NGO Kesihatan Mental MaRMA (Malaysian Relief Mind Association atau Pertubuhan Ketenangan Minda Malaysia) terus melakar kejayaan apabila berjaya mengumpul lebih 500 ahli berdaftar dalam tempoh dua minggu sahaja, hasil kempen Promo Merdeka yang menawarkan pendaftaran percuma bermula 31 Ogos sehingga 16 September 2025 lalu.

NGO Kesihatan Mental MarMA yang telah ditubuhkan dua tahun lalu mula menyerlah dengan pelbagai aktiviti berkaitan masalah mental, seperti FB Live (secara langsung) bersama pesakit, penjaga dan pakar psikiatri.
Menariknya, penyertaan ahli MaRMA terbesar datang daripada Kelab Kesihatan Sumur Dingin Wellness dengan lebih 200 orang ahli mendaftar sebagai ahli berdaftar Marma.
Pengasasnya, Dr Suraya Ariffin, berkata langkah menyertai Marma adalah usaha untuk memperluas kolaborasi bersama NGO yang memperjuang isu mental.
“Ahli-ahli kelab kami mahu bergerak bersama MaRMA untuk memberi lebih banyak kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mental juga menangani masalah seperti kemurungan dan anxiety secara alami.
"Isu mental adalah isu semasa dan dengan pertambahan jumlah pesakit mental dan kemurungan masa kini, kehadiran MaRMA tepat pada masanya untuk bantu caregivers (penjaga pesakit) serta pesakit mental,” katanya.

Dr Suraya Ariffin
Dalam pada itu, MaRMA kini sedang giat mempromosi program kesedaran bertajuk Virtual Fun Walk: Stop The Stigma yang akan berlangsung dari 1 hingga 10 Oktober 2025 ini.
Program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kesihatan mental, malah menjadi salah satu inisiatif untuk mengumpul dana bagi memperkukuh aktiviti Marma.
Timbalan Pengerusi MaRMa, Rosiah Jantan, menyeru masyarakat supaya memberi sokongan penuh terhadap program program yang dijalankan oleh MarMA untuk memberhentikan stigma negatif kepada penjaga (caregiver) dan pesakit mental.

“Kita mahu jadikan Marma sebagai platform suara untuk caregivers dan pesakit mental.
"Virtual Fun Walk ini simbol solidariti kita bersama mereka. Lagi ramai yang sertai, lagi kuat mesej kita bahawa stigma terhadap pesakit mental mesti dihentikan,” ujarnya lagi.
Justeru , orang ramai dialu-alukan untuk bersama-sama menyertai Virtual Fun Walk ini, sekali gus membantu MaRMa meneruskan perjuangan memberi harapan dan sokongan kepada komuniti kesihatan mental di negara ini. - KitaReporters

Rosiah Jantan
