Insan & Komuniti 06 Jan, 2026

Video| Kenduri makang gular! Penduduk gotong royong buat makan gulai! Pelihara hubungan ukhuwah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Selepas tiga generasi penduduk di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu masih terus mengekalkan kerja gotong-royong dilakukan sejak turun-temurun yang dipanggil kenduri makan gulai atau dialek tempatan ‘makang gular’ dan ia menyamai dengan ‘bekwoh’ yang selalu dituturkan oleh komuniti di Kelantan. 




Penduduk lelaki yang terbabit dalam tugasan memotong daging melakukannya dengan suasana permuafakatan.


Apa sekali pun disebut atau dituturkan ia membawa maksud sama iaitu merujuk kepada semangat kerjasama penduduk khususnya dalam melakukan tugas memasak untuk sesuatu majlis seperti perkahwinan, kesyukuran, akikah dan sebagainya.

Paling menarik perhatian sebagai dua negeri berjiran itu, penduduknya pula mempunyai pertalian persaudaraan sebutan makan gulai, bekwoh ataupun makan kenduri sering diguna pakai oleh mereka tanpa berasal janggal malah pendorong kepada wujudnya hubungan ukhuwah yang erat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) kampung berkenaan, Sudin Mamat, berkata penduduk kampung itu sememangnya terus bersepakat malah sentiasa memelihara hubungan baik hidup berjiran dalam satu kampung sejak sekian lama kerana itu tiada masalah mengekalkan kerja bergotong royong kenduri makan gulai.

Menurutnya, namun tidak dapat dinafikan juga antara penduduk kampung mempunyai fahaman atau pendapat berbeza dalam banyak hal termasuk dari segi pengaruh politik tetapi semua itu diketepikan apabila kekal bersemangat untuk menyempurnakan urusan kenduri makan gulai.


Kaum wanita tekun berkerjasama memotong sayur untuk dijadikan menu tambahan kenduri makan gulai.


Tambahnya, amalan turun-temurun itu merapatkan tali persaudaraan kami semua, malah sikap ambil tahu, bertanya khabar bukanlah suatu yang menjadi penyebab untuk bermasam muka, malah gotong-royong kenduri makan gulai mengibaratkan kesepakatan macam adik-beradik.

Menurutnya, seperti lazim yang dilakukan oleh generasi dulu, apabila tuan rumah yang akan mengadakan majlis kenduri makan gulai, kebiasaan dalam seminggu atau lima hari sebelumnya akan diadakan mesyuarat letak kerja iaitu untuk membahagikan tugas penduduk membabitkan kerja menyembelihan lembu, memotong daging dan tulang, memasang khemah, penyediaan rencah bahan gulai serta tugas memasak.

Jelasnya, semua penduduk sama ada lelaki atau wanita akan berganding bahu melaksanakan tugas itu dengan mematuhi arahan letak kerja yang ditentukan dalam mesyuarat berkenaan manakala kerja rewang dilakukan awal sehari sebelum majlis kenduri makan gulai berlangsung.


Sudin Mamat.


“Pada hari kenduri makan gulai bermula awal pagi kerja memotong daging, tulang, penyediaan rencah bahan gulai, menu sampingan dilakukan bersama penduduk lelaki dan wanita mengikut kemahiran masing-masing supaya kerja memasak dapat disiapkan sebelum waktu solat zuhur. 

“Pada masa ini suasana riuh-rendah dengan gelak tawa atau usik mengusik sudah menjadi lumrah antara penduduk yang menzahirkan keharmonian ukhuwah hubungan mereka dengan disaksikan oleh generasi muda supaya dapat memupuk semangat gotong-royong kenduri makan gulai diteruskan mereka,” ujarnya.  

Sudin mengisahkan sedemikian ketika ditemui pada majlis kenduri makan gulai penduduk kampung itu, Norhaizan Mahussin yang mengadakan majlis kesyukuran naik rumah baharu dua anaknya, Syazwan Syafiqri dan Nor A’fifi Abdul Razab di kampung itu pada 26 Disember 2025. 


Sebahagian lagi penduduk lelaki yang melakukan tugas memotong tulang lembu.


Penyediaan rencah lain seperti mengupas bawang dilakukan kaum wanita yang datang sejak awal pagi.


Sementara itu, Ketua kampung berkenaan, Dahari Jusoh, berkata kalau dahulu kerja kenduri makan gulai dilakukan bermula dengan mencari kayu api, umbut kelapa atau sawit, pisang, sayur-sayuran dan sebagai untuk memasak lauk pauk disumbangkan penduduk bagi membantu tuan rumah. 

Tambahnya, ada sesetengah penduduk pula mengambil cuti dan menangguh tugas lain demi membantu melancarkan kerja kenduri makan gulai itu kerana tugasan memasak air gula untuk dibuat minuman, mengupas bawang, memotong sayur dan sebagainya dilakukan ketika rewang sehari awal.

“Seperti pada majlis kenduri makan gulai ini tugasan itu dapat dilakukan dengan sempurna walaupun tidak seperti dahulu kerana peredaran masa namun kerja gotong-royong dan semangat kesepakatan penduduk kampung terus terpelihara,” katanya.


Norhaizan Mahussin


Norhaizan pula berkata, selepas menetap di kampung itu dengan membina rumah di atas tanah pusaka mentuanya sejak sembilan tahun lalu dia berasa kagum dengan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang dan setia kawan penduduk dalam banyak perkara termasuk melakukan gotong-royong majlis kenduri makan gulai. 

Menurut beliau seorang bekas guru besar, apabila dua anaknya ingin mengadakan majlis kesyukuran naik rumah baharu dia mencadangkan supaya kenduri makan gulai membabitkan solat hajat dan tahlil itu diadakan secara bergotong-royong sebagai menghidupkan kembali tradisi penduduk dahulu.

Tambahnya, selepas mendapat persetujuan daripada suaminya, perancangan terus dibuat seperti mengadakan mesyuarat letak kerja, menu yang hendak dimasak, pemasangan khemah, pemakluman jemputan, atur cara majlis berkenaan dan sebagainya yang mendapat sokongan daripada penduduk.

“Saya dan suami menjemput semua ahli keluarga penduduk kampung untuk sama-sama hadir menikmati masakan kenduri makan gulai yang dilakukan secara gotong-royong kerana ia secara tidak langsung menunjukkan kepada generasi muda mengenai keutuhan hubungan penduduk terutama membabitkan ibu bapa mereka,” ujarnya.


Penduduk lelaki dan wanita berganding bahu melakukan tugas memasak kenduri makan gulai.


Manakala Syazwan Syafiqri yang bertugas sebagai pendidik, berkata majlis kenduri makan gulai itu memberi impak positif ke arah memilihara semangat bergotong-royong dan perpaduan sebagaimana diamalkan generasi penduduk awal kampung itu.

Jelasnya, walaupun pada hari kenduri makan gulai berlangsung dalam cuaca hujan renyai-renyai tetapi bilangan penduduk yang hadir melakukan kerja gotong-royong itu amat ramai sekali gus menandakan keihlasan mereka untuk berganding bahu bersama-sama menjayakan majlis dirancangkan ibu dan ayah.

“Walaupun mereka kelihatan penat namun rewang yang diadakan dengan diiringi bergurau senda serta usik mengusik antara penduduk kampung mencerminkan kemesraan mereka wajar diteruskan dan dipelihara supaya tradisi kenduri makan gulai tidak lapuk ditelan zaman,” katanya. - KitaReporters


Kaum wanita penduduk Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu menyiang atau memotong sayur serta ulaman untuk menu kenduri makan gulai.

18
7
0
14
0
You will be interested