Usaha menghasilkan barangan keperluan rumah berasaskan rotan, buluh dan mengkuang suatu ketika dahulu begitu dekat dengan kehidupan masyarakat kampung.


Tudung saji, bakul, dulang, malah tikar anyaman bukan sekadar peralatan kegunaan seharian dalam kalangan masyarakat Melayu tradisi, malah merupakan cerminan seni tangan dan kreativiti yang diwarisi turun-temurun.
Namun, kedudukan seni warisan ini semakin terhimpit apabila produk plastik buatan kilang moden menguasai pasaran dengan harga jauh lebih murah dan pengeluaran berskala besar.
Jika dibiarkan tanpa perhatian, tidak mustahil hasil tangan yang pernah menjadi identiti budaya ini hanya tinggal sebagai kenangan dalam gambar atau bahan muzium.

Menyedari hakikat itu, Koperasi Smilian Felten Johor Bhd di Labis, Johor tampil mengambil langkah proaktif menganjurkan bengkel anyaman rotan bagi memastikan seni warisan bangsa itu tidak berkubur ditelan zaman.
Inisiatif ini bukan sekadar mendedahkan peserta dengan kemahiran seni anyaman semata-mata, malah turut bertujuan tetapi menghidupkan semula minat masyarakat terhadap seni kraf yang semakin terpinggir.
Pengerusinya, Hamdan Ibrahim, 58, berkata, bengkel yang berlangsung selama 15 hari itu dipecahkan kepada tiga fasa iaitu lima hari setiap bulan bermula Julai sehingga September 2025 masing-masing lima hari dalam setiap bulan.
"Kami tidak jalankan bengkel ini secara terus selama 15 hari kerana kebanyakan peserta adalah suri rumah yang mempunyai tugas dan tanggungjawab rutin terhadap rumah tangga. Jika dibuat berterusan, mungkin mengganggu urusan harian mereka.

Bermula dengan kosong, kini peserta sudah mampu menghasilkan produk anyaman rotan yang berkualiti .
"Pada fasa pertama dahulu, peserta didedahkan dengan asas anyaman serta cara membuat tudung saji dan pemegang kunci, manakala fasa kedua beralih kepada pembuatan dulang, alas pinggan dan alas periuk pula," katanya ketika ditemui di Balai Komuniti Felda Tenang, Labis, Johor pada 9 September 2025 lalu .
Sementara fasa terakhir ini pula lebihl mencabar kemahiran peserta dengan penghasilan bakul, antara produk paling rumit dalam seni anyaman rotan.
Menurutnya, semua produk berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Kraftangan Negeri Johor untuk dipasarkan sempena Tahun Melawat Johor (TMJ) 2026.

Bagi Hamdan, keyakinan serta kesungguhan peserta dilihat semakin tinggi berbanding peringkat awal dahulu bila mana rata-rata peserta meneruskan usaha menghasilkan pruduk anyaman di rumah selepas tempoh bengkel selama lima hari setiap fasa berakhir.
“Minat mereka sangat jelas. Saya percaya dengan latihan berterusan, produk yang dihasilkan bukan sahaja menarik malah menepati standard kualiti untuk pasaran luas,” tambahnya.
Bagi Mawar Ahmad Kusaini, 33, bengkel tersebut memberi pengalaman baharu baginya yang mengakui agak kekok pada awalnya kerana tidak pernah menganyam rotan sebelum ini.
Namun memurutnya berkat tunjuk ajar tenaga pengajar serta dorongan rakan-rakan, beliau kini mampu menyiapkan tudung saji, dulang dan pemegang kunci dengan baik dan terus berlatih di rumah setiap kali ada masa lapang untuk perbaiki kemahiran.

Sementara Moreha Tan, 58, pula, dia melihat seni anyaman bukan sahaja sebagai warisan bangsa, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan.
"Produk berasaskan rotan, buluh atau mengkuang bukan sekadar peralatan rumah, sebaliknya merupakan hasil seni, malah sering menjadi pilihan sebagai hadiah atau koleksi.
"Jika anyaman kemas dan berkualiti, nilainya boleh mencecah harga tinggi kerana hasil kraf ini mempunyai peminat sendiri sejak dahulu lagi," katanya yang pernah mengikuti bengkel serupa beberapa tahun lalu.

Bengkel anjuran koperasi ini akhirnya bukan sekadar mengajar teknik anyaman, tetapi membina keyakinan peserta bahawa warisan yang hampir dilupakan ini masih ada tempat dalam masyarakat moden.
Dalam arus kemajuan industri plastik, usaha sebegini memberi sinar bahawa seni tangan yang teliti dan bernilai tinggi tetap mampu bertahan, asalkan diberi ruang untuk terus bernafas, di samping berpotensi memberi pendapatan sampingan yang tak kurang luimayan. - KitaReporters

Saling bekerjasama antara satu sama lain menjadikan semua yang dipelajari mudah.
