Insan & Komuniti 02 May, 2021

Alhamdulillah! Sahak, legenda sepak takraw respons baik rawatan! Selepas disah positif Covid-19

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


SAHAK Md. Yasin, pencipta blocking sepak takraw pada 1971. - Kredit foto: Sinar Online


SAHAK Md. Yasin, apit kanan handalan sepak takraw Malaysia era 70-an, memberikan tindak balas yang baik dengan pengambilan ubat tidur dan steroid bagi mengurangkan bengkak dan penularan Covid-19 pada paru-parunya

Pemenang tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA itu yang disahkan positif Covid-19 pada 28 April 2021 lalu, juga mampu berkomunikasi dengan seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Ahmad di Hospital Sungai Buloh, Selangor - tempat beliau menjalani rawatan - pada Sabtu, 1 Mei 2021. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw

ZAKI Ab. Rahman, menantu Sahak Md. Yasin.


“Status terkininya setakat pukul 3.35 petang 1 Mei 2021 melalui Dr. Ahmad yang menghubungi saya berkata, bapa mentua saya, Pak Sahak telah sedar dan akan terus dipantau sehingga esok (Ahad, 2 Mei 2021)

“Rawatan yang diberikan kepadanya hari ini ialah mengurangkan dos ubat tidur dan dalam masa sama, ubat steroid diberikan untuk menghentikan penularan kuman virus berkenaan pada paru-parunya,” kata menantunya, Zaki Ab. Rahman


SAHAK Md. Yasin, bekas anggota Kor Risik Diraja yang juga apit kanan handalan ATM dalam Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari. - Kredit foto: ZS



Sahak, 73, pencipta teknik blocking (benteng) terhadap rejaman lawan di depan jaring, didapati mengalami kekurangan oksigen yang ketara sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada 28 April 2021 untuk menerima bantuan mesin pernafasan.

Turut dimasukkan ke hospital berkenaan kerana Covid-19 ialah isterinya, Rokiah Basir yang dilaporkan mengalami tekanan darah yang rendah.

“Apabila Dr. Ahmad contohnya bertanya, Pak Sahak, cuba angkat tangan, dia memberikan respons mengangkatnya. Ketika Dr. Ahmad tanya beberapa soalan, ayah juga faham dengan menggelengkan kepala dan mengangguk. 

“Responsnya memberangsangkan. Kata doktor, jika pemantauan mendapati dia semakin elok, dos ubat tidurnya akan dikurangkan,” kata Zaki dalam mesej menerusi klip video selama dua minit 53 saat pada 1 Mei 2021.   

Menurut Zaki, bantuan mesin pernafasan oksigen yang kini disalurkan melalui mulut mungkin ditukar ke hidung sahaja sekiranya keadaan Pak Sahak terus menunjukkan tanda-tanda positif. 

“Kata doktor, dos ubat antibiotiknya (bagi merawat bengkak paru-paru) sudah cukup dan dihentikan,” katanya.

Zaki turut memohon semua pihak yang mengenali Sahak terutama para peminat sukan sepak takraw mendoakan kesihatan yang terbaik buatnya dan berterima kasih kepada mereka yang tidak putus-putus berbuat begitu sejak bapa mertuanya dimasukkan ke hospital pada 26 April 2021. 


SAHAK memang hebat dengan libasan cangkuk yang tepat tanpa menoleh ke belakang, kata bekas Setiausaha Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff


SKUAD pemenang pingat emas sepak takraw Sukan SEAP Bangkok 1975. Sahak Md. Yasin (depan, tiga dari kiri). - Kredit foto: infotakraw.com


Sahak mengalungkan Malaysia dengan tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA Singapura 1973, Bangkok 1975 dan Kuala Lumpur 1977 selain membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjuarai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari beberapa kali.    

Bekas anggota Kor Risik Diraja ATM kelahiran Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan inilah yang memperkenalkan gaya adangan kaki terhadap libasan lawan yang tidak lagi mudah dan bebas menjamah gelanggang pada 1971.

Kemahiran berani dan inovasinya itu berjaya mencipta permainan sepak takraw menjadi rali, berentak menyerang dan bertahan yang lebih rancak, terbuka dan semakin berdaya saing.

Sahak juga merupakan antara 12 anggota skuad negara yang menumpaskan Thailand 2-1 untuk memastikan pingat emas - satu-satunya kejayaan yang dicapai Malaysia dalam Sukan SEAP/SEA di bumi lawan, Bangkok pada 1975.


SATU-SATUNYA pasukan Malaysia (1975) yang menumpaskan Thailand dalam empat pertemuan sepak takraw Sukan SEAP/SEA di bumi Thailand. - Kredit foto: MOM


Skuad bimbingan Kamaruzaman Kassim ini turut diperkasa oleh Abu Bakar Mohd. Johan, Jamaludin Osman, Mohamad Jusri Rick, Abdul Jalil Aziz, Faozi Ayob, Idris Baba, Mohamad Noor Abdullah, Mohd. Azmi Harun, Abdul Razak Osman, Wahab Isahak dan Sulaiman Ibrahim.

Dia yang bergandingan dengan tekong, Razak dan apit kiri atau pengumpan, Jamaludin, menewaskan Sujin Kewasvorn, Vichai Tangorn dan Suwat Jungmongkol 15-10, 12-15, 15-11 dalam perlawanan hampir sejam lamanya untuk meraih mata kemenangan regu pertama.

Tiga lagi temasya serantau dwitahunan ini ketika Thailand sebagai tuan rumah di Bangkok 1967 dan 1985 serta Chiang Mai 1995 menyaksikan hanya pingat perak yang mampu dibawa pulang akibat kalah kepada musuh tradisi itu.

Thailand turut bermaharajalela ketika Sukan Asia Bangkok 1998 manakala sepak takraw Sukan SEA Korat 2007 diboikot Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) - kali pertama dalam sejarah temasya setelah negara ini yang memperkenalkannya di Kuala Lumpur mulai 1965.


 PINGAT emas sepak takraw Sukan SEAP Bangkok 1975 milik Sahak Md. Yasin dan 11 rakan sepasukannya. - Kredit foto: infotakraw.com

3
0
2
1
0
You will be interested