Anggota polis Sarjan Mejar Simon Santanasamy masih tidak berpuas hati walaupun baru sahaja memiliki skrol Sarjana Muda dari Saito University College. Beliau yang menjaga unit K9 di Balai Polis Sepang kini melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Akademi Keselamatan universiti yang sama.
Beliau yang ditemui ketika majlis konvokesyen di sebuah hotel di Klang baru-baru ini mengakui berasa seronok dengan rutin harian pembelajarannya walaupun sibuk dengan tugas hakiki sebagai anggota polis.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan anggota polis
Sarjan Mejar Simon Santanasamy bersama isteri di hari konvokesyen
“Setiap malam, saya akan menghadap komputer riba dari pukul 10 malam hingga 1 pagi, sama ada untuk mengulang kaji mata pelajaran atau membuat kerja-kerja yang diarahkan oleh tenaga pengajar,” katanya.
Pada siang hari, beliau sibuk dengan anggota yang berkaki empat, melayan kerenah anjing-anjing di bawah seliaannya yang lebih 10 ekor sementara malam pula diluangkan bersama isteri tercinta.
Simon hanya akan mentelaah pelajaran pukul 10 malam sehingga 1 pagi.
“Itupun kalau tidak ada operasi malam. Jika ada operasi malam, tugas didahulukan. Kebanyakan pensyarah kami pun pegawai tinggi polis maka mereka faham dengan tugas kami,” katanya yang mengakui majoriti rakan sekelasnya juga adalah anggota polis.
Kelas mereka hanya diadakan pada hujung minggu. Beliau berterima kasih kepada pihak atasan kerana memberi kelonggaran untuk menghadiri kelas walaupun sejak 2020, kelas hanya diadakan secara dalam talian.
“Itupun satu, kami rindukan kelas bersemuka kerana dapat bertemu rakan-rakan dari negeri-negeri lain. Tetapi keadaan masih tidak membenarkan kami untuk menghadiri kelas di kampus buat masa ini,” katanya.
Berbekalkan skrol sarjana muda dalam penguatkuasaan undang-undang, Simon berhasrat untuk membuat permohonan jawatan Inspektor.
“Seronok belajar. Isteri saya pun memahami tugas dan hasrat saya. Saya lakukan semua ini pun untuk masa depan kami berdua,” katanya.
Seramai lebih 500 graduan menerima skrol masing-masing pada hari bersejarah itu, selepas dua tahun tidak dapat meraikan kejayaan pelajar akibat pandemik Covid-19. - KitaReporters
Kredit foto: FB Afdlin Shauki