Insan & Komuniti 28 Apr, 2021

Perginya Johnny Wong Kong Leong! 'Silent Killer' jadi pencetus karier pro Australia, Hong Kong!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

JOHNNY Wong Kong Leong (barisan depan, lima dari kiri) bersama Perak juara Piala Malaya 1957. 


MERINTIS karier bola sepak profesional di Australia dan Hong Kong malah merupakan antara 18 pemain bola sepak Malaya yang membuat penampilan sulung Sukan Asia pada 1958.

Anak tauke kedai barangan logam terbesar di Ipoh, Perak ini turut pernah membantu negeri kelahirannya menjulang Piala Malaya (Malaysia) pada 1957 dan 1967 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Menariknya, kedua-dua pencapaian tersebut turut merintis sejarah. Final Piala Malaya 1957 ialah yang pertama dilangsungkan di gelanggang pemasyhuran kemerdekaan negara. 

Sedekad kemudian, Stadium Merdeka juga menyaksikan final pertandingan antara tertua Asia itu bernama baharu - Piala Malaysia, menggantikan Piala Malaya yang bersempena sebuah kapal laut perang Britain, HMS Malaya sejak 1921.   


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak

LAMAN sesawang FAM melaporkan berita pemergian mendiang Johnny Wong Kong Leong di Amerika Syarikat. - Kredit foto: FAM.


Pemergian Johnny Wong Kong Leong kerana sakit tua buat selama-lamanya pada Sabtu, 24 April 2021 lalu di New York, Amerika Syarikat, telah meninggalkan satu legasi besar bola sepak Malaysia yang sukar ditandingi. 

Mendiang - anak jati Ipoh, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 85 tahun, kata isterinya, Linda kepada rakan baik yang juga bekas penjaga gol Malaysia dan 10 kelab pro Hong Kong, Wong Kam Fook.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki. Johnny sebaliknya datang daripada keluarga besar iaitu 13 adik-beradik (sembilan lelaki dan empat perempuan) dengan empat daripadanya turut giat bermain bola sepak. 

“Saya kenal mereka ketika bermain sebagai penjaga gol di Hong Kong (dengan kelab Caroline Hill FC, South China FC, Rangers FC, Urban Service FC, Bulova FC, Sea Bee FC, Seiko FC, Zindabab FC, Harps FC dan Blake Garden FC dari 1972 hingga 1988). 

“Mereka berhijrah ke Amerika tidak silap saya antara 1974 atau 1975,” kata tonggak Malaysia dalam Sukan Olimpik Munich 1972 ini - penampilan sulung skuad negara selepas menjuarai Kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul, 1971.

Dari Perak, Johnny merantau ke Australia untuk menuntut ilmu perakaunan di Kolej Teknikal Sydney mulai 2 April 1958 sambil sempat menyarung jersi sebuah kelab kaum Cina dalam Liga Metropolitan bandar itu, Wings sebelum memikat kelab North Side United bagi Liga New South Wales (NSW).


WAJAH tampan Johnny Wong Kong Leong pada 1966, pemain Malaya pertama yang berkelana di Australia (1958) dan Hong Kong (1966). - Kredit foto: Futbol Cult.


Kelab lain Australia yang pernah disertainya termasuk Polonia Sports Club dan Apia Leichhardt sehingga memenangi Liga Perdana Kebangsaan NSW 1964, Pusingan Akhir Utama NSW 1964 dan 1965 serta Piala Waratah 1962.

Jejak Kong Leong di Australia kemudian disusuli Dali Omar, penyerang Kelantan dan Angkatan Tentera dengan kelab Azzurri pada 1972 dan penyerang lampai Sabah, Datuk James Wong yang menyertai Sydney Hakoah pada 1974 yang juga tonggak kejayaan Malaysia ke Sukan Olimpik Moscow 1980.  

“Pernah digelar ‘Pemusnah Senyap’ (Silent Killer), gaya permainannya tenang tetapi secara tiba-tiba entah dari mana, mampu menyumbat gol. Begitulah hebatnya Johnny Wong Kong Leong.

“Dia boleh dianggap seorang yang berani apabila mencuba nasib untuk bermain di seberang laut,” kata Kam Fook, juga anak jati Ipoh yang ibunya pernah bermajikankan abang mendiang.


WONG Kam Fook (baju merah) dan M. Karathu (kanan) antara bekas rakan sepasukan Johnny Wong Kong Leong dalam Perak. - Kredit foto: Kam Fook. 


Di Hong Kong, Johnny menyertai kelab Tung Sing pada 1966 tetapi ditimpa kecederaan lutut dalam satu perlawanan persahabatan.

Namun sekali lagi langkahnya di Hong Kong itu menjadi ikutan pula ramai pemain Malaysia seperti mendiang Chow Chee Keong, Koo Luam Khen, Kam Fook, Chan Yong Cheung, Yee Sin Choy, Fung Seng Ming, Lim Fong Kee, Chan Kok Leong, Yip Chee Keong, Ho Hong Seong, Lee Ah Kow, Datuk Soh Chin Aun, mendiang Wong Choon Wah dan Chew Sheong Hua.

Selain Sukan Asia Tokyo 1958, Kong Leong juga terpilih mewakili negara pada Pestabola Merdeka 1966. Agak malang pasukan Malaya kurang menyerlah apabila ditewaskan Taiwan 2-1 dan Vietnam Selatan 6-1 di Tokyo lantas terkandas dalam Kumpulan A.

Dalam Pestabola pula, skuad negara gagal ke separuh akhir setelah diikat Burma 0-0 dan Thailand, dikalahkan Korea Selatan 2-1 serta mengalahkan Hong Kong 1-0 dalam Kumpulan 2 selain membenam Vietnam Selatan 5-2 (klasifikasi awal).

Rakan seperjuangannya dalam Sukan Asia pertama Malaya itu ialah mendiang Sexton Lourdes, Seah Peng Chiang, Tang Cheok Foo, Kwong Chong Yin, Ng Mun Keai, Mok Wai Hong, Chan Tuck Choy, Chuah Poh Aun, mendiang Edwin Dutton, Mok Wai Kin, Allahyarham Rahim Omar, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Woo Ah Wah, Tan Ban Chuan, mendiang M. Govindarajoo, Talib Ibrahim dan Aziz Ahmad.

Perak yang mula diwakilinya pada 1955, berjaya merangkul Piala Malaya tanggal 19 Oktober 1957 dengan menumpaskan juara bertahan, Selangor 3-2. Rembatan kencangnya sejauh 10 meter bagi gol ketiga, memastikan kejuaraan itu hasil hantaran Ramadas Rao - penjaring selebihnya.  


PERAK bergelar juara sulung Piala Malaysia pada 1967 selepas menjinakkan Singapura 2-1. 


Dalam edisi sulung Piala Malaysia 1967, Kong Leong yang membarisi kesebelasan utama Perak digantikan oleh Egambaram yang pada minit ke-94 perlawanan, menanduk masuk gol kemenangan 2-1 terhadap Singapura selepas menyambut hantaran lambung Sam Chok Yin.

Sepasukannya dengan Perak dalam kedua-dua final itu termasuk Foong Kam Choy, T. John, Allahyarham Ahmad Nazari Min Zohari, Tuck Choy, R. Anthony, Wong Kim Seng, Liew Fee Yuen, Loh Kam Fook, Ramadas, Cheong Weng Leong, Liew Keng Foo, Vincent, Foo Fook Chuan, Sin Choy, Ho Woon Hung, Au Yoon, Sam Chok Yin, Egambaram, Datuk M. Karathu dan Chan Sze Onn. - KitaReporters

 

0
0
0
2
0
You will be interested