Semua pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) seluruh negara akan dilengkapkan dengan Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) berteknologi tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberi perhatian serius dalam usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terpelihara.
"Justeru, mesyuarat bersetuju dengan pelaksanaan Sistem CCTV berteknologi tinggi di pusat tahanan APMM dan lokap AADK di seluruh negara.
"Pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik Kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan," jelas beliau.
Anwar berkata demikian sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 pada Jumaat 26 September 2025.

Beliau berkata, kerajaan turut memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.
"Ini bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara, bahkan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.
"Sehubungan itu, atas keprihatinan dan pendirian Kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara, mesyuarat bersetuju supaya isu-isu melibatkan perairan negara diatasi melalui usaha sama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat," tegasnya.
Perdana Menteri menjelaskan, reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui ini mencerminkan iltizam Kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara serta mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam. - KitaReporters/Kenyataan Media