Insan & Komuniti 30 Dec, 2024

Sembang-Sembang| Bahagiakah kita tanpa restu ibu bapa? Aturan Allah mengatasi semuanya! Yakinlah!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Yakin dengan takdir Allah. Dibuang keluarga kerana suami . Mereka lupa manusia boleh berubah. 

Bukan niat melawan ibu bapa. Jauh sekali menderhaka. Nawaitu ingin hidup bersama. Mengejar impian hidup bahagia. Bersama insan yang dicinta. 

Perkongsian hari ini. Semoga jadi teladan dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Sesungguhnya soal jodoh, pertemuan dan maut bukan urusan kita. Semua kerja Allah. Yakinlah dengan aturan-Nya. 
Perancangan Allah tak pernah salah. Sudah takdir jodohnya hanya seorang kerani biasa. Walau ada ijazah, bukan penghalang untuknya bahagia dengan lelaki pilihan yang seadanya.
Biar ibu bapa pandang hina, tetapi dia sangat istimewa, luah Anita (bukan nama sebenar) tentang kisah cinta dan rumah tangganya.
Kata Anita  ibu bapanya menghalang cintanya dengan Farid (juga bukan nama sebenar), sejak mereka di bangku sekolah lagi. Alasannya mereka sudah ada calon menantu yang berkenan.
Tapi Anita dan Farid nekad melawan ujian yang datang demi cinta mereka. 


Nasib tak menyebelahi Farid apabila dia  gagal melanjutkan pelajaran ke universiti selepas keputusan SPM diumumkan. Anita  pula diterima masuk universiti. Namun hubungan  mereka tak pernah putus.
Farid mendapat kerja di sebuah bank. Dia bekerja keras untuk mengumpul duit bagi melamar buah hatinya itu setelah Anita  tamat belajar. Sayangnya dua kali pinangannya ditolak atas alasan tidak setaraf.
Pelbagai cara dibuat namun semua buntu. Pada hal keluarga Anita  bukan ternama pun, biasa sahaja, entah kenapa mereka tak suka Farid. Dan Anita  perasan keadaan ini sejak dari awal perkenalan mereka lagi. 
Jalan lain tidak ada, kes dirujuk ke pejabat agama. Beberapa kali bapanya dipanggil tetapi dia tidak hadir, akhirnya Anita  bernikah menggunakan wali hakim. Allah bantu permudahkan. Alhamdulillah. 
Syukur keluarga Farid  menerima Anita dengan baik. Dilayan bagai anak sendiri. Bahagianya sampai kini dengan dua orang cahaya mata. 
Keluarga Anita? Sampai sekarang tak berubah. Sudah 12 tahun kisah berlaku. Mereka tetap tak boleh terima Farid. Mereka lupa masa berlalu, manusia berubah. 
Menantu yang mereka benci itu sekarang seorang pegawai bank yang terlatih. Farid sambung belajar untuk membuktikan kepada keluarga Anita  yang dia juga boleh berjaya. 
Yang tak berubah ibu bapa Anita. Semoga Allah buka hati mereka untuk menerima semula Anita dan Farid serta cucu mereka. 


Iktibar daripada kisah ini:

Siapalah kita untuk melawan kehendak Allah. Soal jodoh adalah rahsia Dia. Reda dan restulah. Perkara baik, jangan dipersulit. 

Anak-anak berhak menentukan masa hadapan mereka sendiri. Kita sebagai ibu bapa doakan yang terbaik untuk mereka. Tidak salah memilih menantu. Tapi jangan keterlaluan dan mengaibkan orang. 
Ketepikan pangkat dan darjat. Ia bukan jaminan bahagia. Yang penting, keikhlasan hati. Sepatutnya bersyukur kerana ada orang sayang anak kita. 
Buang ego. Jangan perlekeh orang. Buang sikap negatif, ingat nasib kita, anak cucu kita Allah yang tentukan! 
Semoga kehidupan rumah tangga Anita dan Farid kekal bahagia sampai syurga. Mudah-mudahan juga mereka diterima oleh keluarga Anita dalam masa terdekat. 
Wahai ibu bapa. Jangan rosakkan impian anak-anak kerana ego kita sebagai orang tua. Sempurnakan tanggungjawab untuk bahagiakan mereka di dunia dan akhirat. Aamiin. - KitaReporters 

17
8
0
11
0
You will be interested