Insan & Komuniti 20 Dec, 2025

Buah Fikiran| Kepantasan berfikir pengembala selamatkan kampung! Daripada bencana banjir kilat!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh STEPHANE CORBEIL

Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC)


Apabila hujan lebat mencetuskan banjir dahsyat di seluruh Pakistan pada pertengahan Ogos 2025 lalu, seluruh komuniti terjejas teruk. Hampir 230,000 rumah rosak, 790 jambatan runtuh, dan lebih 2,800 kilometer jalan raya terputus. 


Tanah yang kini rosak akibat banjir, yang sebelum ini merupakan ladang aprikot. 


Sumber pendapatan lenyap dalam sekelip mata apabila ladang dan ternakan hilang dihanyutkan arus deras.

Namun, di Hurchus - sebuah kampung kecil dan terpencil di Lembah Shigar, utara Pakistan - bencana berjaya dihindari hasil kepantasan dan keberanian seorang lelaki.


Abuzar Hussain (kiri)


Perlumbaan melawan masa

Abuzar Hussain, kini berusia pertengahan 30-an, telah menghabiskan hidupnya menggembala biri-biri dan kambing di pergunungan Shigar. 

Keluarganya bergantung pada pendapatan daripada tanah pertanian, dusun aprikot dan ternakan mereka.

Sekitar tengah hari pada hari itu, Abuzar berdiri di lereng atas kampung bersama biri-biri dan kambingnya, dikelilingi oleh keheningan gunung-ganang. 

Sebanyak empat kali dia melihat aliran air kecil mengalir turun - tiada yang luar biasa, tiada yang perlu dibimbangkan. 

Tetapi pada pukul enam petang, ketenangan itu pecah. Satu deruman yang dalam dan kuat bergema di seluruh lembah. 

“Saya mendaki satu bukit kecil dan nampak banjir kilat - air bah besar menghempas ke arah kampung di bawah,” dia mengimbas kembali. 

“Saya bertanya kepada diri sendiri: ‘Bagaimana saya dapat melindungi keluarga saya dan penduduk kampung?’”

Rumah Abuzar sendiri terletak di laluan air deras tersebut, dan keluarganya yang terdiri daripada sepuluh orang hanya mempunyai beberapa minit untuk menyelamatkan diri, bersama kira-kira 1,000 penduduk kampung yang lain.


Rumah Abuzar Hussain


Tanpa sebarang isyarat telefon, Abuzar mendaki lebih tinggi ke atas gunung, terdesak mencari rangkaian. Lembah itu sunyi kecuali deruan air deras dari kejauhan. 

Hari sudah petang, Ketika kebanyakan penduduk kampung berada di rumah, tiada sesiapa pun kelihatan. 

Sambil memegang telefonnya, Abuzar terus berusaha, dan berdoa, untuk mendapatkan isyarat telefon.

Akhirnya, telefon itu mendapat isyarat dan panggilan berjaya disambungkan. 

Dengan segera, pembesar suara masjid membunyikan amaran ke seluruh kampung: “Banjir kilat akan datang -- segera lari ke tempat yang lebih tinggi!”

Penduduk kampung berebut-rebut untuk menyelamatkan diri. Beberapa buah rumah musnah, dusun aprikot dihanyutkan air, dan tanah ladang tertimbus di bawah batu serta lumpur. 

Namun, tiada nyawa terkorban pada hari itu di Hurchus. Bukan kali ini.


Masjid kecil dengan pembesar suara di atas bumbung. Di belakang, di kejauhan, puncak gunung yang dilitupi salji itulah tempat di mana banjir kilat bermula.


Kehidupan terancam

Bagi penduduk kampung, banjir bukanlah sesuatu yang asing. Mereka pernah mengalami kesannya pada tahun 2020, 2024 dan kali ini, 2025. 

Sesetengah penduduk kampung bimbang bahawa, jika banjir sekali lagi melanda pada tahun 2026, mungkin seluruh kampung akan termusnah.

Sebelum banjir, sumber air semula jadi mengalir melalui sebuah terusan berhampiran gunung, di atas kampung. 

"Air dahulunya disalur ke kampung melalui paip,” kata Mehdi Hassan, ketua komuniti. 

“Tahun ini, banjir menghanyutkan kesemua paip berserta tangki." Kini, sungai itu dipenuhi lumpur dan batu.

Jika paip dan tangki dibaiki, bekalan air bersih dapat dipulihkan. Tetapi musim sejuk semakin hampir, dan penurunan suhu menyukarkan pembaikan. 

“Ramai kanak-kanak sudah menunjukkan gejala demam,” tambah Mehdi, suaranya sarat dengan kebimbangan.

Kebimbangan penduduk kampung semakin meningkat. Pertanian, sumber kehidupan Hurchus, sentiasa terancam. 

Kini, mereka mengharapkan bantuan daripada organisasi kemanusiaan.


Penduduk kampung Hurchus bersama sukarelawan Bulan Sabit Merah, Aqueela Zehra, semasa Penilaian Keperluan Terperinci


Respons yang lebih luas

Di seluruh Pakistan, amaran awal dan tindakan pantas telah menyelamatkan beribu-ribu orang. 

Lebih 85,000 orang menerima mesej amaran awal, dan 26,000 orang dipindahkan dengan selamat dari kawasan berisiko tinggi hasil usaha sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Pakistan dan pihak berkuasa tempatan.

“Apabila banjir melanda, sukarelawan Bulan Sabit Merah antara yang pertama turun ke lapangan,” kata Manzoor Ali, Pengurus Program Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Islamabad. 

Dengan sokongan IFRC, Bulan Sabit Merah Pakistan menggerakkan sumber dengan pantas - merawat 12,800 pesakit, memberi perkhidmatan Air, Sanitasi dan Kebersihan (Water, Sanitation, and Hygiene atau WASH) kepada 36,000 orang, serta membekalkan makanan kepada hampir 200,000 orang. 

Apabila musim sejuk menjelang tiba, tumpuan usaha beralih kepada fasa pemulihan: kesihatan, WASH, bantuan tunai dan pemulihan mata pencarian.



Keberanian dan semangat komuniti mampu mengubah segalanya

Tindakan Abuzar bukan sekadar demi keluarganya, tetapi didorong oleh tanggungjawab besar terhadap komuniti. 

“Jika saya tak beri amaran, mungkin banyak nyawa hilang,” ujarnya perlahan-lahan. Dengan tangan terletak tenang di atas lutut, dia berkongsi pengalamannya melalui penterjemah.

Pemikiran pantas Abuzar Hussain mengubah ketakutan menjadi tindakan, memberi amaran kepada keluarga dan penduduk kampung tepat pada masanya. 

Walaupun beberapa ternakan dan banyak dusun telah musnah, keluarganya, dan seluruh kampung, terselamat. 

Perjuangan belum berakhir - dia masih takut akan banjir seterusnya - tetapi kisahnya membuktikan satu kebenaran: apabila bencana melanda, keberanian dan komuniti boleh menentukan perbezaan antara kelangsungan hidup dan kehilangan.


Stephane Corbeil ialah Pegawai Komunikasi Kecemasan, Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies, IFRC). Artikel ini adalah pandangan penulis.


11
10
0
10
0
You will be interested