau terkilan kerana wujud kecenderungan pihak tertentu melabel, menghukum dan mengkafirkan orang lain hanya kerana perbezaan pandangan.
Ini, katanya, amat bertentangan dengan etika keilmuan dan prinsip rahmah dalam Islam.

Dalam suasana politik dan ideologi yang bersifat memecahbelahkan, akademia mesti teguh sebagai suara perpaduan.
"Ilmuwan harus menjadi barisan hadapan dalam membanteras budaya ini. Mereka harus mengajar masyarakat bahawa kebenaran tidak perlu ditegakkan dengan kebencian dan perbezaan tidak harus menjadikan kita musuh.
"Tugas akademia bukan untuk menghukum tetapi menerang dan memimpin dengan hikmah.
"Bagi saya, peranan akademia bukan semata-mata mencipta inovasi atau mengisi jurnal ilmiah tapi menjadi cahaya rahmah yang menerangi dunia, membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berperikemanusiaan.
"Semoga institusi akademik menjadi taman subur tempat tumbuhnya ilmu yang mengangkat martabat manusia di dunia dan menjadi bekalan untuk kehidupan abadi di akhirat.
"Ayuh kita memartabatkan ilmu sebagai cahaya yang menyinari dunia, bukan membakarnya," katanya.

Badlishah Sham Baharin.
Sementara itu, Badlishah Sham berkata, IKRAM mempunyai lebih 1,000 ahli dalam IKRAM Academia yang memiliki kelayakan PhD, dan ia perlu menggunakan sepenuhnya kepakaran itu untuk manfaat masyarakat dan negara.
Belliau berkata, sebagai golongan akademia, ahli akademik perlu menyuarakan pandangan secara bebas serta memberi perhatian kepada isu-isu semasa yang membabitkan masyarakat, justeru mereka mesti berani dalam membangkitkan kebenaran.
"Kita perlu terus membina masyarakat yang mempunyai minda yang terbuka dan bebas daripada kepompong pemikiran tertawan.
"Alhamdulillah, IKRAM Malaysia memiliki aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) yang memberi penyelesaian kepada masalah dihadapi masyarakat dan negara.
"IKRAM juga ada melakukan kajian rintis mengenai kemiskinan bandar pada 2024 yang memberi fokus kepada lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor. Dan, kita sudah membentangkan kepada kerajaan supaya beberapa idea daripada kajian itu dimanfaatkan," katanya.

Inilah barisan tulang belakang di sebalik penganjuran Konvensyen Ikram Academia 2025.
Mengenai gejala buli yang berleluasa, beliau mahu IKRAM melakukan kajian menyeluruh dan menyediakan solusi kepada sistem pendidikan negara kerana kaedah pendidikan yang digunakan di 62 sekolah milik pertubuhan itu adalah yang terbaik tanpa buli.
"Saya juga mahu IKRAM mengambil serius mengenai gencatan senjata di Gaza dengan memberi idea bagaimana kawasan itu perlu dibangunkan kerana jika orang Islam tidak bertindak cepat, pihak lain akan mengambil kesempatan.
"Rakyat Palestin adalah insan terpilih, saya pernah ke Gaza pada 2013 dan melihat sendiri kekuatan dan keyakinan mereka kepada Allah, mereka lebih rela syahid di bumi sendiri daripada berpindah ke tempat lain.
"Inilah masyarakat yang sepatutnya IKRAM bantu. Sekurang-kurangnya kita ada jawapan apabila bertemu Allah di akhirat nanti," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Forum Akademia bertajuk, "Daya Unggul Wanita: Kecemerlangan Akademik Tanpa Sempadan" membariskan cendekiawan antaranya Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, Prof Dr Norita Md Norwawi dan Prof Dr Zurina Zainal Abidin. Moderator ialah Prof Madya Dr Siti Noorkhairina Sowtali. - KitaReporters