Insan & Komuniti 12 Oct, 2025

Video| Talian hayat untuk Palestin! Global Hayat usahakan The Rightful Gift! Kembalikan hak, harapan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

7 Oktober, hari tercetusnya Taufan Al-Aqsa, merupakan tarikh penting dalam sejarah perjuangan membebaskan bumi Palestin, tanah suci umat Islam. 



Ini menandakan fasa baharu dalam garis masa kebangkitan umat Islam sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948. 

Peristiwa ini membuktikan bahawa rakyat Palestin dan umat Islam sedunia tidak pernah reda dengan nakbah (malapetaka) yang telah berlaku lebih tujuh dekad lalu. 

Taufan Al-Aqsa bukan sahaja membangkitkan roh kesedaran umat Islam, bahkan membuka mata dunia terhadap kekejaman rejim Zionis Israel yang melakukan genosid terhadap penduduk Gaza. 

Dua tahun berlalu, umat Islam kini kembali meletakkan isu Palestin di tempat yang sewajarnya, menjadikannya antara agenda utama perjuangan umat. 

Peristiwa ini juga melondehkan hipokrasi kuasa Barat yang selama ini melaungkan kebebasan dan hak asasi manusia. 

Pada masa yang sama, keadaan ini menyingkap wajah sebenar sebahagian pemimpin negara Islam dan Arab yang memilih berdiam diri, malah ada yang sanggup tunduk kepada agenda normalisasi demi kepentingan peribadi. 



Gelombang kesedaran ini telah mencetuskan pelbagai usaha untuk membantu rakyat Palestin, daripada demonstrasi besar-besaran di bandar-bandar utama dunia, kepada kempen boikot yang mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat pro-Israel, sehinggalah kepada misi Global Sumud Flotilla (Flotila Sumud Global) 2025 yang kini menarik perhatian dunia. 

Ini membuktikan bahawa umat Islam dan masyarakat antarabangsa terus gigih memanfaatkan setiap ruang dan peluang untuk mempertahan hak rakyat Palestin, biarpun berdepan sekatan dan halangan. 

Masa depan perjuangan pembebasan Palestin kini bergantung kepada tindakan umat Islam hari ini. Jika kita memilih untuk berdiam diri, perjuangan ini akan terus tenggelam dan hak rakyat Palestin akan terus dirampas. 

Maka, kita perlu mengekalkan momentum perjuangan ini dan terus istiqamah mempertahannya, walau apa pun harga yang perlu dibayar.



Di Malaysia, kesedaran rakyat terhadap isu Palestin sangat tinggi. Penyertaan pempengaruh tempatan dalam Global Sumud Flotilla, himpunan aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, serta sokongan berterusan dalam media sosial membuktikan kesungguhan rakyat negara ini. 

Namun begitu, semua usaha ini masih belum mampu melunaskan hasrat sebenar rakyat Malaysia untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan secara langsung kepada penduduk Gaza yang masih menderita akibat genosid. 

Ada yang merasakan seolah-olah tiada lagi jalan untuk menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terjejas. 

Justeru, satu kempen menyeluruh perlu digerakkan bagi menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa harapan masih ada, kita masih mampu mengembalikan hak yang adil kepada rakyat Gaza, serta menyampaikan bantuan kemanusiaan dengan cara yang sah dan berkesan. 

Di hujung terowong, masih ada cahaya. 

Sehubungan itu, Global Hayat, sebagai badan bukan berasaskan keuntungan, bersama-sama rakan organisasi lain, melancarkan kempen The Rightful Gift. 

Kempen ini bertujuan mengembalikan hak rakyat Palestin yang telah lama dinafikan. Hak tersebut bukan hanya untuk menerima bantuan, tetapi yang lebih utama, hak untuk hidup bebas di tanah air sendiri. 

Inilah hadiah yang benar-benar layak diberikan kepada mereka yang berjuang dan bertahan. 



Kempen The Rightful Gift akan berlangsung selama enam bulan, antara fokusnya ialah penyampaian bantuan kemanusiaan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang akan memberi manfaat kepada 640,000 rakyat Gaza menerusi saluran sah yang mematuhi undang-undang tempatan dan antarabangsa. 

Antara bentuk bantuan yang akan disalurkan termasuk: 

  • Makanan panas dan roti 
  • Kotak makanan dan air bersih 
  • Kit kebersihan, susu dan lampin bayi 
  • Bekalan perubatan, kayu api dan pakaian musim sejuk 
  • Selimut, jaket tebal dan khemah perlindungan

Segala hasrat dan semangat rakyat Malaysia yang masih membara perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata melalui sumbangan, kerjasama dan sokongan padu terhadap kempen ini. 

Sekretariat kempen akan memobilisasikan segala sumber dan keupayaan yang ada bagi memastikan The Rightful Gift mencapai objektif utamanya iaitu: Mengembalikan hak, menyampaikan harapan dan menegakkan keadilan buat rakyat Palestin. 



Sekretariat kempen terbuka untuk sebarang bentuk kerjasama dan mengalu-alukan penyertaan pihak pertubuhan bukan kerajaan, syarikat swasta, persatuan, kelab dan individu untuk bersama-sama menjayakan kempen ini. 

Senarai pertubuhan terlibat dalam kempen ‘The Rightful Gift’ setakat ini: 

  • 1. Global Hayat 
  • 2. Dunia Palestin Network 
  • 3. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) 
  • 4. Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) 
  • 5. Kelab Perwira Malaysia 
  • 6. Yayasan Maghfirah 
  • 7. Nisa Al-Khair 
  • 8. Sukarelawan Ad-Diniah 
  • 9. Komuniti Dakwah Tarbiah 
  • 10. TV Pertiwi 
  • 11. Muafakat Ilmuan Islam 
  • 12. Fullstag Artelier 
  • 13. Global Nour 
  • 14. Harapan Hati Malaysia 
  • 15. Media Akal Wahyu 
  • 16.Perseni 
  • 17. Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) 


Muhd Farhan Muhd Fadhil, Ketua Pegawai Eksekutif, Global Hayat dan Pengarah Sekretariat Kempen ‘The Rightful Gift’ 


13
11
0
13
0
You will be interested