BEBERAPA hari lalu, Indonesia digemparkan dengan berita kematian penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang terjatuh dari menara sebuah masjid kerana mencari isyarat atau capaian Internet untuk telefon pintarnya. Namun kesahihan berita itu dipertikaikan!! : KitaReporters
Mangsa yang maut, Rudi Salam. - Kredit foto: TribunNews
TribunNews melaporkan, rakannya, Muhammad Sabir bagaimanapun menafikan penuntut Universiti Hasanuddin terbabit terjatuh dari menara masjid, sebaliknya Rudi Salam dikatakan terjatuh dari mimbar di tingkat dua masjid berkenaan.
Kata Sabir, masjid itu hanya bersebelahan dengan rumah Rudi di Tana Ejaya, Kecamatan Tellulimpoe, Kabupaten (daerah) Sinjai di Sulawesi Selatan, Indonesia.
Sebelum ini, TribunNews melaporkan Rudi meninggal dunia selepas terjatuh dari menara masjid di kampung halamannya ketika mencari isyarat Internet bagi menyiapkan tugasan kuliahnya.
Difahamkan, kawasan di kampung itu mengalami masalah capaian Internet.
Menurut keluarga mangsa, Rudi terjatuh selepas memijak lantai papan yang rapuh di atas menara masjid berkenaan ketika mencari isyarat Internet bagi menyiapkan tugasan kuliahnya.
Bagaimanapun, Sabir menafikan perkara itu memandangkan mereka tidak menerima sebarang tugasan kuliah dari kampus mereka.
"Kami tidak menerima tugasan dari kampus, sebaliknya Rudi sekarang sedang sibuk dengan tesisnya," jelas Sabir. - KitaReporters