Kisah benar luahan hati seorang anak yang kecewa dengan sikap ibu bapa menghalang pernikhannya dengan lelaki pilihan.
Yakin dengan takdir Allah. Dibuang keluarga kerana suami tidak sekufu tidak menghalang dia hidup bahagia.

Mereka lupa manusia boleh berubah. Bukan niat melawan ibu bapa, Jauh sekali menderhaka. Nawaitu ingin hidup bersama. Mengejar impian hidup bahagia. Bersama insan yang dicinta.
Semoga difikir dan dijadikan iktibar.
Perancangan Allah tak pernah salah. Sudah takdir jodohnya hanya seorang kerani biasa. Walau ada ijazah, bukan penghalang untuknya bahagia dengan lelaki pilihan yang seadanya.
Biar ibu bapa pandang hina, tetapi dia sangat istimewa, luah Siti tentang kisah cinta dan rumah tangganya.
Kata Siti, ibu bapanya menghalang cintanya dengan Arif, sejak mereka dibangku sekolah lagi. Alasannya dia sudah ada calon menantu yang mereka berkenan.

Tapi mereka nekad melawan ujian yang datang demi cinta mereka. Nasib tidak menyebelahi Arif apabila dia gagal melanjutkan pelajaran ke universiti selepas keputusan SPM diumumkan.
Siti pula diterima masuk universiti. Namun hubungan mereka tak pernah putus.
Arif mendapat kerja di sebuah bank. Dia bekerja keras untuk mengumpul duit bagi melamar buah hatinya itu setelah Siti tamat belajar. Sayangnya dua kali pinangannya ditolak atas alasan tidak setaraf. Pelbagai cara dibuat namun semua buntu.
Pada hal keluarga Siti bukan ternama pun, biasa sahaja, entah kenapa mereka tak suka Arif. Dan Siti perasan keadaan ini sejak dari awal lagi.

Jalan lain tidak ada, kes dirujuk ke pejabat agama. Beberapa kali bapanya dipanggil tetapi dia tidak hadir, akhirnya Siti bernikah menggunakan wali hakim. Allah bantu permudahkan. Alhamdulillah.
Syukur keluarga Arif i menerima Siti dengan baik. Dilayan bagai anak sendiri. Bahagianya sampai kini dengan dua orang cahaya mata.
Keluarga Siti? Sampai sekarang tak berubah. Sudah 15 tahun kisah berlaku. Mereka tetap tak boleh terima Arif.
Mereka lupa masa berlalu, manusia berubah. Menantu yang mereka benci itu sekarang seorang pegawai bank yang terlatih.
Arif sambung belajar untuk membuktikan kepada keluarga Siti yang dia juga boleh berjaya. Yang tak berubah ibu bapa Siti.
Semoga Allah buka hati mereka untuk menerima Siti dan Atif serta cucu mereka.

Iktibar daripada kisah ini:
Siapalah kita untuk melawan kehendak Allah. Soal jodoh adalah rahsia Dia. Reda dan restulah. Perkara baik, jangan persulitkan. Anak-anak berhak menentukan masa hadapan mereka sendiri.
Kita sebagai ibu bapa doakan yang terbaik untuk mereka. Tidak salah memilih menantu. Tapi jangan keterlaluan dan mengaibkan orang. .
Ketepikan pangkat dan darjat. Ia bukan jaminan bahagia. Yang penting, keikhlasan hati. Sepatutnya bersyukur kerana ada orang sayang anak kita.
Buang ego. Jangan perlekeh orang. Buang sikap negatif, ingat nasib kita, anak cucu kita Allah yang tentukan!
Jangan rosakkan impian anak-anak kerana ego kita sebagai ibu bapa. Sempurnakan tanggungjawab untuk bahagiakan mereka di dunia dan akhirat. Aamiin aamiin Ya Rabbal Alamin. - KitaReporters