Isu buli dan semangat bangkit kembali menjadi fokus utama ceramah dalam Seminar Kesihatan Mental Negeri Selangor yang diadakan di Auditorium Jabatan Laut Malaysia pada 29 Oktober 2025 lalu.

Seminar ini diadakan bersempena bulan Kesihatan Mental yang jatuh pada bulan Oktober setiap tahun.
Lebih 250 peserta daripada staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wakil daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) telah menghadiri seminar sehari ini.

Dr Ummi Kalthom Shamsudin. - Kredit foto: Gambar-gambar sumbangan Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
Sepanjang seminar, peserta telah berpeluang mengikuti beberapa ceramah menarik dan interaktif yang disampaikan oleh penceramah berpengalaman yang meliputi pelbagai perspektif; daripada tokoh agama, belia, sehinggalah kepada pakar psikiatri dan ahli psikologi.
Ia mengetengahkan isu-isu yang relevan dengan kehidupan kita semua iaitu cabaran emosi akibat buli, konflik keluarga, serta kekuatan rohani dan motivasi diri untuk bangkit semula.
Majlis dirasmikan Dr. Ummi Kalthom Shamsudin, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor.

Dr Hazli Zakaria. Pakar Psikiatrik
Slot ceramah pertama disampaikan oleh Dr. Hazli Zakaria, seorang pakar Psikiatrik, dan pengarah Alaminda Specialist Clinic dengan tajuk “Buli Diam, Luka Dalam”.
Ceramah Dr Hazli menarik perhatian ramai apabila beliau mengupas isu buli senyap -- penderaan emosi yang sering berlaku tanpa disedari tetapi meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa.
Menurutnya, “kadang-kadang luka fizikal boleh sembuh, tapi luka jiwa yang disenyapkan boleh makan diri bertahun-tahun.”

Manakala Azlan Shah Nabees Khan, CEO ARBA Foundation pula menghidupkan suasana dengan ceramah motivasi bertajuk “Jangan Down, Bangkit Cepat”.
Beliau mengingatkan peserta supaya tidak membiarkan kegagalan atau tekanan hidup menjatuhkan semangat diri.
“Setiap ujian itu ruang untuk kita kenal diri dan cari Tuhan,” katanya' Ustaz Azlan mengupas setiap kata-kata motivasinya dengan ayat-ayat al-Quran dan sunah, serta sangat memberi kesan positif pada pendengar.

Selain memberi maklumat dan ceramah, seminar ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap isu kesihatan mental dan kesejahteraan emosi. Juga mengiktiraf sumbangan pasukan dan sukarelawan K-Mindset serta MHCOE dalam usaha advokasi kesihatan mental di Selangor.
Seminar ini juga bertujuan memupuk empati dan kemahiran komunikasi antara generasi serta komuniti melalui perkongsian ilmu daripada pelbagai pakar.
Selain itu, seminar itu menggalakkan kolaborasi rentas agensi bagi memperkukuh intervensi kesihatan mental di Negeri Selangor.
Penganjuran seminar ini diharap dapat memperkukuh jaringan kolaborasi antara pelbagai agensi serta mempertingkatkan kesedaran dan kesejahteraan mental dalam kalangan masyarakat di Negeri Selangor.
Seminar ini juga diharap membuka ruang jaringan kerjasama antara agensi dan NGO dalam memperkukuh strategi pencegahan serta intervensi awal bagi isu kesihatan mental di negeri Selangor.

Kesejahteraan mental bukan hanya tanggungjawab pakar psikologi atau kaunselor. Ia bermula daripada keluarga, tempat kerja dan komuniti yang saling peduli
Sehubungan itu, dengan mesej yang mendalam dan penyertaan pelbagai pihak, program sehari ini bukan sekadar seminar, tetapi satu peringatan bahawa setiap jiwa yang tenang menyumbang kepada masyarakat yang lebih harmoni dan negara yang produktif. - KitaReporters

Pengarah, JKN Selangor, tetamu khas, peserta, penceramah serta penganjur seminar bergambar selepas majlis perasmian. - Kredit foto: Gambar-gambar sumbangan Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor