Insan & Komuniti 17 Apr, 2021

Video| Indra Lombok, Melissa Paris! Jadi tersohor, murah rezeki kerana jodoh antara dua benua!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Indra dan Melissa sewaktu diijab kabul. - Kredit foto: Youtube Indra Sasak


KEHIDUPAN senang di Perancis ditinggalkan malah sanggup pula memilih untuk hidup bersama pemuda kampung di Lombok, Indonesia, yang ketika itu belum mempunyai apa-apa. Bak kata peribahasa, ikan di laut, asam di darat, di dalam belanga bertemu jua.  

Kalau sudah jodoh, tak kan ke mana. Tanpa berkawan lama, anak jati Lombok, Indra Budiman dan Melissa Ainon Najah dari Paris diijabkabulkan sebagai suami dan isteri apabila mereka berdua mengambil keputusan untuk berkahwin pada 2019, hanya beberapa bulan selepas saling mengenali semasa mereka berada di Bali.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mat salih




Indra sendiri tidak menyangka bahawa suatu hari dia akan berkahwin dengan anak `bule` dari Perancis, bernama Melissa. Bule ialah gelaran di Indonesia terhadap bangsa asing daripada kalangan `orang putih` (mat salih).

Tinggal menyewa, namun Indra menganggap rumah mereka adalah rumah orang tuanya di kampung.

Mereka sering pulang ke kampung, dan Melissa kelihatannya tidak kekok untuk menjalani kehidupan di rumah tradisional Lombok yang sangat ringkas, dengan konsep ruang-ruang tertentu misalnya kamar tamu, kamar mandi dan kamar tidur serta dapur, terletak di bangunan berasingan. Bangunan dapur misalnya, sekadar pondok berdindingkan bahan anyaman.

Walaupun sudah biasa hidup senang dengan rumah keluarga sendiri yang berhalaman luas lengkap dengan kolam renang di Perancis, namun Melissa dengan mudah dapat membiasakan dirinya dengan cara hidup orang kampung di Bali. 

Selepas berkahwin, mereka gigih berkongsi asam garam kehidupan dalam YouTube, Indra Sasak.


Saat untuk menyarungkan cincin. - Kredit foto - YouTube Indra Sasak


Salah satu video bertajuk ‘House Tour!! Biar Keadaan Rumahku Begini, Isteri Bule Tetap Sayang !! menjadi viral, dan mendapat lebih 7,381,821 tontonan.

Ketika asyik memberi penerangan di dapur, kepala Melissa hampir terhantuk besi pemanggang yang tergantung di tengah ruang yang hanya dilengkapi dapur gas dan dapur tunku (dapur kayu) dan tanpa peti ais.

Netizen kagum dengan sifat Melissa, dapat menerima kehidupan yang seadanya di rumah mentuanya. 


Pasangan muda, Indra (kiri) dan Melissa (kanan), mengumpul ramai peminat@pengikut dalam YouTube Indra Sasak, kerana sikap mereka yang peramah dan merendah diri. - Kredit foto: YouTube Indra Sasak.


Video Roomtour di Rumah Mentua. - Kredit foto: YouTube Indra Sasak


Reaksi spontan Melissa yang terkejut sewaktu kepalanya hampir terhantuk pemanggang ikan, paling lucu. Mendapat perhatian dan tontonan oleh ratusan pengikutnya di YouTube. Video yang viral itu memaparkan ketulusan Melissa menerima keadaan kehidupan yang baru seadanya dan melakukan kerja rutin orang kampung seperti memberi makan ayam dan lembu di kandang.

Mereka berkahwin dalam usia muda, pada 2019 dengan mendapat restu daripada orang tua daripada kedua-dua belah pihak. Sejak berkahwin dengan wanita asing dari Perancis itu dan bergabung dengan isterinya membuat konten, YouTube Indra Sasak, mereka semakin popular. 

Video `roomtour` di Rumah Mentua dan aksi Melissa terlanggar pembakar ikan, antara yang tular di Indonesia dan di negara-negara lain juga. 


Video Viral, House Tour Rumah Kampung di Bali. Melissa terkejut, kepala hampir terlanggar besi pemanggang ikan di rumah dapur.  Kredit Foto - Youtube Indra Sasak.



Keluarga Melissa di Perancis turut mengikut perkembangan mereka melalui YouTube, dan ahli keluarganya begitu bangga dengan Melissa dan Indra yang telah muncul sebagai YouTuber tersohor, dan kini bagaikan selebriti. Channel (saluran) Indra Sasak terus mengumpul ramai pengikut selepas mereka ditemu bual oleh stesen televisyen Indonesia.

Melalui saluran itu Melissa dan Indra dikagumi ramai kerana memaparkan nilai cinta dan kasih sayang sejati antara dua insan dari dua negara berjauhan yang berlainan bangsa, adat dan budaya, tanpa dipengaruhi materialistik.


Indra mengajar Melissa menumbuk sambal. Kredit foto - Youtube Indra Sasak.


Sebagai Muslim, Melissa gemar berkain batik, menutup aurat rambut dengan selendang yang diikat gaya turban.

Dia juga tidak kekok menggunakan lesung batu, membasuh dengan air dalam besen, berjalan dalam lumpur becak seperti dilihat dalam YouTube. 

Dia kelihatan seronok dapat menabur makanan ayam dan memberi makan rumput kepada lembu di kandang. 


Melissa sedang beri lembu makan rumput. - Kredit foto: YouTube Indra Sasak


Kesanggupan Melissa melalui semua kepayahan itu dengan senyuman membuat ramai kagum. 

Antara kesengsaraan dan ujian yang dihadapi, rumah mereka dilanda banjir kilat. Melissa menghadapi detik cemas melarikan diri dengan terjun ke bangunan lain di sebelah rumah, sambil memegang anak ketika suaminya belum balik. Esoknya, mereka terpaksa mencuci lumpur yang tebal dalam rumah.

Saat mereka dalam kepayahan, ramai memberi sokongan dengan menonton videonya bersekali iklan dan beramai-ramai menjadi pengikut (subscribers). Angka pengikut (subscribers) YouTube Indra Sasak naik mendadak, dan terkini mencecah 490,000 - hampir setengah juta. 


Hasil perkahwinan lebih setahun, Indra dan Melissa dikurniakan seorang cahaya mata. - Kredit foto: Youtube Indra Sasak


Kalau dulu, mereka ke hulu ke hilir dengan menunggang motosikal sambil menggendung anak untuk mendapatkan bahan konten, kini mereka sudahpun mempunyai kenderaan selesa, kereta pacuan empat roda.  

Bak kata pepatah langit tidak selalunya mendung. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Kini sagunya sudahpun mereka perolehi, langit pun sudah semakin cerah, daripada kegigihan menghasilkan konten YouTube dan berniaga, pendapatan mereka semakin bertambah. 

Selain membeli kereta, mereka membeli kelengkapan baru untuk rumah ibu di kampung dan kini sedang merancang untuk membina rumah sendiri di atas tanah milik orang tua. - KitaReporters


2
0
0
1
0
You will be interested