Insan & Komuniti 04 Nov, 2025

Pacu kualiti kehidupan lebih baik! Persatuan Bekas Kakitangan KTM ambil peduli komuniti setempat!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Program Bersama Khidmat Masyarakat Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) terus menjadi ‘mendominasi’ ke arah memupuk kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab sivik dalam kalangan ahli, sekali gus orang ramai bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan.


Sebahagian penduduk hadir pada majlis tahlil yang diadakan PBKKTM di Madrasah Haji Abdul Karim, Kampung Ana, Tumpat, Kelantan.


Bagi PBKKTM, usaha itu juga sebagai menyantuni malah menjadi tanggungjawab sosial (SR) dalam memenuhi tuntutan untuk turut menjaga kepentingan hak golongan ditimpa musibah seperti asnaf, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim hatta komuniti penduduk yang kurang berkemampuan.

Yang Dipertua PBKKTM, Dato’ Ts Dr Abdul Radzak Abdul Malek, berkata mereka itu perlu juga mendapatkan kualiti kehidupan yang baik dalam masyarakat termasuk membantu memperlengkap kemudahan asas diperlukan supaya dapat dimanfaatkan komuniti kawasan terbabit seperti penduduk di tempat lain.    

Menurutnya, persatuan berkenaan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan berusaha mencari dan mendapatkan sokongan pelbagai pihak bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama membabitkan komuniti dalam kalangan bekas kakitangan KTM juga ahli PBKKTM.


Dr Abdul Radzak Abdul Malek (dua dari kiri) dan Rahim Osman menyertai penduduk dalam majlis tahlil.


Jelasnya, bekas kakitangan itu juga aktif membantu komuniti penduduk di kawasan mereka apabila mengetahui ada dalam kalangan asnaf, OKU, keluarga miskin dan sebagainya termasuk ahli jawatankuasa masjid atau surau yang memerlukan sumbangan dana untuk melengkapkan kemudahan asas atau sebagainya.

“Terbaru saya bersama Team Tenaga Penggerak PBKKTM; ahli; wakil persatuan; Naib Yang Dipertua PBKKTM, Abd Razak Mohd Yusuf; dan Penasihat PBKKTM, Dato’ Dr Sukarno Wagiman berkunjung ke Kampung Ana, Tumpat, Kelantan bagi menyerahkan sumbangan RM2,000.

“Sumbangan hasil kutipan derma dan infak daripada ahli dan ahli bersekutu persatuan serta individu yang selalu bersama untuk berkongsi rezeki sebagai amal jariah bagi membantu pembinaan kubah madrasah diterima ketua kampungnya, Mohammad Deraman,” ujarnya.

Bersempena program berlangsung di Madrasah Haji Abdul Karim, pada 27 Oktober 2025 itu turut diadakan majlis tahlil untuk allahyarham dan allahyarhamah ahli PBKKTM, keluarga, penginfak serta penyumbang yang sudah meninggal dunia. Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.


Mohammad Deraman (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada Dr Abdul Radzak (tengah) sambil diperhatikan oleh Mohd Rusli Abdullah (kiri).


Pada majlis itu diadakan penyerahan wang tunai terkumpul RM1,000 untuk membeli karpet Surau Kampung Tok Oh yang diserahkan kepada ketua kampung berkenaan, Zaini Jusuh, manakala satu vakum sumbangan daripada ahli bersekutu dan 18 kotak pakaian terpakai, 20 bakul barangan makanan keperluan asas dan sebuah kerusi roda juga diagihkan kepada dua ketua kampung terbabit.

Sebagai tanda keprihatinan kepada nasib bekas kakitangan KTM yang juga ahli PBKKTM, Dr Sukarno menyampaikan sumbangan beberapa pasang cermin mata baharu, 10 tikar dan rehal untuk jemaah surau angkat persatuan itu, iaitu Madrasah Haji Abd Karim.

Ahli PBKKTM Tumpat pula menyumbang satu unit peti ais sederhana besar kepada bekas kakitangan KTM, Abdul Rahman yang dikategorikan sebagai asnaf tegar, menghidap sakit jantung dan hidup sebatang kara di Kampung Ana bagi kemudahannya menyimpan barangan basah dan makanan.


Mohd Rusli (kiri) melihat Dr Abd Razak menyampaikan sumbangan kepada Zaini Jusuh.


Sementara itu, Setiausaha PBKKTM, Abdul Rahim Osman, berkata program itu juga secara tidak langsung menzahirkan keprihatinan dan sikap ambil peduli persatuan membantu mengurangkan bebanan komuniti yang rata-rata dalam kalangan bekas kakitangan KTM tetapi masih bergiat aktif membantu aktiviti masyarakat di kampung berkenaan. 

Menurutnya, seperti di Surau Kampung Tok Oh, pengerusinya, Juani Ahmad, merupakan mantan kakitangan KTM Tumpat yang giat aktif dalam kerja amal kebajikan membantu komuniti berasa bersyukur PBKKTM terus mengambil langkah membela nasib bekas kakitangan KTM.

Tambahnya, program itu banyak membantu komuniti penduduk setempat khusus di dua kampung berkenaan apabila menghulurkan bantuan bagi menyediakan kemudahan surau yang lebih lengkap dan sempurna.


Dr Abdul Radzak (dua dari kiri) bersama-sama ahli jawatankuasa PBKKTM merakam kenangan berhampiran perigi tiub.


Jelasnya, tiga tahun lalu, PBKKTM menerusi program itu membina perigi tiub di rumah anak angkat persatuan, menyumbang kerusi roda dan bakul barangan makanan keperluan asas untuk Zawiyah Deraman yang merupakan OKU anak yatim piatu.

“Usaha yang dilakukan itu memperkukuh lagi hubungan PBKKTM dengan komuniti setempat di samping pemimpin masyarakat yang memupuk semangat kekeluargaan, kerjasama dan keharmonian sosial melalui aktiviti bersama ahli persatuan.

“PBKKTM juga akan meneruskan pembangunan ekonomi sosial penduduk di dua kampung ini melalui program sumbangan ‘kiosk peniaga asnaf tegar’ kepada penduduk terpilih menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan menjual burger dan lain-lain,” katanya. - KitaReporters

19
16
0
11
0
You will be interested