Insan & Komuniti 02 Sep, 2024

Akaun WhatsApp digodam? Terima panggilan scammer? Apa jalan penyelesaiannya? Tip untuk pengguna!

Share this

Ilustrasi AI sekadar hiasan


“Hello, saya dari syarikat penghantaran ABC, Encik ada melakukan penghantaran terlarang ke negeri DEF, boleh Encik berikan nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat rumah Encik.”

Inilah dialog dan kisah benar dialami penulis baru-baru ini apabila menerima panggilan seorang scammer yang bercakap dengan penuh yakin dan objektif utamanya adalah untuk menakut-nakutkan mangsa.

Tatkala menerima panggilan tersebut, penulis terkejut kerana tidak pernah membuat sebarang penghantaran yang dimaksudkan itu.

Penulis segera menyedari bahawa nombor telefon telah digunakan oleh penjenayah (scammer) untuk melakukan penipuan dan cuba mendapatkan wang.

Lazimnya, scammer akan memanfaatkan nombor telefon, akaun WhatsApp yang telah mereka ambil alih untuk melakukan aktiviti yang meragukan seperti menghubungi rakan-rakan atau keluarga dengan tujuan mendapatkan wang.

Dalam kes yang dialami penulis, penggodam kononnya wakil dari syarikat penghantaran dengan nada yang meyakinkan penulis telah melakukan kesalahan jenayah.

Apabila penulis menggertak scammer tersebut, beliau bijak berkata-kata dan mengambil pendekatan psikologi sehingga tidak memberi peluang kepada penulis untuk bercakap.



Baru-baru ini, media melaporkan bahawa polis sedang menyiasat 454 kes penipuan dipercayai menggunakan teknik palsu asli atau 'deepfake' antara lain melibatkan penyamaran suara melibatkan kerugian RM2.72 juta sejak awal tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, penipuan itu menggunakan taktik penghantaran mesej WhatsApp dengan menyamar sebagai kenalan mangsa dan mendakwa sedang ditimpa masalah dan ingin meminjam wang.

Pada 28 Ogos 2024 lepas, media melaporkan seorang suri rumah warga emas rugi lebih RM1.37 juta akibat terperdaya dengan panggilan penipuan (phone scam) menawarkan skim pelaburan yang kononnya dianjurkan oleh institusi perbankan tertentu.

Ramli berkata suri rumah berusia 85 tahun itu mendakwa telah menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai dari sebuah bank tempatan.

Bagi mengulas isu ini, penulis mendapatkan pendapat dan cadangan Presiden Malaysian Digital Economy Consumer Association (Pertubuhan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia) atau MyDigital Consumer, Jafri Abdullah.

Jafri berkata sekarang terdapat banyak kaedah yang digunakan scammer dalam era digital ketika ini. Buat masa ini, kita fokus kepada penipuan yang melibatkan telefon bimbit.

Kita harus memberi pujian dan penghargaan kepada pelbagai agensi, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama menangani jenayah ini yang menyebabkan jumlah kerugian yang banyak.

Namun, masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan terutama tindakan proaktif untuk mengurangkan atau lebih baik menghentikan terus jenayah penipuan ini,” katanya.

“Apabila anda menerima panggilan daripada scammer, kepada siapa anda melaporkannya? Adakah orang ramai tahu platform yang sesuai untuk melaporkan potensi penipuan? Adakah PDRM, BNM, MCMC atau kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)?

“Pihak kami percaya bahawa lebih banyak kesedaran harus disampaikan kepada orang ramai terutama menggunakan media sosial dan bukannya tertumpu kepada laman web statik sahaja. Langkah-langkah proaktif atau mekanisme yang menyediakan untuk mengurangkan atau menghapuskan panggilan penipuan ini,” katanya lagi. 

Adakah pihak berkuasa menyiasat nombor telefon bimbit si pelaku (scammer) dan membuat tindakan sewajarnya iaitu menyekat nombor tersebut dan mencari pemilik nombor handphone tersebut?, soal Jafri.

Jafri memberitahu pihaknya sebelum ini pernah cuba melakukan libat urus (engagement) dengan NSRC tetapi tidak menerima sebarang reaksi positif.

Bagaimanapun, beberapa tahun lepas, satu ‘task force’ (pasukan petugas khas) telah ditubuhkan oleh MCMC untuk menguruskan penyalahgunaan “5 digit Short Code” seperti spam dan caj–caj langganan yang tidak sah.

Mungkin NSRC boleh menggunakan pendekatan yang sama seperti dilakukan MCMC untuk mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan penipuan scam, katanya.



Sehubungan itu, Jafri memberi nasihat dan panduan kepada orang ramai supaya tidak terperdaya dengan scammer.

Berikut adalah beberapa langkah yang perlu dilakukan sekiranya menerima panggilan scammer:

1. Berhati-hati dengan nombor tidak dikenali/diketahui, elakkan menjawab panggilan daripada nombor tidak dikenali, sekiranya penting, pemanggil akan meninggalkan mesej atau lain-lain petunjuk penting yang hanya penerima sahaja yang tahu.

2. Sahkan Identiti pemanggil terutamanya jika mereka meminta maklumat peribadi atau wang. Tutup telefon/putuskan talian dan hubungi semula menggunakan nombor rasmi mereka. (Lakukan carian di Google untuk mencari nombor rasmi mereka dan bukannya bergantung kepada nombor yang diberikan oleh pemanggil).

3. Gunakan Kata Laluan Kukuh: Tetapkan kata laluan yang kukuh dan unik untuk akaun mudah alih anda dan jika perlu, ubah dengan kerap, gunakan sekurang-kurangnya sepuluh aksara termasuk nombor dan simbol (terpulang kepada anda, ini hanya sebagai panduan).

4. Dayakan Pengesahan Dua Faktor: Aktifkan pengesahan dua faktor (2FA) pada akaun untuk lapisan keselamatan tambahan.

5. Auto-Kunci Telefon Anda: Tetapkan telefon anda untuk dikunci secara automatik selepas tempoh yang singkat tidak aktif untuk menghalang akses tanpa kebenaran.

6. Elakkan menggunakan Wi-Fi Awam: Elakkan daripada menggunakan rangkaian Wi-Fi awam terutama untuk urus niaga perbankan dalam talian atau membeli-belah kerana ia terdedah kepada risiko pencerobohan data dan berkaitan.

7. Bersikap skeptikal terhadap Mesej: Lihat teks atau e-mel yang tidak dilanggan dengan berhati-hati khususnya yang meminta maklumat peribadi atau mengandungi pautan. Berhati-hati dengan tawaran “too good to be true” iaitu tawaran menarik tetapi tidak logik, kebiasaannya ia adalah satu perangkap.

8. Jangan klik pada Pautan meragukan: Elakkan klik pautan dalam mesej daripada sumber yang tidak diketahui kerana ia boleh membawa kepada tapak pancingan data atau perisian hasad.

9. Pantau Akaun Kewangan Secara Berkala: Pantau/semak penyata bank dan kad kredit anda untuk sebarang urus niaga yang tidak dibenarkan.

10. Didik Diri Anda mengenai Penipuan: Cakna mengenai penipuan penyamaran, penipuan sokongan teknologi dan penipuan loteri dan lain-lain yang berkaitan.

11. Gunakan Kaedah Pembayaran Selamat: Hanya gunakan aplikasi (apps) pembayaran dengan orang yang anda kenali dan percayai. Sentiasa semak semula butiran penerima sebelum menghantar wang.

12. Tetapkan Tetapan Privasi pada Media Sosial: Laraskan tetapan privasi media sosial anda untuk mengehadkan orang yang boleh melihat siaran dan maklumat peribadi anda.

13. Elakkan Berkongsi Maklumat Peribadi: Jangan sekali-kali berkongsi maklumat peribadi seperti nombor Keselamatan Sosial anda, butiran bank atau kata laluan melalui telefon.

14. Didik Ahli Keluarga Anda: Kongsi tip-tip (panduan) tersebut dengan keluarga dan rakan-rakan terutamanya saudara-mara warga emas yang mungkin lebih terdedah dan mudah terpedaya kepada penipuan scam.

Jafri berkata kebiasaannya orang ramai cuai dan secara tidak sengaja klik semua mesej atau pautan (link) yang diterima tanpa menyemak dengan teliti terlebih dahulu dan ini antara punca utama telefon bimbit boleh digodam (hacked). - KitaReporters

21
11
0
14
0
You will be interested