Insan & Komuniti 16 May, 2024

Terbaik sukarelawan UPSI! Anjur program bersama komuniti bersihkan masjid, cat gelanggang sukan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SEMANGAT kesukarelawanan yang membara dalam kalangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, terserlah apabila mereka menjalankan aktiviti membersihkan dua masjid dan mengecat gelanggang sukan awam di Hulu Selangor pada 1 Mei 2024.

Seramai 30 mahasiswa bersama-sama beberapa kakitangan UPSI berganding bahu dalam usaha menyumbang tenaga dan masa untuk aktiviti kemasyarakatan itu dengan mengadakan gotong-royong membersihkan dua masjid utama, iaitu Masjid Warisan Al-Hidayah, Ampang Pecah dan Masjid Al-Ubudiyah, Kerling.

Bagi melancarkan aktiviti pembersihan itu, empat mesin ‘water jet’ yang dibawa khas dari UPSI serta alatan lain digunakan untuk memastikan kebersihan yang menyeluruh. 

Selain itu, mereka turut mengecat gelanggang sepak takraw dan bola tampar di kawasan Ampang Pecah, memberikan wajah baharu yang lebih ceria untuk lapangan riadah komuniti setempat.


Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) bersama-sama kakitangan KPT dan sukarelawan UPSI merakamkan kenangan pada program komuniti di Kerling. 


Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang, mendedahkan kepada mahasiswa dan kakitangan UPSI pengalaman 10 jam berkhidmat dalam bidang kesukarelawanan untuk masyarakat.

Dengan usaha dan komitmen mereka, program itu berjaya memberikan impak positif kepada masyarakat setempat, menyemarakkan semangat perpaduan serta saling membantu dalam kalangan penduduk.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk  Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir hadir sama beramah mesra dengan komuniti di Masjid Al-Ubudiyah, Kerling. 

Beliau turut serta dalam majlis makan malam yang diadakan bagi meraikan komuniti setempat sekali gus memperlihatkan betapa pentingnya jalinan kerjasama antara pihak universiti dan masyarakat.


Dr Zambry menggunakan 'water jet' bersama-sama sukarelawan UPSI membersihkan kawasan masjid.


Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata aktiviti berkenaan menjadi bukti bahawa program seperti itu bukan sahaja menyatukan masyarakat, tetapi juga mengukuhkan ikatan antara pelbagai pihak untuk kepentingan bersama.

“Komitmen antara UPSI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan mahasiswa dan masyarakat setempat menjadi asas penting dalam usaha mencipta kesan positif dan berpanjangan dalam kehidupan ramai orang,” katanya.

Menurut beliau, program sebegini yang berasaskan semangat kesukarelawanan dan solidariti yang tinggi, menunjukkan bahawa melalui usaha itu UPSI boleh mencipta perubahan yang bermakna bersama komuniti. - KitaReporters

18
14
0
8
0
You will be interested