Insan & Komuniti 27 Jul, 2025

Video| Pencarian Ratu Malaysia Kebaya diteruskan! Sempena Hari Kebaya Nasional pada 17 Ogos 2025!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai Stringer Berita Harian, Wartawan Berita Harian, Penyunting Harian Metro, Group Editor Majalah IBUBAPA. Emel: kartini.mdnoor63@gmail.com

Share this

.


Sebahagian peserta kebaya yang menyerikan majlis.


SELEPAS kebaya diiktiraf sebagai Khazanah Warisan Budaya Negara pada 2024 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), misi diteruskan lagi dengan jelajah mencari duta menjadi Miss Malaysia Kebaya (Ratu Malaysia Kebaya atau MMK) secara lokal pula sempena menceriakan Hari Kebaya Nasional pada 17 Ogos 2025 dan Hari Merdeka pada hujung  Ogos itu.

Tahun lalu (2024), Unesco bersetuju menjadikan Kebaya sebagai Warisan Budaya Negara yang promosinya diusaha sama oleh negara di Asia Tenggara dan Malaysia yang bersungguh-sungguh mahukan pengiktirafan itu muncul dengan mengadakan Festival Kebaya Dunia dan menganjurkan acara Miss World Kebaya (Ratu Dunia Kebaya atau MWK) 2024 sehingga mencapai anugerah daripada badan dunia itu.

Negara lain mengambil bahagian ialah Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.


Dr Jason Hee menandatangani Mou dengan Tan Sri Dr M Kayveas menaja bersama Miss Malaysia Kebaya 2025.


"Penting untuk  Malaysia mendapat "hak cipta" @ pengiktirafan ini kerana kebaya bukan sekadar fesyen. Ia adalah identiti negara, kebanggaan Malaysia dan simbol kekuatan dan kejelitaan wanita. 

"Dengan bantuan Kementerian Pelancongan dan badan pelancongan negeri kita meraikan kekayaan diversiti budaya negara di samping membuka pintu dunia kepada bakat baharu sebagai model yang dalam memperagakan koleksi kebaya."

Demikian kata pengasas Miss Malaysia Kebaya (MMK) dan Presiden Persatuan Fesyen, Peragaan dan Peraduan Ratu Malaysia (MFMPA), Dr Jason Hee yang sangat gembira dapat melancarkan Miss Malaysia Kebaya (MMK) tahun ini (2025). 

Dia berucap pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) penajaan kali ini yang membabitkan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, yayasan dan universiti.


Terima kasih... Mazreena Mohd Yusuf mewakili kerajaan yang menjadi pendukung utama Miss Kebaya Malaysia. 


Pendukung utama ialah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan turut terlibat ialah Malaysia Tourism, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kraftangan Negara, Jabatan Warisan Negara dan Bahagian Pendidikan Vokasional Kementerian Pendidikan. 

Tahun lalu (2024) juga MFMPA menganjurkan Miss World Kebaya (Ratu Dunia Kebaya atau MWK) sempena Festival Kebaya Sedunia (World Kebaya Festival atau WKF) 2024 yang disertai oleh calon-calon yang sebahagian besarnya pelajar dari pelosok dunia yang sedang belajar di menara gading negara ini.

Juara tahun lalu (2024) dimenangi pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran doktor falsafah, juga usahawan dari China, Ariel Peiyu Yao yang kini menjelajah merata dunia sambil bekerja dia memperagakan kebaya bagi mempromosi negara.

Tahun ini (2025) pencariannya untuk wanita tempatan saja. Ratu Kebaya itu bukan saja diberikan kepada wanita muda malah merangkumi kanak-kanak, remaja malah ibu-ibu. 

Sebelum ini, dua destinasi acara pencarian ratu itu sudah pun dibuat bermula pada 11 hingga 13 Mac di AEON Mall, Seremban diikuti lokasi kedua, di Pavillion Damansara Height pada 19 April 2025. Jelajah itu disokong sepenuhnya oleh Badan Pelancongan Negeri Sembilan dan Melaka. 


Dr Jason tetap teruskan promosi kebaya walaupun tajaan dana agak terhad dan memohon semua pihak dapat membantu meletakkan nama Malaysia sebagai culture hub @ hab budaya terkemuka dunia.


Selepas MoU itu dan pelancaran rasmi Miss Malaysia Kebaya pada 22 Julai 2025, acara jelajah itu akan diteruskan di Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Perak. 

Turut menjadi penganjur bersama ialah Malaysia Fashion, Modelling & Pageant Association dan Persatuan Perniagaan Rangkaian E-Dagang Malaysia (PPRED) yang juga sebahagian daripada MFMPA Industry Award. Tidak ketinggalan juga disokong oleh UNITAR International University, UCSI Universiti dan Malaysian Institute of Art (MIA).

Kata Dr Jason, MFMPA manu menerpa nama dengan menjadikan Malaysia sebagai Culture Hub @ Hab Budaya terutama kebaya yang dimiliki semua kaum di negara ini. 

Kebaya peranakan, kebaya nyonya dan ketika hubungan diplomatik China-Melaka pada abad ke-15 tanah besar itu sudah mengiktaraf pakaian itu lambang rasmi negara negara ini.


Saya kagum dengan Dr Jason yang tidak lelah untuk mempromosikan kebaya kerana pakaian ini sudah turun temurun warisan wanita Malaysia sejak zaman berzaman.



Sementara itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Tan Sri Dr M Kayveas yang mewakili yayasan miliknya, kagum dengan Dr Jason yang sangat peduli untuk mempromosikan pakaian kebaya yang kini jarang digayakan oleh orang ramai terutama remaja dan wanita bekerja. 

Mengenang masa lalu, katanya, kebaya adalah sebahagian koleksi yang digayakan oleh wanita di pusat hiburan seperti seri panggung yang bekerja di pentas ronggeng, kabaret, pertunjukkan budaya, joget Melayu yang memperlihat betapa comelnya saiz badan macam biola ketika kemeriahan hiburan di BB Park, Bukit Bintang.

BB Park Jalan Bukit Bintang diwujudkan oleh sekumpulan usahawan Cina termasuk oleh seorang kontraktor Low Yow Chuan yang membina  Capitol Hotel in 1948, kemudian pada 1947 pemilik yang juga mogul media, Shaw membina Taman Tema Hiburan Bukit Bintang yang sekarang dikenali sebagai Sungai Wang Plaza.

Ia terkenal sebagai pusat hiburan bukan saja kabaret tetapi juga pertunjukan kebudayaan, joget Melayu, Opera Cina, panggung wayang dan kawasan lepak untuk makan minum. Pada tahun 1980-an, Yeoh Tiong Lay, pemilik YTL Corporation, menamakan kawasan itu sebagai Bukit Bintang Walk.

"Teringat lagi waktu itu, kita kena bayar 30 sen untuk menari dengan penari joget yang sangat cantik berkebaya. Sekarang ramai warga kita terlupa pasal kebaya ini yang sebenarnya warisan negara yang unik. 

"Pakaian kebaya ini tidak hilang ditelan masa. Usaha mengadakan acara kebaya ini sangat menarik minat kami di yayasan untuk terus menyokong promosinya kerana ia juga adalah sebahagian nostalgia muda kami," katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Bahagian Domestik dan Event Pelancongan Malaysia, Mazreena Mohd Yusuf dan peserta pertandingan serta tetamu yang mewakli pertubuhan dan berkaitan acara berkenaan. - KitaReporters


17
12
0
15
0
You will be interested